BEIJING, 9 Mei 2024 /PRNewswire/ -- Baru-baru ini, balasan daripada Presiden China Xi Jinping mencetuskan keterujaan dan memberi inspirasi kepada pekerja daripada HBIS Smederevo Steel Plant di Serbia. Memberi respons kepada surat terdahulu mereka, Xi menggalakkan mereka untuk memberi sumbangan baharu kepada persahabatan China-Serbia.
Tiga puluh pekerja Serbia daripada kilang keluli tersebut menulis sepucuk surat kepada Xi, menjelaskan tentang perkembangan terkini di kilang berkenaan dan menyatakan rasa terima kasih mereka atas sokongan beliau dalam penggiatan semula kilang yang ikonik itu.
Ditubuhkan pada tahun 1913 di bandar Smederevo, kilang keluli tersebut pernah disanjung sebagai "kebanggaan Serbia". Namun begitu, sejak lewat tahun 1990-an, kilang tersebut hampir tutup hinggalah pelaburan Cina tiba dalam tahun 2016. Pada tahun yang sama, Xi melawat kilang berkenaan dan bertemu dengan para pekerjanya.
Hasil daripada teknologi canggih dan sistem pengurusan daripada China, kilang tersebut mencapai keuntungan dan kini menjadi salah satu daripada tiga pengeksport terbesar di Serbia.
Persahabatan utuh
Xi tiba di Belgrade pada hari Selasa untuk mengadakan lawatan negara kedua beliau ke Serbia dan harapan diletakkan semakin tinggi agar persahabatan utuh antara kedua-dua negara akan terus diperkayakan dan diperkukuh.
Dalam artikel bertandatangan yang diterbitkan pada hari Selasa melalui media Serbia, Xi berkata China dan Serbia tetap menjadi sahabat sejati dan rakan kongsi yang baik, tanpa mengira perubahan dalam landskap antarabangsa.
"Persahabatan utuh kami semakin berkembang, menjadi model untuk interaksi sesama negara dan sesama rakyat," kata Xi dalam artikel berkenaan.
Xi menyatakan dalam artikel tersebut bahawa kedua-dua negara harus menggalakkan pertukaran sesama rakyat dan budaya berbilang dimensi serta mempelbagaikan kerjasama sub-nasional.
"Kita harus memanfaatkan sepenuhnya kesan gabungan daripada 'pengecualian visa bersama berserta penerbangan terus,' serta pusat kebudayaan masing-masing, bagi mendorong kerjasama dalam bidang pendidikan, sukan, kebudayaan dan juga pelancongan," kata Xi, menambah bahawa lebih banyak peluang untuk belia harus dicipta agar persahabatan China-Serbia dapat diteruskan dari generasi ke generasi.
Momentum kerjasama
Serbia ialah rakan dagangan bebas pertama China di Eropah Tengah dan Timur. Pada tahun 2023, China menjadi sumber pelaburan asing terbesar Serbia dan rakan dagangan kedua terbesar. Madu Serbia, wain merah, daging lembu, daging kambing dan hasil pertanian yang lain menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna Cina.
"Kerjasama kami yang berkembang maju dalam hubungan perdagangan dan ekonomi, rantaian industri serta pembangunan infrastruktur memberikan rangsangan yang besar kepada proses pemodenan masing-masing," kata Xi dalam artikel berkenaan.
Presiden Cina berkata kedua-dua negara harus menyerlahkan lagi potensi kerjasama yang saling memberi manfaat, melaksanakan pelan tindakan jangka sederhana bagi kerjasama di bawah rangka kerja Inisiatif Jalur dan Jalan serta membina lebih banyak projek utama.
"Kita harus meluaskan kerjasama dalam inovasi teknologi, pembuatan termaju, tenaga hijau, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan bidang-bidang baru muncul yang lain," kata beliau.
Dalam ucapan bertulis setibanya beliau di ibu kota Serbia, Belgrade, Xi berkata beliau berharap dapat bertukar-tukar pandangan yang mendalam bersama Presiden Serbia Aleksandar Vucic mengenai hubungan dua hala serta isu-isu lain yang membawa kepentingan bersama.
"Saya yakin kunjungan ini akan menjadi sesuatu yang membuahkan hasil dan akan membuka bab baharu dalam hubungan China-Serbia," kata Xi dalam ucapan beliau.