KUALA LUMPUR, Malaysia, 26 Nov 2026 /PRNewswire/ -- Boeing [NYSE: BA] dan Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini mengumumkan bahawa kumpulan penerbangan itu akan membuat tempahan sulung bagi pesawat 787 Dreamliner, dengan memilih varian terbesar dalam keluarga pesawat berbadan lebar yang cekap bahan api tersebut. Setelah dimuktamadkan, pembelian 10 pesawat 787-10, dengan pilihan untuk memperoleh enam lagi pesawat, akan menyokong usaha Malaysia Airlines memodenkan armada penerbangan jarak jauhnya serta memperluas rangkaian antarabangsa.
Malaysia Airlines merancang untuk mengendalikan pesawat 787-10 di seluruh rangkaian penerbangan jarak jauhnya, termasuk laluan yang mendapat permintaan tinggi yang menghubungkan Malaysia dengan Eropah serta pelbagai destinasi di rantau Asia Pasifik. Permintaan terhadap perjalanan antarabangsa telah mendorong peningkatan jumlah penerbangan jarak jauh ke dan dari Asia Tenggara sebanyak lebih 50% sepanjang dekad lalu.
"Pemerolehan pesawat 787 Dreamliner merupakan pelaburan strategik untuk masa depan Malaysia Aviation Group," kata Kapten Nasaruddin A. Bakar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG. "Ketika kami bersiap sedia untuk memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, pesawat ini akan memperkukuh keupayaan kami untuk memberikan perkhidmatan kepada pasaran antarabangsa utama dengan kapasiti, kecekapan dan fleksibiliti yang lebih tinggi, di samping menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih berkualiti seperti yang diharapkan oleh pelanggan kami. Selain pembaharuan armada, pelaburan ini turut memperkukuh komitmen kami untuk mengekalkan sebuah syarikat penerbangan yang moden dan berdaya saing, yang menyokong kesalinghubungan Malaysia serta aspirasi global negara."
Pesawat 787-10 mampu membawa sehingga 375 penumpang dan menggunakan 25% kurang bahan api berbanding pesawat yang lazimnya digantikannya, sekali gus menawarkan kecekapan kos operasi yang lebih baik bagi menyokong pertumbuhan Malaysia Airlines. Penumpang juga akan menikmati tingkap yang lebih besar, persekitaran kabin yang lebih selesa serta ciri moden yang direka untuk menjadikan perjalanan jarak jauh lebih menyeronokkan.
"Malaysia Aviation Group sedang membentuk masa depan armada penerbangan jarak jauhnya dengan memanfaatkan kecekapan unggul dan pengalaman penumpang istimewa yang ditawarkan oleh 787 Dreamliner," kata Erika Pearson, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Boeing bagi Asia Tenggara dan Oceania. "Kami amat berbesar hati dapat meneruskan kerjasama yang telah lama terjalin serta memperkukuh hubungan dengan Malaysia apabila 787-10 memainkan peranan penting dalam fasa pembangunan seterusnya syarikat penerbangan ini."
Komitmen kumpulan penerbangan itu menandakan kembalinya Malaysia Airlines kepada penggunaan pesawat berbadan lebar Boeing, selepas sebelum ini mengendalikan pesawat 747 dan 777. Pesawat 787-10 akan melengkapkan armada 737 Malaysia Airlines, yang bakal diperluas melalui tempahan pesawat 737-8 dan 737-10. Gabungan pesawat 737 MAX dan 787 Dreamliner yang moden serta cekap bahan api akan menyokong pengembangan operasi serantau dan antarabangsa syarikat penerbangan tersebut.
"Kami berbangga dapat meneruskan kerjasama selama hampir 80 tahun dengan Malaysia dan terus melabur dalam masa depan industri penerbangan negara, daripada pesawat yang menghubungkan komuniti hinggalah kepada pasukan dan pembekal Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menjayakannya," kata Dr. Brendan Nelson AO, Presiden Boeing Global.
Pelan pertumbuhan Malaysia Airlines sejajar dengan unjuran permintaan terhadap hampir 5,000 pesawat baharu di Asia Tenggara sehingga 2045, termasuk lebih 850 pesawat berbadan lebar bagi menyokong pertumbuhan perjalanan antarabangsa. Keluarga pesawat 787 Dreamliner telah membantu syarikat penerbangan membuka lebih 550 laluan tanpa henti baharu di seluruh dunia sepanjang 15 tahun perkhidmatannya.
Kehadiran Boeing di Malaysia merangkumi Boeing Composites Malaysia, iaitu kemudahan pembuatan pertama milik penuh syarikat itu di Asia Tenggara yang mempunyai tenaga kerja terdiri sepenuhnya daripada rakyat Malaysia. Kemudahan tersebut membekalkan produk komposit dan komponen subpemasangan untuk semua program pesawat komersial Boeing, termasuk 787 Dreamliner. Boeing menyokong pembangunan keupayaan aeroangkasa di Malaysia menerusi latihan keselamatan, bengkel kemampanan, pembangunan rantaian bekalan, kerjasama dengan universiti serta inisiatif sokongan komuniti.
Fakta utama
Sebagai syarikat aeroangkasa global terkemuka dan antara pengeksport utama Amerika Syarikat, Boeing membangunkan, mengeluarkan dan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan bagi pesawat komersial, produk pertahanan serta sistem angkasa lepas untuk pelanggan di lebih 150 negara. Tenaga kerja dan rangkaian pembekal kami di Amerika Syarikat serta seluruh dunia memacu inovasi, peluang ekonomi, kemampanan dan impak positif kepada komuniti. Boeing komited untuk memupuk budaya kerja yang berteraskan nilai teras kami, iaitu keselamatan, kualiti dan integriti.
Hubungi
Perhubungan Media Boeing
media@boeing.com