DUBAI, Emiriah Arab Bersatu, 26 Januari 2015 /PRNewswire/ --
Pertandingan global yang dilancarkan oleh Emiriah Arab Bersatu, menawarkan AS$1 juta bagi aplikasi awam inovatif terbaik teknologi dron, telah menerima lebih 800 penyertaan tempatan dan antarabangsa daripada 57 buah negara, mengetengahkan peluang mengujakan yang ditawarkan dron untuk memenuhi keperluan awam.
Untuk melihat Hebahan Berita Multimedia, sila klik:
http://www.multivu.com/players/English/7427751-uae-drones-for-good-competition/
Pertandingan 'Drones for Good' yang diperkenalkan di Sidang Kemuncak Kerajaan, dianjurkan oleh Emiriah Arab Bersatu pada Februari 2014, memberikan perspektif baharu bagi penggunaan dron, yang biasanya dikaitkan dengan konflik ketenteraan. Sembilan belas peserta telah dipilih untuk peringkat separuh akhir, termasuk projek yang menggunakan dron dalam usaha mencari dan menyelamat yang dipertingkat, khidmat penghantaran di kawasan setinggan, penanaman semula hutan dan pengesanan periuk api. Pemenang akan dipilih pada pertandingan akhir di Anugerah Drones for Good Emiriah Arab Bersatu, yang akan diadakan di Dubai pada 6-7 Februari, 2015.
Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Gergawi, Menteri Hal Ehwal Kabinet, memuji tindak balas global, yang bersesuaian dengan usaha kerajaan Emiriah Arab Bersatu untuk menambah baik perkhidmatan kerajaan.
"Pertandingan itu mencerminkan komitmen kami untuk menggembleng kreativiti dan inovasi untuk kebaikan awam," kata beliau. "Setiap cadangan boleh mengubah dunia, dan diharap dapat memberi ilham kepada masyarakat tentang bagaimana kita dapat menggunakan teknologi dalam cara yang baharu."
Sepanyol mendahului penyertaan dengan 62 penyertaan, diikuti Amerika Syarikat, (47), India (34), Arab Saudi (18), Colombia dan Poland (15), serta United Kingdom (11).
Cadangan daripada peserta separuh akhir termasuk penggunaan dron untuk mengesan orang yang lemas dan menunda ke tempat selamat (Poland); menanam semula kawasan hutan (UK); menyediakan pengesanan periuk api yang lebih baik (Sepanyol); menawarkan sokongan udara kepada penyelamatan Pengawal Pantai (New Zealand); memetakan dan mengesan zon bencana untuk membantu tindak balas (Arab Saudi); serta membenarkan akses kepada ruang sempit dan terbang dengan selamat berhampiran misi menyelamat/manusia (Switzerland).
Penyertaan turut melibatkan projek untuk menanam bijian dan mengumpul sampel tumbuhan (Sudan); menghapuskan kabus dalam cara yang mesra alam (Emiriah Arab Bersatu); perancangan bandar, terutamanya di kawasan setinggan melalui pemetaan, kajian dan perancangan fizikal (Kenya); penghantaran organ transplan dengan lebih pantas dari pusat penderma (Sepanyol); pengawasan kawasan taman simpanan untuk menentang pemburu haram, mengawal hidupan liar dan mengurangkan risiko kebakaran (Sepanyol); serta pengangkutan makanan, ubat-ubatan, air, kuasa solar, pencahayaan dan tempat perlindungan sementara bagi komuniti yang terperangkap (Australia).
Sebagai tambahan kepada hadiah AS$1 juta bagi pemenang, peserta separuh akhir akan mendemonstrasikan dron mereka kepada pemodal usaha niaga dan pelabur berpotensi lain, membantu membawa idea mereka ke pasaran komersial.
SUMBER Ministry of Cabinet Affairs, Prime Minister's Office