omniture

Columbia Asia Memanfaatkan Tenaga Solar Bagi Penjagaan Kesihatan Lestari

Columbia Asia
2024-10-18 09:00 1

 Kerjasama Dengan Solarvest Energy Sdn Bhd Mengurangkan Pelepasan Gas Karbon Dioksida di Sembilan Lokasi di Seluruh Negara.

KUALA LUMPUR, Malaysia, 18 Oktober 2024 /PRNewswire/ -- Columbia Asia (CA), salah sebuah rangkaian hospital swasta terbesar di Malaysia dan sebahagian daripada Asia OneHealthcare (A1Health), telah berjaya menyiapkan pemasangan panel solar di sembilan hospitalnya di seluruh Malaysia, melambangkan komitmen CA untuk memacu perkhidmatan kesihatan lestari ke arah persekitaran yang lebih hijau.

Mohd Kamarul Salleh, Naib Presiden, Perkhidmatan Sokongan di Columbia Asia bersama ahli pasukannya.
Mohd Kamarul Salleh, Naib Presiden, Perkhidmatan Sokongan di Columbia Asia bersama ahli pasukannya.

Sistem panel solar telah diaktifkan hasil usahasama dengan Solarvest Energy Sdn Bhd (Solarvest) dan telah menjana tenaga yang diperbaharui sejak ianya dipasang bermula Disember 2023. Menggunakan sel solar yang menukar tenaga matahari kepada tenaga elektrik, sistem ini boleh menjanakan sebanyak 4.039 Gigawatt hours (GWh) setahun – bersamaan dengan kuasa untuk menyalakan 34,400 mentol lampu setiap tahun, dan juga mengurangkan penjanaan gas karbon dioksida sebanyak 2,505 tan. Sistem ini juga telah memenuhi potensi menjimatkan kos, dan telah menghasilkan penjimatan kos tenaga sebanyak RM2.7 juta sejak projek ini dimulakan.

"Di Columbia Asia, kami sentiasa mencari cara-cara yang inovatif untuk meningkatkan kualiti penjagaan pesakit kami. Sistem panel solar ini bukan sahaja dapat membantu kami mengurangkan impak alam sekitar tetapi juga membolehkan kami melabur semula dalam menaik taraf kemudahan dan perkhidmatan kami, memastikan pesakit kami menerima penjagaan yang terbaik," ulas Mohd Kamarul Salleh, Naib Presiden, Perkhidmatan Sokongan di Columbia Asia. "Usahasama dengan Solarvest untuk projek tenaga solar ini menandakan satu langkah penting ke arah Columbia Asia untuk mengurangkan jejak karbon alam sekitar dan menjadi lebih peka tentang penjimatan tenaga. Sistem panel solar ini juga mengurangkan penjanaan gas karbon dioksida serta menjimatkan kos yang boleh dilaburkan semula ke projek-projek untuk menaiktaraf kemudahan sedia ada serta menambahbaik mutu perkhidmatan untuk pesakit kami."

Projek pembinaan panel solar ini telah dilaksanakan dalam dua peringkat untuk melengkapkan 11 bangunan di sembilan hospital Columbia Asia di seluruh Malaysia. Ini bermula dengan projek pertama di Hospital Columbia Asia – Iskandar Puteri, dan diikuti oleh lokasi-lokasi lain di Tebrau, Setapak, Cheras, Petaling Jaya, Bukit Rimau, Klang, Seremban, dan Taiping.

"Sejajar dengan matlamat Malaysia untuk pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, kami komited untuk menjadi penanda aras industri dan memberi inspirasi kepada organisasi-organisasi penjagaan kesihatan lain untuk mengambil langkah yang sama. Dengan mempraktikkan amalan mesra alam dan beralih kepada sumber tenaga yang lebih hijau, kami berhasrat untuk mengurangkan saiz jejak karbon kami. Kami juga percaya dengan tindakan bersepadu oleh seluruh industri penting bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar, malah bagi memastikan bekalan tenaga yang lebih berdaya tahan dan kos efektif untuk jangka masa panjang," sambung Kamarul lagi.

Selain daripada sistem panel solar, hospital-hospital CA serta lain-lain fasiliti kesihatan di bawah A1Health menjalankan pelbagai inisiatif polisi mesra alam, lantas menyokong matlamat negara. Ini termasuklah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) yang diperkenalkan pada 2021 oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan juga Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Kedua-dua pelan ini mempromosikan penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui. CA juga akan menghapuskan penggunaan anestesia desflurane - agen anestesia yang kuat yang mempunyai pelepasan gas rumah hijau yang lebih tinggi daripada pilihan anestesia lain, mengurangkan penggunaan plastik sekali-guna, memasang stesen pengecas kenderaan elektrik, dan memasang lampu LED di semua hospital-hospital CA di masa akan datang.

