SINGAPURA, 29 Januari 2024 /PRNewswire/ -- Agoda, platform pelancongan digital global, mengumumkan pada Forum Pelancongan ASEAN (ATF) ke-27 yang diadakan di Vientiane, Laos bahawa ia telah memperluaskan kerjasamanya dengan World Wide Fund for Nature (WWF), mengembangkan Program Eco Deals untuk menyokong lapan projek pemuliharaan merentasi Asia Tenggara. Sebagai sebahagian daripada agenda rasmi ATF, Agoda telah menganjurkan majlis makan tengah hari dengan kehadiran Menteri Pelancongan ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN. Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern dan Pengarah Konservasi WWF-Singapura, Elizabeth Clarke, menggariskan visi dan matlamat bagi kerjasama tersebut di hadapan wakil-wakil daripada Organisasi Pelancongan Kebangsaan ASEAN, Sekretariat ASEAN dan juga Rakan Dialog ASEAN. Program Eco Delas Agoda merupakan satu contoh kerjasama swasta-awam untuk menyokong tema ATF: "Pelancongan yang berkualiti dan bertanggungjawab - Melestarikan Masa Depan ASEAN".
Agoda akan meningkatkan sumbangan kepada WWF-Singapura empat kali ganda, iaitu sebanyak USD $1 juta sebagai sebahagian daripada Program Eco Deals tahun ini bagi menyokong usaha pemuliharaan pejabat WWF tempatan di lapan pasaran, termasuk tuan rumah ATF Lao PDR, serta Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Serupa dengan edisi program sebelumnya, Agoda akan menderma USD $1 untuk setiap tempahan hotel yang dibuat ke atas hotel yang menyertai inisiatif tersebut. Dana ini akan menyokong pelbagai projek pemuliharaan WWF yang merangkumi usaha pemuliharaan marin, hutan dan hidupan liar, termasuk perlindungan harimau di Malaysia, jerung paus di Filipina, dan gajah di Thailand. Projek lain yang menerima bantuan tahun ini memberi tumpuan kepada pemuliharaan Saola di Vietnam, pemulihan ekosistem di Indonesia, sokongan renjer di Kemboja, dan penambahbaikan tanah lembap bandar di Lao PDR. Program Eco Deals ini sedang menerima penyertaan rakan kongsi penginapan secara aktif dan akan dibuka kepada pengguna pada 3 Mac 2024 dan berlangsung sehingga 3 Disember 2024.
Di acara ATF pada 26 Januari lalu, Omri Morgenshtern, Ketua Pegawai Eksekutif, Agoda berkata: "Sebagai sebuah syarikat yang bermatlamat untuk membolehkan lebih ramai orang melakukan perjalanan, kami sedar bahawa kami mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha pemeliharaan destinasi. Melalui kerjasama kami yang berterusan dengan WWF di bawah Program Eco Deals dan sokongan kerjasama rakan penginapan, kami berhasrat untuk memperjuangkan inisiatif pemuliharaan dan perlindungan bumi kita secara proaktif agar ia kekal untuk dinikmati oleh generasi akan datang."
Pengerusi Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN ke-27, Y.B. Suanesavanh Vignaket, Menteri Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos berkata, "Kami mengalu-alukan sektor swasta dan awam untuk mengambil bahagian secara aktif dalam memajukan dan memupuk amalan mampan di ASEAN, selaras dengan prinsip yang digariskan dalam Rangka Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Pelancongan Mampan. Kerjasama yang patut diberi perhatian seperti kerjasama antara Agoda dan WWF menjadi contoh yang cemerlang, memberi sumbangan yang besar dalam meningkatkan kesedaran terhadap perjalanan bertanggungjawab serta ASEAN sebagai destinasi pelancongan."
Vivek Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif, WWF-Singapura berkata: "Laporan Living Planet terbaru WWF mendedahkan penurunan mencolok sebanyak 69% populasi hidupan liar secara purata dalam masa kurang daripada jangka hayat. Sebagai hab antarabangsa, WWF-Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk terus memacu perubahan positif di Asia Tenggara. Kerjasama pemuliharaan kami sejak dua tahun lepas telah menghasilkan impak yang ketara terhadap alam sekitar. Sementara kami memulakan kerjasama dengan Agoda untuk tahun ketiga, kami berharap untuk meluaskan projek pemuliharaan marin, hutan, dan hidupan liar."
Projek pemuliharaan WWF yang disokong dalam edisi kedua Program Eco Deals telah mencapai kejayaan yang menakjubkan:
-TAMAT-
NOTA KEPADA EDITOR
Mengenai Agoda
Agoda membantu sesiapa sahaja melancong ke mana-mana dengan tawaran terbaik di 4 juta hotel dan tempat percutian di seluruh dunia, serta penerbangan, aktiviti dan banyak lagi. Agoda.com dan aplikasi mobile Agoda terdapat dalam 39 bahasa dan disokong oleh ejen khidmat pelanggan 24 jam.
Beribu pejabat di Singapura, Agoda adalah sebahagian daripada Booking Holdings (NasDaq: BKNG) dan mempunyai lebih daripada 6,900 kakitangan di 26 buah negara, berdedikasi untuk memanfaatkan teknologi terbaik bagi menjadikan perjalanan lebih mudah.
Mengenai WWF-Singapore
World Wide Fund for Nature (WWF) merupakan salah satu organisasi pemuliharaan bebas terbesar dan paling dihormati di dunia. Misi WWF adalah untuk menghentikan kemerosotan persekitaran semula jadi Bumi dan membina masa depan di mana manusia boleh hidup dalam keadaan yang harmoni dengan alam semula jadi.
Sebagai salah satu hab antarabangsa WWF, WWF-Singapura menyokong rangkaian global yang merangkumi lebih 100 buah negara. WWF-Singapura bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan tempatan ke arah Singapura yang lebih hijau dan mampan serta rantau di sekeliling kita. Kami berusaha untuk menangani isu-isu utama, seperti perubahan iklim, kewangan mampan, penebangan hutan, perdagangan hidupan liar haram, pemuliharaan marin, serta pengeluaran dan penggunaan mampan, melalui usaha sama, pendidikan dan jangkauan yang melibatkan komuniti, syarikat swasta dan kerajaan.