omniture

Le Palais Royal, Istana Paling Mahal di A.S. Memasuki Pasaran di Florida dengan Harga $139 Juta

Coldwell Banker Residential Real Estate
2014-09-12 02:43 135

- William P.D. Pierce daripada Coldwell Banker Residential Real Estate mewakili istana paling mahal dalam pasaran A.S. pada masa kini

FORT LAUDERDALE, Florida, 11 September 2014 /PRNewswire/ -- Le Palais Royal, bangunan karya agung Beaux Arts berilhamkan pengaruh Perancis hebat yang terletak di Pantai Atlantik Florida, baru sahaja disenaraikan untuk dijual pada harga $139 juta, lalu menjadikannya istana yang paling mahal di benua A.S. yang berada dalam pasaran semasa. Diwakili oleh William P.D. Pierce daripada Coldwell Banker Residential Real Estate, harta tanah besar agam seluas lebih 60,000 kaki persegi itu terletak atas tanah menghadap pantai seluas 4 ekar dan 465 kaki di Millionaires Mile. Le Palais Royal mempunyai jeti peribadi 492 kaki yang boleh memuatkan kapal layar mega setinggi 185 kaki, dan garaj bawah tanah dengan tempat parkir yang boleh memuatkan lebih 30 kereta. Kini ia berada dalam peringkat terakhir pembinaan dan dijangka akan siap dibina sebelum akhir tahun 2015, manakala harganya pula nanti termasuklah kemasannya sekali.

Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20140311/MM81390LOGO

"Le Palais Royal bakal menjadi harta tanah paling mahal yang disenaraikan dalam pasaran di Amerika, dan telah direka dengan penuh mewah bagi kerabat diraja serta individu yang bercita rasa paling tinggi. Ia melambangkan kehidupan yang benar-benar sempurna," kata William P.D. Pierce, seorang pakar harta tanah daripada Coldwell Banker Previews International. "Istana yang tersergam indah ini bakal menjadi mercu tanda yang bakal menyaingi istana paling agung di Eropah. Rekaan maha karya ini dihiasi butiran istimewa yang tidak akan ditemui di mana-mana tempat lain, manakala kemasannya pula tiada tandingannya."

Pagar dengan dedaun emas 22 karat setinggi 13 kaki dan juga arca air pancut pintu masuk setinggi 26 kaki bakal membuat pengunjung menikmati dunia penuh mewah. Arca air pancut yang mengagumkan itu hanyalah satu daripada enam arca air pancut yang menghiasi kawasan luarnya. Laluan masuknya mempunyai pintu rekaan khas berganda yang rapi dengan tema "siang dan malam", satu pintu diperbuat daripada kaca yang terkandung dalam gangsa manakala satu lagi kayu mahogani ditatah dengan dedaun emas 22 karat. Pintu itu akan terbuka lalu menampakkan anak tangga marmar bernilai $2 juta dengan susur besi keluli dan dedaun emas, yang memerlukan masa dua tahun untuk dihasilkan oleh para tukang. Pintu masuk utama dan lobi akan membawa kita masuk ke dalam kamar Le Salon yang tersangat luas dengan pemandangan Lautan Atlantik yang memukau.

Istana yang menghadap pantai ini mempunyai 11 bilik tidur, 17 bilik air, serta Panggung IMAX yang pertama sekali dibina bagi kegunaan persendirian, dengan layar seluas 50 kali 27 kaki dan boleh memuatkan 18 penonton dengan bar dan ruang santai IMAX. Ciri lain yang luar biasa ialah tiga bilik suite bilik tidur utama dan satu bilik suite bilik tidur utama presiden, setiap satunya dengan jakuzi yang menghadap lautan atau Intracoastal Waterway. La Cuisine du chef telah membina rangkaian kabinet buatan khas La Cornue Grand Palais yang diperbuat daripada kayu mahogani dan diserlahkan dengan dedaun emas 22 karat. Ruang keluarga mempunyai akuarium Living Color sebesar 1,300 gelen yang dipasang di dalam kabinet buatan khas yang turut memuatkan televisyen 3D berdefinisi tinggi.

Istana diraja ini mempunyai kolam renang pinggir tidak berpenghujung seluas 4,500 kaki persegi dengan air terjun setinggi 12 kaki, gelongsor air dua gelung yang disinari cahaya LED, kawasan unggun api serta bar tengah kolam renang untuk aktiviti hiburan luar. Kolam itu direka dengan teknologi terkini termasuk sensor tolok suhu automatik dan sistem sanitasi tiga peringkat, yang menggunakan salina, klorin serta cahaya ultraungu. Jakuzi luar terletak di atas air terjun itu, dan ada juga kolam terjun di luar bilik suite utama di tingkat kedua teres luar. Halaman juga mempunyai dapur luar bangunan musim panas dengan ketuhar untuk piza, ruang santai luar untuk hiburan diraja, serta pintu masuk ke bilik urut spa dalam bangunan.

Direka dan diilhamkan oleh tokoh unggul fesyen Joseph Leone dan arkitek dalam syarikat Denio Madera Design, setiap butiran, termasuk teknik pembinaan dan infrastruktur, telah diambil kira dalam projek besar agam ini. Sistem keselamatan milikan telah direka secara khas untuk perlindungan paling ketat di harta tanah itu. Penginapan untuk pengawal keselamatan telah dibina di kawasan yang sama, serta rumah anjing dengan penyaman udara disediakan untuk anjing pengawal di kawasan itu. Le Palais Royal juga telah dilengkapi sistem kalis bunyi penuh dan canggih daripada setiap papak ke marmar, termasuk semua lantai, sistem paip serta penyaman udara bagi memastikan ketenangan mutlak di seluruh bangunan itu. Bagi penyelenggaraan yang rapi, harta tanah itu menggunakan perisian tersendiri yang merekodkan secara digital setiap langkah dan setiap inci persegi pembinaan itu dalam bentuk foto dan video.

William Pierce sedia terkenal dalam kalangan golongan elit harta tanah berkualiti tinggi di Florida Selatan, dan dikenali kerana hasil jualan beliau yang sering memecahkan rekod. Beliau merupakan rakan sekutu jualan No. 1 Coldwell Banker di Florida Selatan dan beliau dikenali pada peringkat antarabangsa oleh para pelanggan eksklusif kerana beliau sering menawarkan harta tanah yang mengagumkan di pasaran.

Jennifer McGuire
Coldwell Banker Residential Real Estate
Telefon: +1 941.487.1432
jennifer.mcguire@nrtsoutheast.com

Source: Coldwell Banker Residential Real Estate
Keywords: Banking/Financial Service Real Estate Residential Real Estate