omniture

Pendaftaran Cabaran Mekanik Kini Dibuka

Pasukan yang menang bakal menerima pakej hadiah menyeluruh
Messe Frankfurt (HK) Ltd
2014-10-24 12:59 286

HONG KONG, 24 Oktober 2014 /PRNewswire/ -- Cabaran Mekanik, iaitu sebuah acara perdagangan automotif yang sangat menarik kini dibuka untuk pendaftaran kepada semua mekanik Malaysia yang bekerja di bengkel bebas. Cabaran itu akan berlangsung di Automechanika Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Mac 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia.

Cabaran Mekanik dianjurkan oleh Messe Frankfurt (HK) Ltd, Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK). Penganjuran acara ini disokong oleh Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM), Persekutuan Persatuan Pedagang Kejuruteraan dan Alat Ganti Motor Malaysia (FEMPTAM) dan juga Persatuan Pengusaha Industri-Industri Bengkel Malaysia (PPIBM).

Institut Automotif Malaysia (MAI), penyokong bersekutu Automechanika Kuala Lumpur, merupakan salah satu daripada tiga penganjur acara yang dijalankan secara serentak ini. Mengulas sokongan penuh yang dihulurkan oleh mereka, En. Madani Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif MAI berkata: "Kami gembira dapat turut serta menganjurkan Cabaran Mekanik ini, kerana ia menyediakan platform terbaik untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan kemahiran dalam kalangan juruteknik di pasaran alat ganti automotif Malaysia. Cabaran Mekanik akan menyediakan pelbagai peluang kepada juruteknik untuk mencungkil kebolehan masing-masing dalam menyelesaikan masalah-masalah teknikal. Acara itu akan mencakupi teknik bagi mendiagnosis masalah, kaedah baharu untuk berhubung dengan teknologi dan inovasi yang akan memberikan impak yang bermakna terhadap standard perkhidmatan bagi pengguna kenderaan bermotor."

Datuk Dr Pang, Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK)  dalam mengulas mengenai peluang untuk meningkatkan kepakaran dan kecekapan, berkata: "Cabaran Mekanik menyediakan platform terbaik bagi mekanik Malaysia untuk membuktikan pengetahuan automotif dan kemampuan para mekanik dalam aspek pembaikan. Selain itu, mekanik dapat mempertingkatkan pengalaman dan meningkatkan kemahiran mendiagnosis dan pembaikan mereka. Oleh yang demikian, saya menggalakkan lebih ramai penyedia latihan yang diluluskan JPK untuk mengambil bahagian dalam acara ini."

Pasukan yang menang bakal raih pakej hadiah menyeluruh

Mekanik yang bekerja di bengkel bebas dari 14 buah negeri dibenarkan untuk mendaftar bagi pertandingan itu secara tiga orang sepasukan. Pasukan-pasukan ini akan menjalani pusingan pertama Cabaran Mekanik yang diadakan dalam bentuk peperiksaan aneka pilihan bertulis. Kemudian, lapan pasukan dengan markah tertinggi akan memasuki pertandingan akhir yang akan diadakan semasa Automechanika Kuala Lumpur. Pertandingan akhir akan mencakupi peperiksaan bertulis dan ujian praktikal. Setiap pasukan perlu mendiagnosis dan membaiki kerosakan kereta dalam tempoh masa yang tertentu. Markah yang lebih tinggi akan diberi berdasarkan prestasi pasukan-pasukan yang terlibat semasa menjalani cabaran tersebut.

