omniture

Pelaburan air kunci hindar lonjakan konflik global

Institute for Economics & Peace
2024-10-30 13:00 22

LONDON, 30 Oktober 2024 /PRNewswire/ -- Hari ini merupakan pelancaran Laporan Ancaman Ekologi (ETR) edisi ke-5 daripada badan pemikir antarabangsa, Institute for Economics & Peace (IEP). