omniture

Menyambut Tahun Naga: Sekilas Gambaran Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown 2024

Chinatown Festival Committee
2024-01-22 11:57 50

Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown 2024 tahunan kembali mempesonakan jalan-jalan Chinatown dengan beraneka jenis perayaan kebudayaan termasuk Majlis Penyalaan Lampu Jalan dan Pembukaan Rasmi, Parti Kira Detik serta kembalinya Pertandingan Tarian Singa.

SINGAPURA, 22 Januari 2024 /PRNewswire/ -- Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown tahunan kembali ke jalan-jalan Chinatown yang mempesonakan mulai 11 Januari hingga 11 Mac 2024 bagi menyambut Tahun Naga.

Berlatar latar belakang Chinatown yang meriah – sebuah daerah dengan kepentingan budaya dan sejarah – sambutan ini bertujuan untuk menonjolkan fahaman pelbagai budaya dan kepelbagaian Singapura, menyemarakkan penghargaan terhadap warisan dan tradisi Cina sekali gus turut menghimpunkan penduduk dan juga pengunjung antarabangsa sebagai sebuah komuniti.

Sambutan tahun 2024 akan mempersembahkan barisan aktiviti yang menarik, termasuk Majlis Penyalaan Lampu Jalan dan Pembukaan Rasmi, Pameran Perayaan, Pertunjukan Pentas Hujung Minggu, Parti Kira Detik Tahun Baharu Cina dan kembalinya Pertandingan Tarian Singa.

Majlis Penyalaan Lampu Jalan & Pembukaan Rasmi Tahun Baharu Cina Chinatown

Memulakan Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown 2024 ialah Majlis Penyalaan Lampu Jalan & Pembukaan Rasmi pada 19 Januari 2024. Bertemakan, 'Terbang Tinggi Menuju Tahun Naga Bertuah', pengunjung boleh mengharapkan pelbagai diorama naga yang menakjubkan sepanjang New Bridge Road, Eu Tong Sen Street, South Bridge Road dan Upper Cross Street.

Majlis Penyalaan Lampu Jalan & Pembukaan Rasmi akan diadakan di Kreta Ayer Square dan akan menampilkan pelbagai persembahan termasuk persembahan hiburan jalanan oleh Papaya Duck, persembahan gendang perkusi oleh Martial House, aneka lagu-lagu pelbagai bahasa oleh Wardy Yap dan Xixi Lim serta persembahan tarian naga tradisional.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Puan Josephine Teo, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Menteri Dalam Negeri Kedua dan Penasihat kepada Jalan Besar GRC Grassroots Organisations (GROs), akan menyertai lebih 250 penduduk di acara itu dan merasmikan penyalaan lampu jalan. Acara berkenaan akan disiarkan secara langsung pada Channel 8 dan halaman Facebook dan YouTube Chinatown Festivals mulai 19 Januari 2024, jam 6 petang.

"Kami berasa gembira menyambut Tahun Naga menerusi siri perayaan kami yang menyatukan pelbagai budaya dan usia di Singapura dan selanjutnya. Tema pada tahun ini ialah 'Terbang Tinggi Menuju Tahun Naga Bertuah'. Dengan tema yang bersesuaian ini, saya berharap agar semua orang akan menerima peluang yang terbentang di hadapan tanpa rasa gentar," kata Puan Josephine Teo, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Menteri Dalam Negeri Kedua dan Penasihat kepada Jalan Besar GRC Grassroots Organisations (GROs).

Hiasan jalan yang mempesonakan akan dipaparkan mulai 19 Januari 2024 hingga 9 Mac 2024 melalui usaha kolaboratif dengan Singapore University of Technology and Design (SUTD). Buat tahun ke-13 berturut-turut, pasukan yang terdiri daripada 13 orang pelajar mereka bentuk paparan luar biasa untuk Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown 2024 merupakan bukti kepada dedikasi yang tidak berbelah bahagi dan kerja keras selama berbulan-bulan lamanya.

