BRESCIA, Itali, 5 November 2014 /PRNewswire/ --
Loji pemulihan haba generasi baharu, terbukti untuk industri yang menggunakan tenaga secara intensif, menyediakan manfaat berharga daripada segi kecekapan tenaga, kemampanan serta daya saing, juga untuk industri keluli dan logam.
Turboden, syarikat terkemuka yang menghasilkan penjana kuasa turbo Kitar Rankine Organik (ORC) bagi penjanaan kuasa yang diagihkan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dan haba sisa, juga merupakan syarikat kumpulan Mitsubishi Heavy Industries Ltd. (MHI), mengimplementasikan loji pemulihan haba berasaskan ORC yang pertama di dunia menggunakan Relau Arka Elektrik (EAF). Unit ORC output elektrik 3 MW baharu itu memanfaatkan sebahagian daripada stim tepu yang dihasilkan dan mendapatkan semula haba daripada gas ekzos hiliran EAF di ESF (Elbe-Stahlwerke Feralpi GmbH), salah satu pengeluar paling berkelayakan bagi besi dan keluli di Eropah yang terletak di Riesa, Jerman.
Sistem pemulihan haba itu dimulakan sejak Disember 2013. Ia disambungkan kepada sistem rawatan gas lepas relau elektrik lebur. Tenaga yang diperoleh semula dapat mengurangkan penggunaan kuasa bersih, lalu menggalakkan pengurangan gas CO2 (karbon dioksida) secara signifikan.
Di samping penghasilan tenaga elektrik, stim selebihnya disalurkan pula kepada sistem bekalan stim Perbandaran Riesa dan turut digunakan dalam proses pengeluaran tayar di kilang yang berdekatan.
Turboden, perintis teknologi ORC, mereka cipta, menghasilkan dan turut mengimplementasikan loji jana kuasa, lalu menggalakkan pengurangan penggunaan tenaga perindustrian dan juga pembendungan emisi melalui pemulihan haba daripada aliran haba sisa yang tidak dieksploitasi dan gas ekzos dalam proses pengeluaran serta loji kuasa.
Teknologi ini sesuai digunakan dalam industri yang menggunakan tenaga secara intensif seperti kaca, simen, aluminium, besi & keluli, melibatkan proses pengeluaran yang biasanya menghasilkan gas ekzos melebihi 250 darjah Celsius.
Loji baharu sebegini bukan sekadar menyediakan kelebihan daripada segi kelestarian alam sekitar, pengurangan emisi, peningkatan kecekapan proses perindustrian serta peningkatan prestasi perniagaan, malah ia turut menyediakan peluang bagi meningkatkan daya saing.
Sejak tahun 2007, Turboden telah mereka bentuk dan mengimplementasikan 34 loji kuasa bagi tujuan pemulihan haba di Jerman, Belgium, Romania, Slovakia, Itali, Finland, Austria, Turki, Maghribi, Kanada, Amerika Syarikat dan juga Singapura, dengan beberapa loji tambahan yang sedang dibina di Jerman, Itali, Perancis, Turki, Romania, Kanada serta Rusia.
Menurut Laporan Kecekapan Tenaga 2012, kajian yang dijalankan oleh Politecnico di Milano terhadap kecekapan tenaga dalam proses perindustrian, anggaran potensi tenaga elektrik yang dihasilkan melalui teknologi pemulihan haba berasaskan ORC dapat membawa keuntungan hampir 8 bilion Euro kepada Eropah dengan penjimatan tenaga sebanyak kira-kira 2.5 GW dan seterusnya pengurangan gas CO2 sebanyak kira-kira 7.5 juta tan.
SUMBER Turboden