Pasukan juara Cabaran Mekanik akan meraih hadiah wang tunai RM7,000, trofi dan juga sijil. Pemenang tempat seterusnya akan meraih hadiah yang berikut:

  • Tempat kedua: Wang tunai RM5,000, trofi dan sijil
  • Tempat ketiga: Wang tunai RM 3,000, trofi dan sijil
  • Tempat keempat hingga kelapan: Wang tunai RM1,000 dan sijil

Cabaran Mekanik juga merupakan peluang pemasaran yang sangat sesuai untuk meningkatkan pendedahan pasaran terhadap produk dan perkhidmatan. Shell, iaitu syarikat petrokimia global yang menyediakan produk minyak kenderaan, meneruskan penajaan mereka yang sangat istimewa dan bermakna terhadap Cabaran Mekanik. Selain itu, pengeluar kereta MAZDA sekali lagi akan menyediakan kenderaan untuk dibaiki oleh mekanik sewaktu pusingan terakhir pertandingan itu berlangsung.

Edisi kesembilan Automechanika Kuala Lumpur, iaitu pameran perdagangan serantau utama Malaysia untuk industri automotif yang menyasarkan pengunjung dagangan dari ASEAN dijangka menarik lebih 6,000 pelawat di pertunjukan seluas 7,500 meter persegi itu. Pameran tahun 2015 ini akan terus mengetengahkan konsep "Amalan Hijau", yang mempamerkan produk dan perkhidmatan yang mesra alam dan turut melibatkan pelbagai aktiviti interaktif, demonstrasi dan juga seminar. Pameran ini dianjurkan oleh Messe Frankfurt (HK) Ltd dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta disokong oleh Industri Automotif Malaysia (MAI).

Pendaftaran Cabaran Mekanik ditutup pada 17 November 2014. Untuk mendaftar, peserta hendaklah menghubungi penny.tan@malaysia.messefrankfurt.com atau talian +60 3 7803 2276. 

Syarikat yang berminat untuk membuat tajaan diundang untuk menghubungi mike.kwan@hongkong.messefrankfurt.com atau talian +852 2238 9971, atau kenneth.fong@malaysia.messefrankfurt.com atau talian + 60 3 7803 2276.

Maklumat lanjut tentang Automechanika Kuala Lumpur boleh didapati dengan melayari www.automechanika-kl.com atau dengan menghantar e-mel kepada autoasia@hongkong.messefrankfurt.com

Automechanika Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada 14 pesta Automechanika yang diadakan di Afrika, Asia, Eropah,Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang pesta ini, sila layari www.automechanika.com.

Maklumat latar belakang Messe Frankfurt

Messe Frankfurt merupakan antara penganjur pesta perdagangan utama dunia, menjana kira-kira EUR545 juta dari segi jualan dan menggaji kira-kira 2,000 pekerja di seluruh dunia. Messe Frankfurt Group mempunyai rangkaian global sebanyak 28 syarikat subsidiari dan kira-kira 50 Rakan Jualan antarabangsa, dengan demikian membolehkannya berkhidmat kepada para pelanggan di serata lokasi di lebih 150 negara. Acara Messe Frankfurt berlangsung di lebih 30 lokasi seluruh dunia. Pada tahun 2013, Messe Frankfurt telah menganjurkan sejumlah 113 pesta perdagangan. Lebih separuh daripada jumlah pesta perdagangan itu diadakan di luar Jerman. Kawasan pameran Messe Frankfurt adalah seluas 578,000 meter persegi, dan mempunyai sepuluh dewan pameran. Syarikat ini turut mengendalikan dua pusat kongres. Syarikat ini ialah syarikat milikan awam, dengan Majlis Perbandaran Frankfurt memiliki pegangan 60 peratus manakala Negeri Hesse pula memiliki pegangan 40 peratus. Bagi memperoleh maklumat lanjut, sila layari laman sesawang kami di www.messefrankfurt.com.

Automechanika Kuala Lumpur
Pesta Dagangan Serantau utama Malaysia untuk Industri Automotif
 
yang menyasarkan Pengunjung Dagangan dari ASEAN
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia
19 - 21 Mac 2015

Rachel Leung
Tel +852-2230-9225
Faks +852-2598-7919
rachel.leung@hongkong.messefrankfurt.com
www.messefrankfurt.com.hk
www.automechanika-kl.com

Source: Messe Frankfurt (HK) Ltd
Keywords: Auto Transportation Trade show news