Untuk informasi lanjut mengenai Columbia Asia, layari www.columbiaasia.com/malaysia

Tentang Columbia Asia

Kumpulan hospital Columbia Asia, yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1996, adalah sebuah syarikat penjagaan kesihatan antarabangsa yang mengendalikan kemudahan perubatan di Malaysia, Indonesia, dan Vietnam. Hospital-hospital Columbia Asia kini merupakan sebahagian daripada Asia OneHealthcare, yang dimiliki majoriti oleh Kumpulan Hong Leong dan firma pengurusan aset alternatif global, TPG.  Sejak penubuhannya, Columbia Asia dengan penuh dedikasi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang di seluruh Asia Tenggara selama lebih dari dua dekad. Dengan 27 kemudahan perubatan canggih di Malaysia (18), Indonesia (8), dan Vietnam (1) yang terletak secara strategik di kawasan berpenduduk padat, ia bertujuan untuk menyediakan penjagaan kesihatan sebaik mungkin yang berdekatan dengan tempat tinggal, serasi dengan tagline syarikat – Right Here for You. 

Penekanan Columbia Asia adalah pada pengesanan awal penyakit melalui teknologi terkini untuk mendapatkan diagnosis yang tepat lantas meningkatkan lagi prosedur yang kurang invasif. Untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan komuniti secara umum, dari pencegahan penyakit sehingga rawatan, Columbia Asia menawarkan disiplin-disiplin utama seperti Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik, dan Pembedahan Umum. Ia juga menawarkan perkhidmatan Columbia Asia juga merangkumi penjagaan kesihatan tersier yang melibatkan bidang perubatan yang lebih kompleks seperti pembedahan neuro, rawatan penyakit jantung, dan penjagaan kanser berintegrasi. Seiring dengan pertumbuhan komuniti, hospital Columbia Asia berkembang untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan yang meningkat. 

Columbia Asia menegakkan tadbir urus klinikal yang ketat dan etika perubatan, yang membawa kepada hasil penjagaan pesakit yang cemerlang. Diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia/Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), hospital-hospital Columbia Asia diiktiraf kerana keunggulan dalam piawaian dan servis, serta khidmat kesihatan. Misinya ialah untuk memupuk masyarakat yang lebih sihat dengan menjadikan penjagaan kesihatan berkualiti mudah dicapai dan memperjuangkan langkah-langkah pencegahan penyakit. 

Columbia Asia. Right Here For You. 

Mengenai Asia OneHealthcare

Asia OneHealthcare (A1Health) adalah penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di rantau ini, menyatukan 32 hospital di Malaysia, Vietnam, dan Indonesia di bawah satu jenama. Dibentuk melalui integrasi CAH Medical Centres (dahulunya dikenali sebagai Ramsay Sime Darby Health Care), Columbia Asia Hospitals, dan lima hospital pakar yang tersohor termasuk Hospital Ortopedik ALTY, Hospital Beacon, CVSKL, Hospital Picaso, dan Northern Heart Hospital Pulau Pinang, kami menetapkan piawaian baharu dalam kecemerlangan perubatan.

Dengan 23 hospital di Malaysia, 8 di Indonesia, dan 1 di Vietnam, A1Health menawarkan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif, dari sekunder hingga kuaterner dan juga pakar. Dengan lebih 4,000 katil yang tersedia, pusat kemudahan kami didedikasikan untuk penjagaan yang diperibadikan.

Selain itu, kami turut memanfaatkan kepakaran kolektif dan teknologi canggih dalam rangkaian kami untuk menyediakan yang terbaik dalam penjagaan kesihatan, disampaikan oleh barisan profesional yang berkemahiran tinggi. Misi kami adalah untuk mencapai hasil terbaik dalam persekitaran yang paling mudah diakses, berkesan, cekap, dan penuh keprihatinan. Memegang teguh moto kami, "Right Here For You," kami komited untuk menawarkan penjagaan yang penuh keprihatinan dan kepakaran kepada setiap pesakit.

Source: Columbia Asia
Keywords: Alternative Energies Environmental Products & Services Green Technology Health Care/Hospital Oil/Energy Utilities New products/services