KUALA LUMPUR, Malaysia, 22 Julai 2024 /PRNewswire/ -- Sektor kewangan memainkan peranan yang penting dalam memacu pertumbuhan dan kestabilan ekonomi Malaysia, menyumbang anggaran 6.7% kepada KDNK pada tahun 2023, dengan ramalan pertumbuhan 4.3% untuk tahun 2024[1]. Memandangkan sektor kewangan terus berkembang, dengan 168,832 pekerja setakat suku pertama 2024[2], pembangunan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan dan dilengkapi dengan kemahiran yang tinggi, adalah sangat penting untuk pertumbuhan dan kemampanan sektor itu.
Menteri Sumber Manusia, YB Tuan Steven Sim Chee Keong, dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour bersama Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim dan wakil industri utama lain pada pelancaran rasmi Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) pada 22 Julai 2024.
Trend utama yang memberikan kesan kepada tenaga kerja sektor kewangan Malaysia, iaitu, GenAI, transformasi digital, keselamatan siber, kelestarian, pendekatan berorientasikan pelanggan, dan pendekatan berorientasikan pekerja, secara asasnya membentuk semula model perniagaan dan peranan pekerjaan. Menurut laporan The Future of Jobs Report 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia, para majikan menganggarkan bahawa menjelang tahun 2027, 44% daripada kemahiran teras pekerja akan terganggu dan enam daripada 10 pekerja akan memerlukan latihan, tetapi hanya separuh mempunyai akses kepada peluang latihan yang mencukupi.
Menyedari keperluan mendesak untuk menangani pelbagai cabaran ini, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), dengan kerjasama Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Institut Insurans Malaysia (MII), hari ini melancarkan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) yang pertama untuk memastikan tenaga kerja sektor kewangan bersedia untuk menghadapi masa depan dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan menggalakkan penguasaan kemahiran dan pembelajaran berterusan. Dirasmikan oleh YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia, Malaysia, dan Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia, FSF akan memudahkan transformasi tenaga kerja, sejajar dengan Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022–2026, yang menekankan kepentingan memupuk bakat yang sesuai untuk masa hadapan bagi meningkatkan daya saing sektor kewangan.
FSF mengenal pasti 159 peranan pekerjaan yang relevan dan 157 kemahiran yang akan menjadi permintaan untuk tempoh tiga tahun akan datang, laluan perkembangan kerjaya yang berpotensi, dan menyediakan akses kepada hampir 1,000 program pembangunan kapasiti. Antara lain, FSF menonjolkan permintaan yang semakin meningkat untuk kemahiran dalam bidang teknologi sempadan (frontier), kelestarian dan Syariah.
Edward Ling, Ketua Eksekutif, Asian Institute of Chartered Bankers, berkata, "Memandangkan Malaysia menyasarkan 35% tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030, Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) menandakan langkah penting dalam memajukan tenaga kerja sektor kewangan sedia masa hadapan. FSF menawarkan penyelesaian transformatif, menekankan strategi 'Kemahiran-Diutamakan' (`Skills-First') yang akan merevolusikan pembangunan bakat serta mobiliti merentas peranan pekerjaan dan subsektor perkhidmatan kewangan. AICB berbangga menerajui inisiatif ini, sekali gus mencerminkan komitmen kami untuk menangani keperluan industri yang berkembang, menetapkan piawaian tinggi untuk penguasaan kemahiran, dan memupuk pembelajaran berterusan bagi pertumbuhan sektor dan kecemerlangan profesional."
Yusry Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, juga berkata, "Menjadi hasrat kami agar Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) dapat membolehkan IBFIM menyokong perkembangan profesional kewangan Islam yang berkemahiran tinggi, melengkapkan mereka dengan set kemahiran pelbagai yang dikehendaki untuk keperluan masa depan."
Paul Low, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Insurans Malaysia, berkata, "Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) menyokong pembangunan profesional ahli kami dalam sektor insurans serta selaras dengan piawaian serta amalan terbaik global. MII kekal komited untuk memastikan bahawa program latihan dan pendidikan yang kami tawarkan adalah relevan, disesuaikan dengan baik, dan sejajar dengan keperluan industri insurans yang sentiasa berubah."
