omniture

Merintis Revolusi Penjagaan Jantung di Pantai Hospital Kuala Lumpur

Pantai Hospital Kuala Lumpur
2024-05-24 17:54 3

Prosedur TAVI Lanjutan untuk Pesakit Stenosis Aorta Teruk 

KUALA LUMPUR, Malaysia, 24 Mei 2024 /PRNewswire/ -- Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), pemimpin dalam kecemerlangan perubatan dan penjagaan pesakit yang cemerlang, telah mencapai satu lagi mercu jaya penting dengan pelancaran program Implantasi Injap Aorta Transkateter (Transcatheter Aortic Valve Impalation atau TAVI). TAVI ialah sejenis prosedur invasif minimum yang direka untuk menggantikan injap aorta sempit yang tidak dapat dibuka dengan sebaiknya. Prosedur ini biasanya dilakukan menerusi tusukan kecil di pangkal paha, menggunakan kateter untuk meletakkan injap baharu berpandukan x-ray.  Prosedur rumit ini dikendalikan oleh pasukan TAVI yang diketuai oleh Pakar Runding Kardiologi Kanan PHKL, Dr. Yee Kok Meng ke atas pesakit yang mengalami stenosis aorta teruk, iaitu keadaan di mana injap aorta menyempit dan menjejaskan aliran darah dari jantung ke badan.

Dr. Yee Kok Meng, Pakar Runding Kardiologi (5 dari kiri), dan Dr. Tan Kok Leng, Pakar Runding Kardiologi (4 dari kiri), bergambar bersama pasukan makmal kateter.
Dr. Yee Kok Meng, Pakar Runding Kardiologi (5 dari kiri), dan Dr. Tan Kok Leng, Pakar Runding Kardiologi (4 dari kiri), bergambar bersama pasukan makmal kateter.

"Lazimnya, pesakit jantung yang tenat ini dirawat menerusi pembedahan jantung terbuka untuk menggantikan injap jantung dengan injap tiruan. Bagaimanapun, pembedahan sedemikian, terutamanya dalam kalangan individu yang lebih tua atau yang menghidap pelbagai penyakit lain, menimbulkan risiko yang tinggi. Kini dengan TAVI, kami dapat menawarkan pendekatan alternatif yang kurang invasif dan lebih selamat kepada pesakit," kata Dr Yee.

"Di Pantai Hospital Kuala Lumpur, saya sukacita kerana berpeluang meluaskan lagi program TAVI tahun ini hasil sokongan pihak pengurusan hospital PHKL dan semua kakitangan yang terbabit. Disebabkan kerumitan prosedur ini, TAVI memerlukan kerja berpasukan, dan PHKL benar-benar menyediakan segala sokongan yang diperlukan untuk membina pasukan TAVI terkhusus, yang saya anggap penting untuk memastikan hasil cemerlang dari segi penjagaan pesakit dan keputusan klinikal," tambah Dr Yee. Sepanjang bulan lepas, dua pesakit yang disahkan menghidap stenosis aorta kritikal, termasuk seorang lelaki berusia 83 tahun dari Ipoh dan seorang warga Indonesia berusia 69 tahun yang sedang pulih daripada strok baru-baru ini, telah berjaya menjalani TAVI. Kedua-dua pesakit dibenarkan pulang dari hospital dalam masa 48 jam selepas prosedur.

Pusat Jantung di Pantai Hospital Kuala Lumpur telah menjadi peneraju rawatan masalah jantung yang rumit menggunakan teknologi terkini. Kejayaan prosedur ini bukan sahaja satu pencapaian peribadi penting bagi pesakit dan Dr Yee, tetapi juga menetapkan tanda aras bagi piawaian penjagaan jantung di seluruh negara.

Untuk menjamin kesihatan jantung anda dan memastikan ia terus berdenyut dengan rentak yang betul, PHKL menekankan betapa pentingnya mengambil langkah awal untuk mengesan dan mencegah penyakit. Pakej Saringan Jantung PHKL menawarkan pelbagai khidmat penilaian yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup individu. Daripada ujian tekanan dan ekokardiogram kepada imbasan jantung CT, pakar-pakar kardiologi kami mempunyai kepakaran mengesan masalah jantung yang mungkin berlaku dengan lebih awal dan memastikan jantung anda berfungsi pada prestasi terbaik.

