omniture

Huawei Menang Digital with Purpose Award bagi Penyelesaian Perlindungan Ikan Salmon di Norway

Huawei
2024-07-15 08:40 42

CASCAIS, Portugal, 15 Julai 2024 /PRNewswire/ -- Huawei menerima GeSI Digital with Purpose (DWP) Award 2024 dan DWP Biodiversity Award 2024 semalam bagi sistem penapisan automatiknya yang direka bentuk untuk melindungi ikan salmon Atlantik liar di Norway.

Dibangunkan di bawah inisiatif TECH4ALL daripada Huawei bersama rakan kongsi tempatan Berlevåg Hunter and Fishermen's Association (BJFF), Simula Consulting dan Troll Systems, penyelesaian yang memenangi anugerah ini berupaya untuk mengenal pasti spesies ikan yang berbeza dan mengasingkan ikan salmon merah jambu, iaitu spesies invasif yang bukan berasal dari sungai-sungai Norway dan memberi impak negatif yang signifikan ke atas ikan salmon tempatan.

"Penganugerahan Hadiah Utama kepada penyelesaian AI Huawei bagi menyaring ikan salmon invasif merupakan keputusan sebulat suara antara semua hakim. Bukan sahaja atas inovasinya, tetapi juga keputusan yang dicapai dalam jangka masa yang singkat. Sistem ini merupakan contoh bagaimana penyelesaian teknologi mempunyai kuasa untuk menyumbang kepada kelestarian planet ini dan pemeliharaan ekosistem," kata Luís Neves, Ketua Pegawai Eksekutif Global Enabling Sustainability Initiative (GeSI).

Huawei receives the DWP Award at the Digital with Purpose Global Summit 2024
Huawei receives the DWP Award at the Digital with Purpose Global Summit 2024

"Huawei komited terhadap inisiatif Digital with Purpose (Digital dengan Tujuan) pada Mei 2021, berjanji untuk mewujudkan langkah-langkah praktikal dan tambahan bagi menjadi sebuah perniagaan yang diterajui oleh tujuan yang memberi impak positif ke atas masyarakat dan tempat asal kami," kata Joyce Liu, Pengarah TECH4ALL Program Office di Huawei. "Teknologi dan perkongsian yang melindungi biodiversiti dan ekosistem bukan sahaja memberi manfaat kepada planet kita, tetapi juga komuniti tempatan yang bergantung kepada sumber semula jadi."

Dengan ikan salmon Atlantik liar menjadi sebahagian daripada identiti, budaya dan ekonomi Norway, keperluan yang mendesak terhadap penyelesaian untuk spesies invasif diiktiraf pada skala nasional.

Diperkenalkan ke dalam sungai-sungai yang bersempadan dengan Norway pada tahun 1960-an, kitaran pembiakan ikan salmon merah jambu yang pantas bererti semakin banyak spesies invasif membanjiri sistem sungai Norway setiap tahun sebagai sebahagian daripada kitaran peneluran dwitahunannya. Ikan ini mengalahkan secara agresif ikan salmon tempatan bagi mendapatkan makanan, memperkenalkan penyakit dan meningkatkan kandungan nitrogen dalam sungai apabila ia mereput, seterusnya mengakibatkan hidupan akuatik yang lain mati.

Selepas dua tahun dibangunkan oleh Huawei dan rakan kongsi, penyelesaian ini digunakan dalam projek-projek rintis di sungai Kongsfjord dan Storelva, Norway pada tahun 2023. Lebih daripada 6,000 ekor ikan salmon merah jambu berjaya dialihkan keluar dari dua sungai ini semasa musim pembiakan tahun lalu.

"Perangkap dibangunkan dan diuji selama beberapa musim dan kami yakin penyelesaian berasaskan AI kami merupakan resipi kejayaan pada masa depan. Antara beribu-ribu pengecaman yang kami lakukan pada tahun lalu, kami telahpun mengenal pasti dan menangkap 100% ikan salmon merah jambu dan mencapai kadar pengecaman keseluruhan sebanyak 99.98," kata Geir Kristiansen, Pengurus Besar BJFF.

Bagaimana penyelesaian ini berfungsi 

Penyelesaian penapisan automatik ini terdiri daripada terowong rentang-sungai, kamera bawah air, pintu pagar automatik dan algoritma AI yang dilatih untuk mengecam spesies ikan yang berbeza. Apabila sistem mengecam ikan salmon merah jambu, pintu pagar tetap tertutup dan mengalihkan ikan ke dalam tangki penyimpan. Bagi ikan salmon Atlantik liar dan spesies tempatan yang lain, pintu pagar dibuka, bagi membolehkannya berenang ke hulu untuk melengkapkan kitaran penelurannya.

The automated gate opens to let wild Atlantic salmon through and divert pink salmon into a holding tank
The automated gate opens to let wild Atlantic salmon through and divert pink salmon into a holding tank

Sebelum ini, sukarelawan perlu mengenal pasti secara visual dan mengeluarkan ikan salmon merah jambu secara manual, satu tugas yang memakan masa dan tenaga kerja, terdedah kepada kesilapan dan mengakibatkan purata kecederaan ikan atau kadar kematian mencecah 30%. Sebaliknya, penyelesaian automatik mengurangkan keperluan tenaga buruh manual sebanyak 90% dan semua ikan tidak mengalami kecederaan.

Dalam projek rintis Sungai Kongsfjord, sistem penapisan berkuasa solar dan disambungkan oleh 5G, memandangkan tapak tersebut tidak mempunyai bekalan kuasa atau sambungan rangkaian. Kejayaan projek-projek rintis bererti penyelesaian ini berpotensi diperluaskan ke seluruh sistem sungai Norway, termasuk yang tidak mempunyai infrastruktur yang diperlukan.

GeSI Digital with Purpose Global Award bermatlamat untuk menonjolkan dan meraikan penyelesaian digital yang memenuhi keperluan manusia, mengurangkan masalah kemiskinan, meningkatkan keterangkuman dan melindungi alam semula jadi selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan konsep Half-Earth (Setengah-Bumi).

Latar Belakang TECH4ALL 

TECH4ALL ialah inisiatif rangkuman digital dan pelan tindakan jangka panjang daripada Huawei. Didayakan oleh teknologi inovatif serta perkongsian, TECH4ALL dibangunkan untuk mengupayakan keterangkuman dan kemampanan dalam dunia digital.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman web Huawei TECH4ALL di https://www.huawei.com/en/tech4all

Ikuti kami melalui X di https://x.com/HUAWEI_TECH4ALL

Source: Huawei
Keywords: Computer/Electronics Environmental Products & Services Animal Welfare Awards Corporate Social Responsibility New products/services Artificial Intelligence