SINGAPURA, 5 September 2014 /PRNewswire/ -- Eastern Health Alliance (EH Alliance) dan Hospital Besar Changi (CGH) telah bekerjasama dengan Philips Healthcare (Philips) bagi merintis program telekesihatan pertama untuk pesakit dengan kegagalan jantung di Singapura. Program inovatif itu menyepadukan tiga unsur utama: telepemantauan, telependidikan, dan juga sokongan telepenjagaan melalui jururawat telepenjaga Unit Pengurusan Kesihatan (HMU) EH Alliance. Unsur tersebut membantu melibatkan pesakit kegagalan jantung daripada segi penjagaan kesihatan mereka, lalu mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital serta kematian pramatang.
Pesakit dengan kegagalan jantung sering dimasukkan semula ke hospital; di CGH, seramai 40 peratus daripada pesakit dimasukkan semula ke hospital dalam masa 12 bulan. Sebab utama kemasukan semula pesakit adalah mereka tidak mengikuti pelan rawatan yang telah disarankan. Misalnya, pesakit tidak mengambil ubat dengan betul atau tetap, tidak memantau berat badan setiap hari, dan leka mengawal pengambilan air dan pemakanan. Sebab lain termasuklah merebaknya penyakit atau jangkitan itu.
Pengarah Program dan Perunding Kanan Jabatan Kardiologi CGH, Dr. Gerard Leong berkata, "Pesakit dengan kegagalan jantung boleh menikmati gaya hidup berkualiti jika mereka melibatkan diri dalam penjagaan diri mereka sendiri dan jika diberikan sokongan yang perlu. Pendidikan dan pemantauan ialah komponen penting untuk kejayaan. Sebaik sahaja pesakit dengan kegagalan jantung memahami perkara itu dan rasa lebih disokong dan yakin untuk mengurus penyakit mereka, mereka lebih berkemungkinan untuk mengikuti pelan rawatan mereka dan membuat perubahan gaya hidup yang diperlukan. Pada dasarnya, inilah matlamat yang kami ingin capai dengan Program Telekesihatan Kegagalan Jantung ini."
Program telekesihatan kegagalan jantung pertama Singapura ini adalah lanjutan daripada program kegagalan jantung yang sudah mantap di CGH (diakreditasi oleh Suruhanjaya Bersama Antarabangsa sejak tahun 2006) dan program kegagalan jantung yang sedang dijalankan oleh HMU. Melalui usaha ini, CGH telah mencatatkan kadar kematian akibat kegagalan jantung yang lebih rendah berbanding pusat antarabangsa.
En. T K Udairam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, EH Alliance, pula berkata: "Walaupun CGH telah menerima hasil keputusan yang memberangsangkan, kami percaya kami boleh menyumbang lebih lagi kepada pesakit dengan kegagalan jantung. Oleh itu kami teruja dengan potensi perkhidmatan telekesihatan untuk membantu pesakit kegagalan jantung mengurus penyakit mereka dengan lebih baik dan merapatkan jurang penjagaan antara hospital dan kediaman. Secara ringkasnya, kami membawakan khidmat penjagaan kepada kediaman pesakit dan menyediakan kemudahan untuk mereka memantau diri mereka sendiri di rumah sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka, dan untuk menyediakan maklumat serta bantuan apabila mereka memerlukannya. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Philips untuk membawakan program ini ke Singapura."
En. Arjen Radder, Presiden Philips Healthcare di Asia Pasifik berkata, "Philips komited terhadap inovasi dan peningkatan kualiti penjagaan pesakit. Bersama EH Alliance, kami berusaha untuk mewujudkan model penjagaan di Singapura yang menetapkan keutamaan bagi pengaturan penggunaan mampan dan boleh skala bagi penyelarasan penjagaan yang dibolehkan telekesihatan untuk pesakit dengan kegagalan jantung: inovasi yang boleh membantu sistem kesihatan menangani cabaran yang semakin meningkat dalam populasi yang menua dengan pantas."
EH Alliance dan CGH telah bekerjasama dengan Philips untuk membangunkan program ini dan menyetempatkannya bagi populasi di sini. Ini termasuklah menyuai khusus protokol program bagi keperluan pesakit kami, dan turut memastikan kandungannya tersedia dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin serta Bahasa Melayu.
Pesakit yang didaftarkan dalam program ini diberikan peranti berikut:
- tablet kesihatan peribadi
- mesin timbang berat, dan
- pemantau tekanan darah
Semua peranti ini digunakan untuk membantu mereka dalam pengukuran harian berat badan, kadar nadi dan juga tekanan darah – tiga parameter utama yang penting, yang dimuat naik secara automatik kepada sistem pusat untuk pemantauan. Bahan pendidikan dalam bentuk video diberikan secara jarak jauh dan boleh didapati oleh pesakit melalui tablet mereka. Jururawat telepenjaga HMU menyediakan sokongan dan pemantauan, dan boleh campur tangan dengan awal jika tanda kemerosotan dikesan.
En. Fernando Erazo, Ketua Hospital ke Kediaman (H2H) Philips di rantau Asia Pasifik, turut berkata, "Program telekesihatan Philips ialah hasil pelaburan dan pengalaman pelaksanaan selama lebih 15 tahun di AS dan Eropah. Pada Oktober lepas, kami telah melancarkan pusat kecekapan H2H kami di Singapura untuk rantau itu, maka kami gembira kerana mempunyai Singapura dan EH Alliance di barisan hadapan usaha kami untuk menyetempatkan penyelesaian ini. Sambil program ini bergerak maju, Singapura dan EH Alliance dilihat menyumbang maklumat dan pengalaman kepada rangkaian sistem kesihatan terkemuka Amerika dan Eropah yang kini mengamalkan penyelesaian telekesihatan sebegitu."
Program ini dimudahkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura. En. Kevin Lai, Pengarah, Sains Bioperubatan Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura berkata, "Kami meraikan perkongsian antara Philips dan EH Alliance yang menyasarkan untuk bersama membangunkan program telekesihatan yang pertama di Singapura ini untuk pesakit dengan kegagalan jantung. Kolaborasi ini ialah contoh bagus yang menunjukkan bagaimana syarikat boleh bekerjasama dengan gugusan penjagaan kesihatan Singapura bagi bersama membangunkan dan turut menguji produk, penyelesaian serta model perniagaan baharu di tempat yang lengkap dengan peralatan yang diperlukan. Produk, penyelesaian dan model perniagaan baharu ini bakal memanfaatkan pesakit tempatan mahupun pesakit di rantau ini."
Projek perintis ini bermula pada 26 Jun 2014 dan menyasarkan untuk mendaftarkan kira-kira 160 pesakit kegagalan jantung menjelang bulan Oktober 2015.
En Chen Yi Siang
Hospital Besar Changi
yi_siang_chen@cgh.com.sg
+65-6850-2727
+65-9878-0551
Cik Celestine, Christina Sunatia James
Christina.celestine@philips.com
+65-6882-5411
+65-8518-5479
SUMBER Philips Health