"Kejayaan prosedur canggih seperti ini di PHKL sesungguhnya memperlihatkan kepakaran dan dedikasi pasukan perubatan kami dan usaha berterusan mereka mencapai kecemerlangan penjagaan kesihatan," kata Erica Lam, Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Kuala Lumpur. "Kami berbangga untuk memberikan pesakit antara pilihan rawatan yang paling canggih di Malaysia."

Pantai Hospital Kuala Lumpur terus berusaha gigih menambah baik khidmat penjagaan pesakit menerusi inovasi dan kepakaran yang disediakan, memberikan sumbangan besar kepada kemajuan dalam bidang perubatan, khususnya dalam rawatan penyakit kardiovaskular.

Untuk maklumat lanjut tentang Pakej Saringan Jantung PHKL , sila layari laman web Pantai Hospital Kuala Lumpur: www.pantai.com.my/kuala-lumpur atau kunjungi Pantai Hospital Kuala Lumpur untuk khidmat rundingan dan dapatkan maklumat lanjut tentang cara anda boleh menghindari penyakit jantung.

Dr. Yee Kok Meng, Pakar Runding Kardiologi
MBChB (Edin), MD (Cardiology, UK), M C P (UK), FACC (USA)

Dr Yee ialah Pakar Runding Kardiologi Kanan di Pantai Hospital Kuala Lumpur sejak 2005, yang mempunyai pengalaman klinikal lebih 20 tahun sebagai Pakar Kardiologi Intervensi. Beliau menerima ijazah dalam bidang Perubatan Dalaman di University of Edinburgh, UK pada 1993. Beliau kemudian menamatkan latihan dan mengkhusus dalam bidang Kardiologi di Cambridge University pada 2001. Dr Yee kemudian ditawarkan fellowship dalam bidang Kardiologi Intervensi oleh University of Toronto, Kanada. Berkhidmat di Toronto General Hospital, Dr Yee menimba pengalaman luas dalam segala aspek prosedur Kardiologi Intervensi. Beliau kembali ke Malaysia pada Ogos 2002 dan sejak itu Dr Yee telah memberikan sumbangan besar kepada bidang kardiologi dan banyak menerbitkan artikel dalam jurnal-jurnal saintifik yang dihormati. Pada 2002, University of Edinburgh memberikan ijazah kedoktoran MD lepasan ijazah dalam bidang Kardiologi dengan Kepujian kepada Dr Yee.  Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai prosedur intervensi dan mengendalikan kebanyakan kesnya menerusi kaedah transradial. Beliau juga berpengalaman dalam penggunaan peranti dan terapi adjungtif  seperti aterektomi bergilir, ultrabunyi intravaskular (iVUS), OCT dan dawai doppler koronari (Dawai Tekanan).

Mengenai Pantai Hospital Kuala Lumpur
Sepanjang tempoh lima dekad, Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) kekal sebagai nadi Kuala Lumpur, dengan kegigihan dan kesungguhan untuk menyediakan khidmat penjagaan luar biasa dan teknologi terkini yang boleh dimanfaatkan oleh pesakit dari segenap lapisan hidup.  Perjalanan kami bermula pada 1974 dengan kemudahan 68 katil dan sepasukan 20 pakar perubatan. Kini, kami berdiri megah sebagai ikon penjagaan kesihatan, menguruskan kemudahan 380 katil dan menjadi pangkalan bagi lebih 200 doktor pakar, yang mengkhusus dalam pelbagai disiplin perubatan dan pembedahan.

Di Pantai Hospital Kuala Lumpur, kami memberikan komitmen kukuh untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti sambil menggalakkan penyelidikan dan ujian klinikal. Kami berbangga untuk memperjuangkan kecemerlangan klinikal, kualiti perkhidmatan dan kecekapan operasi. Usaha kami mengejar kecemerlangan telah membolehkan kami mencapai akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) dan Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI). Di samping itu, kami berbangga untuk memiliki pentauliahan sebagai hospital Mesra Bayi dan hospital pilihan utama di Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sambil kami meraikan ulang tahun ke-50, Pantai Hospital Kuala Lumpur mengukuhkan peranannya sebagai tunggak bandar raya, menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, rawatan inovatif dan warisan kecemerlangan.

Source: Pantai Hospital Kuala Lumpur
Keywords: Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals