omniture

Yayasan Masyarakat Internet (Internet Society Foundation) Mengumumkan Lebih Daripada $4.5 Juta Pembiayaan untuk Menyokong Penyelidikan Berkenaan Masa Depan Internet

Internet Society Foundation
2024-04-11 19:47 83

RESTON, Va., 11 April 2024 /PRNewswire/ -- Yayasan Masyarakat Internet pada hari ini mengumumkan pembukaan kitaran permohonan 2024 untuk Program Geran Penyelidikan. Program ini menawarkan geran sehingga US$500,000 untuk menyokong penyelidik-penyelidik di seluruh dunia yang sedang mengkaji isu-isu penting yang berkaitan dengan masa depan dan kemampanan Internet.

Yayasan Masyarakat Internet menggalakkan penyelidik-penyelidik bebas, organisasi bukan untung, dan institusi penyelidikan awam di seluruh dunia untuk mengemukakan cadangan yang menyelidik dalam bidang-bidang tematik berikut:

  • Internet yang Boleh Dipercayai
  • Penyahkolonialan Internet
  • Menghijaukan Internet
  • Ekonomi Internet

"Mencipta pengetahuan baharu melalui penyelidikan yang teliti adalah penting untuk memastikan kesihatan jangka panjang Internet," kata Sarah Armstrong, Pengarah Eksekutif Yayasan Masyarakat Internet. "Dengan menyokong pelbagai penyelidik, kita mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang impak Internet ke atas masyarakat dan boleh menggunakan bukti tersebut untuk membentuk masa depan yang lebih adil dan mampan."

"Penyelidikan kami melibatkan kerja teknikal, lawatan lapangan dan bengkel kerjasama dengan pengguna luar bandar. Selatan Global, terutamanya kawasan luar bandar, sangat bersifat kontekstual. Membangunkan teknologi seperti cara syarikat teknologi besar melakukannya mungkin tidak berfungsi dengan baik kerana jika tidak relevan dengan pengguna, mereka tidak akan menggunakannya. Tanpa geran Yayasan Masyarakat Internet, penyelidikan ini mungkin mustahil untuk dilaksanakan." - Francis Saa-Dittoh daripada Universiti untuk Pembangunan, Ghana. (Ketahui lebih lanjut tentang penyelidikan Francis yang menggunakan kecerdasan buatan untuk menggalakkan penyertaan digital).

Penyelidik-penyelidik bebas mungkin menerima akan pembiayaan sehingga US$200,000, manakala organisasi dan institusi boleh menerima sehingga US$500,000.

Tempoh permohonan untuk Program Geran Penyelidikan 2024 dibuka pada 3 April dan ditutup pada 14 Mei 2024, pada pukul 21:00 UTC.

Yayasan Masyarakat Internet komited untuk membuka akses kepada penyelidikan. Semua projek yang dibiayai harus diterbitkan dan disediakan secara percuma kepada orang ramai. Program ini juga sangat menggalakkan permohonan daripada kumpulan yang kurang diwakili dalam komuniti penyelidikan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang program ini dan mengemukakan permohonan, sila layari laman web Yayasan Masyarakat Internet: https://isoc.pub/ResearchGrant.

Perihal Yayasan Masyarakat Internet

Yayasan Masyarakat Internet  telah ditubuhkan untuk menyokong perbezaan positif yang boleh dilakukan oleh Internet kepada manusia di mana-mana sahaja. Dipandu oleh visi kami untuk sebuah Internet untuk Semua Orang, usaha filantropi Yayasan ini menyokong idea dan membolehkan komuniti membuka potensi Internet untuk menangani cabaran-cabaran evolusi dunia. Yayasan ini memberikan geran kepada Cawangan-Cawangan Masyarakat Internet serta organisasi bukan untung dan individu yang komited untuk menyediakan akses bermakna kepada Internet yang terbuka, terhubung secara global, selamat, dan dipercayai untuk semua orang.  

 

 

Source: Internet Society Foundation
Keywords: Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Not for profit Public Interest