Parti Kira Detik Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown 2024

Menandakan permulaan Tahun Baharu Cina, Parti Kira Detik tahunan akan diadakan di Kreta Ayer Square pada Malam Tahun Baharu Cina, 9 Februari 2024 dan disiarkan secara langsung pada Channel 8 dan halaman Facebook dan YouTube Chinatown Festivals mulai jam 10 malam.

Ketika jam menginjak tengah malam, pengunjung Chinatown dan mereka yang mengikuti siaran langsung Parti Kira Detik boleh menjangkakan pertunjukan mercun yang mengujakan, menampilkan aneka jenis komet, lombong dan air pancut.

"Perayaan Tahun Baharu Cina tahunan menambah kemeriahan dan keterujaan kepada presint Chinatown, mempersembahkan kekayaan warisan dan warna-warni budaya unik masyarakat Cina Singapura. Pengunjung luar negara mahupun warga tempatan akan berpeluang untuk menyambut tahun baharu melalui seleksi aktiviti yang luas, termasuk parti kira detik, pameran perayaan, persembahan tarian singa dan pesta makanan yang menawarkan makanan Tahun Baharu Cina yang lazat. Kami menjemput semua untuk mengunjungi Chinatown bagi menyelami suasana perayaan dan meneroka lebih lanjut mengenai budaya dan tradisi tempatan festival ini," kata Cik Lim Shoo Ling, Pengarah, Presint Kesenian dan Kebudayaan, Lembaga Pelancongan Singapura.

Perayaan Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown 2024

Selain daripada Majlis Penyalaan Lampu Jalan, Pembukaan dan Parti Kira Detik, pengunjung Chinatown juga boleh menantikan barisan perayaan mesra keluarga yang meriah semasa Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown 2024.

Ini termasuk Pesta Perayaan di ruang terbuka berhadapan dengan People's Park Complex mulai 11 Januari 2024 hingga 9 Februari 2024 yang mempersembahkan Hiasan Tahun Baharu Cina; Pesta Perayaan di Gerai Jalan Chinatown mulai 19 Januari hingga 9 Februari yang menampilkan makanan Tahun Baharu Cina; dan Pertunjukan Pentas Hujung Minggu yang diadakan selama dua hujung minggu (27-28 Januari 2024, 3-4 Februari 2024) di Kreta Ayer Square.

Pertandingan Tarian Singa 2024

Sambutan pada tahun ini turut menyaksikan kembalinya Pertandingan Tarian Singa yang amat dinanti-nantikan yang berlangsung pada 27 dan 28 Januari 2024 di Kreta Ayer People's Theatre. Dengan tiket berharga $10 sehari, pertandingan ini menarik minat kumpulan tarian singa terbaik dari seluruh Singapura dan Asia Pasifik ketika mereka bersaing untuk merebut gelaran 'Raja Singa' yang menjadi idaman.

Setiap kumpulan akan menunjukkan kemahiran dan kehalusan mereka pada meihuazhuang – kekaki tradisional Cina yang digunakan dalam persembahan tarian singa – mempersembahkan olah gerak yang rumit dan aksi berani.

Inisiatif-inisiatif Mampan

Jawatankuasa Festival Chinatown akan menganjurkan inisiatif Adopt a Lantern, satu tradisi yang didukung sejak tahun 2014. Semua tanglung jalan yang digunakan semasa sambutan ini akan digunakan semula dan tersedia untuk diambil guna oleh orang ramai tanpa sebarang bayaran. Individu yang berminat untuk mengambil guna tanglung boleh mendaftar di Instagram dan Facebook Chinatown Festivals mulai 22 Februari hingga 1 Mac 2024. Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan mengenai status permohonan mereka selewat-lewatnya pada 11 Mac 2024.

Sambutan Tahun Baharu Cina Chinatown 2024 berlangsung mulai 11 Januari hingga 11 Mac 2024. Untuk melihat program penuh, kunjungi chinatownfestivals.sg

Source: Chinatown Festival Committee
Keywords: Art Entertainment Sporting Events Sports