omniture

Teknologi Penukaran Bateri Tiger New Energy Terima Dorongan AS$3.5J

Tiger New Energy
2024-06-25 10:00 8

Suntikan dana akan membolehkan syarikat pemula Bangladesh memperkasa lebih ramai pemandu melalui rangkaian stesen penukaran bateri diperluas. 

DHAKA, Bangladesh, 25 Jun 2024 /PRNewswire/ -- Di jalan-jalan Bangladesh yang sibuk, berjuta-juta orang bergantung kepada kenderaan tiga roda setiap hari, Tiger New Energy ("Tiger"), sebuah syarikat pemula tenaga bersih Bangladesh, menetapkan standard baharu dalam mobiliti bandar menerusi teknologi penukaran baterinya yang inovatif. ADB Ventures menyediakan kepada syarikat ini dengan tambahan dana sebanyak AS$1 juta, mengimbuh kepada pusingan benih AS$2.5 juta yang dipimpin oleh Wavemaker Partners tahun lalu. Pelaburan ini mempercepatkan penggunaan rangkaian penukaran bateri Tiger di seluruh Bangladesh, memajukan misinya untuk menggalakkan mobiliti mesra alam serta menyampaikan faedah-faedah sosioekonomi yang besar.

Stesen penukaran bateri inovatif oleh Tiger New Energy, memperkasa pengayuh beca dengan penyelesaian tenaga hijau mampu milik dan cekap di Bangladesh.
Stesen penukaran bateri inovatif oleh Tiger New Energy, memperkasa pengayuh beca dengan penyelesaian tenaga hijau mampu milik dan cekap di Bangladesh.

Mendorong Perubahan untuk Mobiliti Hijau dan Memperkasa Masyarakat Setempat 

Alumni Harvard Business School Nicole Mao dan Yiwei Zhu menubuhkan Tiger New Energy bagi menangani isu-isu mendesak berhubung emisi karbon dan ketidakcekapan tenaga yang melanda sektor pengangkutan bandar Bangladesh. Kira-kira 4 juta kenderaan tiga roda dan kenderaan elektrik mengangkut lebih 112 juta orang setiap hari di seluruh negara ini. Walau bagaimanapun, penggunaan bateri asid-plumbum berkualiti rendah, yang hanya bertahan selama 6 hingga 8 bulan, menghalang mod pengangkutan yang penting ini daripada berfungsi dengan cekap sebagaimana yang diperlukan. Ketiadaan infrastruktur pengecasan yang mencukupi memburukkan lagi masalah ini, menimbulkan ancaman keselamatan yang tidak dapat dielakkan, termasuk risiko kemalangan kebakaran.

Melalui langkah yang transformatif, Tiger memperkenalkan rangkaian stesen yang melaluinya pengayuh beca boleh menukar bateri mereka yang sudah habis dengan bateri dicas penuh dalam masa kurang daripada satu minit berbanding empat jam sebelum ini. Ini mengurangkan masa henti dengan banyak sekali dan terbukti dapat meningkatkan pendapatan pengayuh beca sebanyak 60% - satu angka yang mengagumkan, lantas mengukuhkan tulang belakang pengangkutan bandar di Bangladesh.

Teknologi Inovatif Memacu Pertumbuhan Ekonomi 

Ciri-ciri Penukaran Luar Talian dan Pengecasan Balikan proprietari Tiger memastikan kesinambungan perkhidmatan semasa gangguan bekalan kuasa, manakala infrastrukturnya berfungsi sebagai Sistem Storan Tenaga Terpencar (DESS), menyumbang kepada kestabilan grid. Pengurusan haba termaju dan algoritma pengoptimuman berpandukan data meningkatkan lagi prestasi dan jangka hayat bateri ion-litium Tiger berbanding alternatif tradisional.

"Misi kami jelas: untuk menjadikan mobiliti bersih boleh diakses oleh semua dalam pasaran baru muncul," kata Nicole Mao, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tiger New Energy. "Pendanaan ini mengesahkan teknologi dan model perniagaan kami serta mengukuhkan komitmen kami untuk mengurangkan jejak karbon, memupuk pembangunan mampan serta meningkatkan mata pencarian masyarakat setempat."

Pelaburan dan Pertumbuhan 

Wavemaker Partners, firma modal teroka Asia Tenggara terkemuka yang melabur dalam perusahaan peringkat awal, teknologi mendalam dan syarikat pemula kemampanan, mengetuai pusingan pendanaan dengan penyertaan ADB Ventures yang menarik perhatian. Pelabur-pelabur lain dalam pusingan ini termasuk 500 TukTuks, Orvel Ventures, Humble, Penataran Management, Brett Barna, pengasas Barna Family Office, sebuah Pejabat Keluarga Singapura tak maklum serta pelabur tidak rasmi yang tidak didedahkan.

