omniture

Onconic Therapeutics Terima Kelulusan MFDS untuk JAQBO, Rawatan Baharu untuk Penyakit Refluks Gastroesofagus (GERD)

Onconic Therapeutics
2024-04-26 20:42 6

SEOUL, Korea Selatan, 26 April 2024 /PRNewswire/ -- Onconic Therapeutics, sebuah syarikat bioteknologi yang terkemuka di Korea, hari ini mengumumkan bahawa Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubatan (MFDS) Korea meluluskan JAQBO (zastaprazan sitrat) untuk rawatan penyakit refluks gastroesofagus erosif (GERD) dalam kalangan orang dewasa.

JAQBO ialah penghalang kompetitif kalium (P-CAB) generasi seterusnya yang dijangka menjadi rawatan standard baharu dalam pasaran untuk penyakit berkaitan asid gastrik. JAQBO mengikat kepada pam proton secara langsung dengan cara yang kompetitif bagi mengurangkan rembesan asid gastrik. Mekanisme baharu ini membolehkan permulaan tindakan yang pantas tanpa mengira tahap keasidan dalam perut, menawarkan kelegaan gejala yang segera. Di samping itu, tempoh penindasan asid yang lebih lama tanpa kesan makanan dapat menyediakan paradigma baharu dalam rawatan GERD.

Kelulusan JAQBO daripada MFDS adalah berdasarkan kepada keputusan komprehensif termasuk percubaan klinikal Fasa III merentas 28 tapak di Korea. Kajian menunjukkan keberkesanan JAQBO untuk esofagitis erosif, dengan kadar penyembuhan 97.9% selepas 8 minggu rawatan. Keputusan ini dibentangkan di Minggu Gastroenterologi Kesatuan Eropah pada Oktober 2023.

Onconic Therapeutics menyasarkan untuk melancarkan JAQBO pada tahun ini selepas penyenaraian untuk Pembayaran Balik Insurans Penjagaan Kesihatan Nasional di Korea. Jualan domestik JAQBO akan dikendalikan oleh Jeil Pharmaceutical, syarikat induk Onconic Therapeutics.

Pada Mac 2023, JAQBO dilesenkan kepada Livzon Pharmaceutical Group, penjual utama PPI di China bagi tujuan pembangunan dan pengkomersialan, dengan nilai urus niaga sebanyak $127.5 juta untuk Rantau Besar China.

Onconic Therapeutics komited untuk meningkatkan rawatan gastrousus dan menambah baik hasil pesakit dengan memperluaskan indikasi tambahan.

Latar Belakang Onconic Therapeutics 

Onconic Therapeutics ialah peneraju Korea dalam membangunkan ubat-ubatan baharu. Dengan fokus kepada penyelidikan yang inovatif dan kecemerlangan klinikal, Onconic Therapeutics mengkhusus untuk meningkatkan hasil pesakit dan menyediakan penyelesaian penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk kanser dan gangguan gastrousus.

Kenyataan Pandang ke Hadapan 

Siaran akhbar ini mengandungi kenyataan pandang ke hadapan yang berdasarkan kepada jangkaan, ramalan dan andaian semasa kami. Kenyataan ini melibatkan risiko dan ketidakpastian yang boleh menyebabkan keputusan sebenar sangat berbeza daripada yang dijangkakan atau diunjurkan. Kenyataan pandang ke hadapan termasuk kenyataan mengenai prestasi kewangan masa depan kami, strategi perniagaan, rancangan dan objektif. Faktor-faktor yang boleh menyebabkan perbezaan sedemikian termasuk tetapi tidak terhad kepada keadaan ekonomi, permintaan pasaran, tekanan kompetitif dan perubahan peraturan. Kami tidak memikul apa-apa tanggungjawab untuk mengemas kini apa-apa kenyataan pandang ke hadapan untuk menggambarkan peristiwa atau keadaaan selepas tarikh siaran akhbar ini.

 

 

 

Source: Onconic Therapeutics
Related Stocks:
Korea:271980
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries