-- Aspera On Demand membantu mengubah cara Viki menghantar video bersari kata melalui awan
ARMONK, New York, 4 September 2014 /PRNewswire/ -- IBM (NYSE: IBM) hari ini mengumumkan Viki, laman web penstriman video global, telah memilih Aspera, syarikat IBM, sebagai penyedia eksklusif penyelesaian pemindahan fail berkelajuan tinggi untuk semua muat naik video daripada penyedia kandungan Viki dari lebih 100 negara. Dengan mempercepat pergerakan video – bentuk Data Besar yang paling tersebar luas – Aspera membolehkan Viki menerima, memasukkan sari kata dan turut mengedarkan dengan pantas kandungan video premium kepada pengguna tetap globalnya yang berkepelbagaian tinggi.
Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20090416/IBMLOGO
Viki bekerjasama dengan penyiar terkemuka dan penyedia kandungan lain untuk menerima rancangan TV terkenal, filem serta kandungan premium lain, yang kemudiannya akan dimasukkan sari kata oleh komuniti sukarelawannya dan distrimkan kepada 33 juta pelanggan dalam lebih 200 bahasa. Dihadkan oleh tempoh pemindahan fail yang perlahan, Viki memerlukan cara untuk mempercepat inges kandungan daripada penyiar seluruh dunia agar dapat terus menyemarakkan lagi pertumbuhan pesatnya dan membawa rancangan bersari kata yang baharu kepada para peminat.
Dengan Aspera On Demand, Viki telah memperluas jangkauan sedunianya dengan menerima dan mengedarkan kandungan dengan pantas melalui awan pada skala global. Daripada kartun anime yang berasal dari Jepun hinggalah kepada rancangan penyiasatan jenayah dari Hollywood mahupun drama bersiri Korea, Aspera memberikan Viki kepantasan pemindahan yang paling tinggi tanpa mengira jarak atau saiz fail, lalu membantu syarikat itu terus meningkatkan pengguna tetap antarabangsa mereka. Dengan membolehkan Viki menginges kandungan secara pantas menggunakan Aspera On Demand, para pengguna antarabangsa boleh menonton rancangan yang sebelum ini tidak dapat ditonton dalam bahasa asal mereka dan menikmati pustaka serba baharu yang padat dengan kandungan premium.
"Masa adalah sangat kritikal untuk kami kerana para peminat kami tidak sabar-sabar menunggu rancangan kegemaran mereka dimuat naik dalam laman web kami agar ia boleh diterjemahkan dan ditonton dalam bahasa pilihan mereka sendiri," kata Deepika Murthy, Pengurus Produk, Alatan Dalaman dan Perkongsian, Viki. "Semua media dipindahkan melalui Aspera On Demand, menjimatkan masa yang berharga semasa menerima dan memuat naik kandungan premium dengan lebih pantas berbanding sebelum ini."
Viki menggunakan penyelesaian Aspera on Demand yang sedia untuk awan bagi menerima video daripada penyedia kandungan global, sering kali sejurus sebelum ia ke udara, dan kemudian memproses dan menukar kod kandungan dalam pelbagai format dan saiz televisyen dan peranti. Dilengkapi dengan teknologi FASP yang dipatenkan, Aspera membolehkan Viki menginges fail video yang sangat besar ini dengan cepat, andal dan juga selamat – selalunya bersaiz antara 40 ke 50 GB per fail – terus ke dalam awan. Dengan mengurangkan masa muat naik fail hingga 50 peratus, Viki boleh mempercepat masa pusing balik bagi menyediakan kandungan baharu dalam masa sejam selepas siaran asal melalui televisyen.
"Perkhidmatan kandungan inovatif seperti Viki memerlukan Aspera untuk membantu mereka mencipta pasaran baharu dan memecahkan halangan pada skala global," kata Jay Migliaccio, Pengarah Perkhidmatan Awan, Aspera. "Memandangkan Aspera On Demand membolehkan Viki mempercepat laluan pertumbuhannya, kami akan terus bertumbuh seiring dengan mereka sambil mereka capai penonton baharu dengan kandungan premium di serata ceruk dunia."
Antara muka web yang intuitif serta plag masuk pelayar bagi Aspera On Demand memudahkan rakan penyiaran Viki memuat naik kandungan tanpa memerlukan banyak latihan dan pengalaman teknikal yang lama. Ini juga memudahkan dan mempercepat usaha pengguna, termasuk pentadbir Viki, untuk mencari fail yang mereka perlukan dan memulakan pemindahan berkelajuan tinggi.
Latar belakang Aspera
Aspera, syarikat IBM, ialah pencipta teknologi pengangkut generasi seterusnya yang menggerakkan data dunia pada kepantasan maksimum tanpa mengira saiz fail, jarak pemindahan serta keadaan rangkaian. Berdasarkan protokol FASP™ dipatenkan mereka yang memenangi anugerah Emmy®, perisian Aspera memanfaatkan sepenuhnya kelebihan infrastruktur sedia ada untuk memberikan pengalaman pemindahan fail yang paling pantas dan mudah diramal. Teknologi teras Aspera memberikan kawalan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas kelebaran jalur, keselamatan penuh serta keandalan tanpa kompromi. Organisasi merentasi pelbagai industri di enam benua bergantung pada perisian Aspera untuk angkutan aset digital mereka yang penting bagi perniagaan. Sila layari http://www.asperasoft.com dan ikuti kami di Twitter @asperasoft untuk maklumat lanjut.
Latar belakang Viki
Viki ialah laman TV global dengan rancangan TV, filem dan juga kandungan premium lain, diterjemahkan ke dalam lebih 200 bahasa oleh komuniti peminat tegar. Dengan 33 juta penonton setiap bulan dan lebih 600 juta perkataan telah diterjemahkan, Viki membawakan secara tersendiri hiburan waktu perdana global kepada penonton baharu dan memperkenalkan pasaran baharu serta peluang hasil untuk pemilik kandungan. Viki telah diiktiraf sebagai Perintis Teknologi Forum Ekonomi Dunia 2014 dan dibeli oleh gergasi perkhidmatan Internet Jepun Rakuten pada bulan September 2013. Syarikat itu mempunyai cawangan di San Francisco, Singapura, Seoul serta Tokyo.
Maklumat perhubungan:
Sean Audet
Perhubungan Media IBM
spaudet@us.ibm.com
+1-781-665-5213