omniture

RIKEN Memilih Model Sistem H1 Quantinuum untuk Platform Kuantum-Superkomputer Hibrid Berskala Besar di Jepun

Quantinuum
2024-01-10 09:00 28

Penglibatan ini menyediakan RIKEN dan rakan usaha samanya dengan akses kepada komputer kuantum perangkap ion terkemuka dunia milik Quantinuum di premis 

Ia mempercepatkan pembangunan aplikasi untuk komputer kuantum dan superkomputer oleh ketua projek RIKEN, SoftBank, Universiti Tokyo dan Universiti Osaka

BROOMFIELD, Colorado dan LONDON, 10 Januari 2024 /PRNewswire/ -- Quantinuum, syarikat pengkomputeran kuantum bersepadu terbesar di dunia, serta RIKEN, institusi penyelidikan komprehensif terbesar di Jepun dan merupakan rumah kepada pusat pengkomputeran berprestasi tinggi (high-performance computing, HPC) terkemuka dunia, telah mengumumkan sebuah perjanjian di mana Quantinuum akan menyediakan akses kepada teknologi pengkomputeran kuantum perangkap ion H1-Series yang berprestasi tinggi milik Quantinuum kepada RIKEN. Di bawah perjanjian tersebut, Quantinuum akan memasang perkakasan tersebut di kampus RIKEN di Wako, Saitama.

Quantinuum's System Model H1 Ion-trap Quantum Computer
Quantinuum's System Model H1 Ion-trap Quantum Computer

Pelancarannya akan menjadi sebahagian daripada projek RIKEN untuk membina platform hibrid kuantum-HPC yang terdiri daripada sistem pengkomputeran berprestasi tinggi, seperti superkomputer Fugaku dan komputer kuantum. Platform perkakasan bersepadu tersebut akan menyokong program penyelidikan perisian berskala besar di mana penyelidik di RIKEN – bersama rakan usaha sama Softbank, Universiti Tokyo, dan Universiti Osaka – akan membangunkan alatan dan aplikasi perisian yang diperlukan untuk menyepadukan komputer kuantum dan superkomputer dengan paling berkesan.

Bagi matlamat projek ini, RIKEN dan rakan usaha samanya menyasarkan untuk menunjukkan kelebihan platform pengkomputeran hibrid tersebut untuk digunakan sebagai perkhidmatan pada era pasca 5G akan datang. Projek ini ditauliahkan oleh New Energy and Industrial Technology Development Organization (NEDO), sebuah agensi penyelidikan dan pembangunan kebangsaan di bawah Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun.

"Kami berbesar hati dipilih untuk menjadi sebahagian daripada projek yang bercita-cita tinggi dan termaju di Jepun ini," kata Dr. Rajeeb Hazra, Ketua Pegawai Eksekutif Quantinuum. "Quantinuum mempunyai rekod prestasi sebagai peneraju komersial dalam pengkomputeran kuantum, dan kami berharap agar dapat membawa pengetahuan teknikal dan operasi kami bagi menyumbang kepada mencapai objektif projek ini. Komputer kuantum H-Series kami secara uniknya bersedia untuk membolehkan berlakunya perkembangan rintis oleh penyelidik di seluruh dunia[1]. Kami teruja apabila penglibatan ini akan membolehkan penyelidik di RIKEN dan institusi Jepun yang lain mendapat manfaat daripada kuasa dan keupayaan penuh komputer kuantum H-Series kami."

"Komputer kuantum termaju NISQ kini menuju ke peringkat praktikal apabila bilangan qubit semakin meningkat dan kesetiaan bertambah baik. Dari sudut pandangan HPC, komputer kuantum ialah peranti yang mempercepatkan aplikasi saintifik yang dilaksanakan secara konvensional pada superkomputer dan membolehkan pengiraan yang belum dapat diselesaikan oleh superkomputer. RIKEN komited untuk membangunkan perisian sistem untuk pengkomputeran hibrid kuantum-HPC, dengan memanfaatkan keupayaan dan pengalaman penyelidikan saintifik komprehensifnya dalam pembangunan dan operasi superkomputer canggih, seperti Fugaku," kata Dr. Mitsuhisa Sato, Timbalan Pengarah, Pusat Sains Pengiraan RIKEN / Pengarah, Bahagian Platform Kolaboratif HPC Kuantum (Quantum HPC Collaborative Platform Division).

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari: https://www.quantinuum.com/hardware/h1

[1]. Menanda aras Komputer Kuantum Perangkap Ion H-Series Quantinuum. https://vimeo.com/884132330/29a123cefc?share=copy

Tentang RIKEN 

RIKEN, sebuah Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Kebangsaan, ialah institusi penyelidikan komprehensif terbesar Jepun yang terkenal dengan penyelidikan berkualiti tinggi dalam pelbagai disiplin saintifik. Diasaskan pada tahun 1917sebagai asas penyelidikan swasta pada mulanya, RIKEN telah berkembang pesat dari segi saiz dan skop, yang mana pada hari ini merangkumi rangkaian pusat dan institut penyelidikan bertaraf dunia di seluruh Jepun.

Tentang Quantinuum 

Quantinuum, syarikat kuantum bersepadu terbesar di dunia, yang mempelopori komputer kuantum yang berkuasa dan penyelesaian perisian yang termaju. Teknologi Quantinuum memacu kejayaan dalam penemuan bahan, keselamatan siber dan AI kuantum generasi seterusnya. Dengan mempunyai hampir 500 pekerja, merangkumi lebih 370 saintis dan jurutera, Quantinuum menerajui revolusi pengkomputeran kuantum merentasi benua.

Tanda dagangan Honeywell digunakan di bawah lesen Honeywell International Inc. Honeywell tidak membuat sebarang pernyataan atau jaminan yang berkaitan dengan perkhidmatan ini.

Foto: https://mma.prnasia.com/media2/2314416/Quantinuum.jpg?p=medium600

Source: Quantinuum
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Education Higher Education Contracts