Pelabur-pelabur mengiktiraf potensi penyelesaian Tiger, terutamanya usahawan wanita seperti Nicole Mao dan Yiwei Zhu yang memberi impak yang ketara. "Kami melabur dalam Tiger New Energy kerana Nicole dan Yiwei merupakan pengasas yang hebat dan Bangladesh merupakan pasaran yang kurang diberi perkhidmatan dan berkembang pantas," kata Doug Parker daripada Wavemaker Partners. "Pelaburan daripada ADB Ventures merupakan petanda kualiti pasukan dan impak usaha mereka terhadap rakyat yang bekerja keras."

ADB Ventures, dengan fokus strategik kepada pertumbuhan yang mampan dan inklusif, menyokong misi Tiger. "Penyelesaian penukaran bateri Tiger New Energy yang pantas mengurangkan kebimbangan jarak untuk pemandu kenderaan elektrik di Bangladesh dan membuka jalan untuk akses tenaga yang lebih bersih serta pemerkasaan ekonomi. Pendekatan perniagaan mereka yang inklusif, inisiatif pemerkasaan wanita khusus serta komitmen terhadap kesan iklim benar-benar sejajar dengan misi teras kami untuk memangkinkan tindakan iklim dan memajukan kesamaan jantina melalui penyelesaian yang transformatif di Asia yang semakin meningkat naik," kata Yichu Zhang daripada ADB Ventures.

Meluaskan Rangkaian dan Memperkasa Wanita 

Melalui pelaburan ini, Tiger merancang untuk meluaskan rangkaiannya melangkaui 100 stesen penukaran bateri untuk memperkasa lebih 10,000 pengayuh beca. Dana ini juga akan meningkatkan pemerolehan bakat, merangsang penyelidikan dan pembangunan serta memudahkan penerokaan terhadap pasaran serantau yang baharu. Tiger membentuk secara aktif perkongsian yang strategik bersama pengeluar EV dan pembekal tenaga terkemuka bagi meneruskan misinya.

Impak Sosial Melalui Inisiatif HerDrive  

Komitmen Tiger terhadap impak masyarakat diperlihatkan melalui inisiatif HerDrive, yang bertujuan untuk meningkatkan bilangan pengayuh beca wanita, yang ketika ini berada di bawah 1% tenaga kerja. Inisiatif ini menyediakan latihan, bimbingan dan bantuan kewangan kepada pengayuh beca wanita bagi pemilikan EV, membuka peluang sumber pendapatan baharu dan stabil serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan penumpang wanita. Inisiatif HerDrive menyasarkan untuk memperkasakan 1,000 wanita menjelang tahun 2025.

Melangkah Ke Hadapan: Penyelesaian Pengangkutan Mampan

Tatkala Tiger New Energy mara ke hadapan, ia tetap berdedikasi untuk mencipta impak sosial yang berterusan melalui inisiatif transformatif. Disokong oleh asas kukuh dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pelabur dan komunitinya, Tiger bersedia untuk mencapai pertumbuhan pesat dan bersiap sedia dengan aktif untuk pusingan pendanaan Siri A pada penghujung tahun 2024.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Tiger New Energy dan inisiatif HerDrive, sila kunjungi https://tigernewenergy.com/.

Latar Belakang Tiger New Energy 

Berpangkalan di Dhaka, Tiger New Energy, yang ditubuhkan oleh dua alumni MBA Harvard, mentransformasikan mobiliti bersih di Asia Selatan dengan model 'Bateri sebagai satu Perkhidmatan'. Syarikat mewujudkan rangkaian stesen penukaran bateri yang menggunakan bateri litium untuk menawarkan penyelesaian pengangkutan yang mampan. Dengan memperkenalkan model langganan harian dan berkolaborasi dengan kerajaan tempatan serta komuniti, Tiger New Energy bermatlamat untuk menjadikan kenderaan elektrik lebih mampu milik dan mudah diakses, mengurangkan dengan ketara emisi karbon dan meningkatkan kelestarian alam sekitar. Perkhidmatan ini membolehkan pengguna menerima mobiliti hijau tanpa kos pendahuluan yang tinggi, menggalakkan penyebaran penyelesaian pengangkutan mesra alam merentas pelbagai wilayah.

 

Source: Tiger New Energy
Keywords: Auto Banking/Financial Service Computer/Electronics Environmental Products & Services Green Technology Transportation Utilities Venture Capital