FSF juga bertujuan untuk menyelaraskan program-program latihan dengan keperluan khusus sektor kewangan, sekali gus merapatkan jurang antara permintaan majikan dengan kemahiran tenaga kerja. FSF mengenal pasti 15 "Power Skills" (kemahiran asas), yang relevan untuk semua peranan pekerjaan, melengkapkan 142 "Prime Skills" (kemahiran teknikal). Institusi kewangan boleh menyesuaikan FSF untuk memenuhi keperluan tersendiri mereka, menggunakan rangka kerja ini sebagai panduan untuk pengesahan lanjut dan perancangan strategik dalam meningkatkan pembangunan bakat.
Inisiatif ini juga disokong oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp). Bermula dari 22 Julai 2024, orang ramai boleh mengakses FSF melalui laman web AICB, IBFIM, and MII.
[1] Kementerian Kewangan, Malaysia: Economic Outlook 2024 (Oktober 2023) |
[2] Bank Negara Malaysia: Penunjuk Pasaran Pekerja untuk Sektor Perkhidmatan Kewangan (Mac 2024) |
Perihal Asian Institute of Chartered Bankers
Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) merupakan satu-satunya badan profesional bagi industri perbankan Malaysia. Institut ini ditadbir oleh sebuah majlis perwakilan yang terdiri daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (Association of Banks in Malaysia, (ABM)) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (Malaysian Investment Banking Association, (MIBA)). Dengan lebih 35,000 ahli, AICB menyasarkan matlamat untuk memperkukuh warga kerja perbankan dengan piawaian amalan, pengetahuan dan kecekapan profesional yang tertinggi melalui kelayakan perbankan kami.
AICB merupakan satu-satunya institut di Asia Tenggara yang disahkan oleh Chartered Banker Institute, UK, untuk menganugerahkan status Chartered Banker. Institut terus menyokong perkembangan ahli-ahlinya menerusi pembelajaran inovatif dengan menerapkan profesionalisme, memajukan kepimpinan berwawasan, dan memudahkan peluang penjalinan rangkaian.
Untuk maklumat lanjut mengenai AICB, sila layari www.aicb.org.my
Perihal Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia
Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) ialah institusi pembelajaran sepanjang hayat yang mengkhusus dalam pensijilan teknikal industri. Modul pembelajaran IBFIM disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus pelanggan dalam institusi kewangan Islam, serta sektor lain yang terlibat dalam kewangan Islam. IBFIM menawarkan program kerjasama dengan badan profesional dan institusi akademik bagi menyediakan bakat untuk industri. Selain itu, IBFIM menyediakan khidmat penasihatan Syariah dan pembelajaran digital untuk menyokong perkembangan pembangunan bakat untuk industri. IBFIM juga merupakan penyedia latihan berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp).
Perihal Institut Insurans Malaysia
Institut Insurans Malaysia (MII) ialah organisasi profesional terulung untuk profesional insurans di Malaysia, berdedikasi untuk menegakkan standard profesionalisme yang tertinggi, amalan beretika dan kepakaran dalam industri insurans. Kami komited untuk menggalakkan pembangunan peribadi dan kerjaya anda melalui tawaran keahlian MII dan pelbagai kelebihan yang disediakannya. Tumpuan kami adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran anda melalui kelayakan insurans komprehensif kami sambil melengkapkan anda dengan kemahiran penting yang diperlukan untuk berkembang maju dalam industri yang kompetitif.
Sama ada anda bercita-cita untuk mencapai jawatan berprestij dalam insurans, mengembangkan rangkaian profesional anda, atau memajukan kerjaya anda dalam sektor insurans, MII memperkasakan anda untuk meraih kecemerlangan dengan menyediakan panduan dan sumber yang diperlukan untuk merintis jalan anda menuju kejayaan.
Untuk maklumat lanjut tentang MII, sila layari www.mii.org.my