omniture

CGTN: China, Kazakhstan hargai hubungan mesra, berikrar kerjasama selanjutnya

CGTN
2024-07-05 22:34 4

BEIJING, 5 Julai 2024 /PRNewswire/ -- China dan Kazakhstan sentiasa menyokong antara satu sama lain dan juga sentiasa menjadi rakan kongsi semasa menghadapi cabaran, kata Presiden China Xi Jinping dalam artikel yang ditandatangani dalam akhbar Kazakhstanskaya Pravda dan Kazinform International News Agency pada hari Selasa.

Xi mengadakan lawatan kelima beliau ke Kazakhstan, yang mana beliau bukan sahaja dialu-alukan oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di lapangan terbang tetapi turut disambut dengan hamparan permaidani biru – warna bendera negara Kazakhstan yang disifatkan oleh warga Kazakhstan sebagai melambangkan persahabatan antara China dan Kazakhstan – sementara sekumpulan pelajar Kazakhstan menyanyikan lagu Cina "Ode to the Motherland."

Lawatan ini juga merupakan lawatan kedua Xi dalam tempoh kurang daripada dua tahun, susulan lawatan negara beliau sebelum ini pada bulan September 2022. Selain itu, Xi dan Tokayev bertemu di Beijing pada Oktober 2023.

Hubungan mesra antara China dan Kazakhstan berakar umbi daripada Jalan Sutera purba yang berusia ribuan tahun lamanya, diperkukuh oleh kerjasama selama 32 tahun selepas penubuhan hubungan diplomatik dan telahpun mencapai tahap tinggi perkongsian strategik komprehensif yang kekal, kata Xi semasa pertemuan beliau bersama Tokayev pada hari Rabu.

Sejak China dan Kazakhstan menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1992, kedua-dua negara ini mengeratkan hubungan mereka secara berterusan, pada mulanya dengan mencapai perkongsian strategik dalam tahun 2005, kemudian perkongsian strategik yang komprehensif pada tahun 2011 dan seterusnya perkongsian strategik komprehensif yang kekal pada tahun 2019.

Kepercayaan bersama dan hubungan politik yang semakin mendalam antara China dan Kazakhstan diiringi oleh pertumbuhan yang luar biasa dalam perdagangan dan kerjasama ekonomi mereka sepanjang tiga dekad yang lalu.

China merupakan rakan dagangan terbesar Kazakhstan pada tahun 2023, dengan perdagangan dua hala meningkat sebanyak 32 peratus berbanding tahun sebelumnya bagi mencapai $41 bilion. Eksport utama dari Kazakhstan ke China termasuk minyak mentah, logam dan keluaran pertanian. China, sebaliknya, membekalkan jentera, elektronik dan barangan pengguna kepada Kazakhstan, menurut data kerajaan Kazakhstan.

Duta Besar Kazakhstan ke China Shakhrat Nuryshev membicarakan secara berasingan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) dalam kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala yang semakin berkembang antara kedua-dua negara ini dalam satu wawancara bersama People's Daily.

Bermula daripada Pangkalan Kerjasama Logistik China-Kazakhstan (Lianyungang), projek pertama yang dirasmikan di bawah BRI pada tahun 2014, kepada Lebuhraya China Barat-Eropah Barat, kedua-dua negara ini mendorong keterhubungan yang lebih erat dengan membangunkan pengangkutan jalan raya serta kereta api. Selain itu, usaha niaga yang telahpun selesai dan dijalankan baru-baru ini seperti ladang angin Zhanatas dan stesen hidrokuasa Turgusun menekankan keazaman kedua-dua negara untuk membangunkan ekonomi rendah karbon melalui program tenaga boleh baharu.

China dan Kazakhstan akan memperdalam kerjasama secara berterusan dalam bidang-bidang tradisional seperti perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan dan tenaga, kata Xi semasa mesyuarat bersama yang diadakan dengan pihak akhbar dan Tokayev pada hari Rabu.

Mengambil maklum bahawa China dan Kazakhstan menetapkan matlamat baharu untuk menggandakan perdagangan dua hala pada tarikh lebih awal, Xi menambah bahawa kedua-dua pihak juga akan bersama-sama memupuk titik pertumbuhan yang baharu bagi mencapai kerjasama dalam bidang mineral kritikal, inovasi saintifik dan teknologi, aeroangkasa, ekonomi digital dan bidang-bidang lain.

Pada tahun-tahun yang lalu, China dan Kazakhstan turut memperdalam pertukaran budaya dan sesama rakyat. Sebagai contoh, program dua hala untuk kerjasama kebudayaan, termasuk Bengkel Luban dan pusat perubatan tradisional Cina, telahpun dilaksanakan. Pada bulan Mac, Tahun Pelancongan Kazakhstan dilancarkan secara rasmi di China.

Pada hari Rabu, Xi dan Tokayev melancarkan cawangan Beijing Language and Culture University di Astana International University.

Bagi meningkatkan lagi pertukaran sesama rakyat, Xi memberitahu wartawan bahawa China mengambil keputusan untuk membuka Bengkel Luban kedua di negara Asia Tengah ini dan akan mengadakan Tahun Pelancongan China di Kazakhstan pada tahun 2025.

Selain meningkatkan hubungan dua hala, Xi juga berkata China menyokong Kazakhstan dalam menyertai mekanisme kerjasama BRICS, memainkan peranan sebagai "kuasa pertengahan" di persada antarabangsa dan memberikan sumbangan sewajarnya kepada tadbir urus global.

Xi menambah bahawa China dan Kazakhstan telah berikrar untuk terus bekerjasama erat dalam hal ehwal antarabangsa serta mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dalam rangka kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), mekanisme China-Asia Tengah serta rangka kerja berbilang hala yang lain.

Xi berkata beliau percaya sidang kemuncak Astana pada hari Khamis akan menjadi satu kejayaan yang lengkap dan membawa SCO ke tahap pembangunan yang baharu.

https://news.cgtn.com/news/2024-07-03/China-Kazakhstan-cherish-friendly-ties-vow-further-cooperation-1uWoBOrQ53y/p.html

 

Source: CGTN
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service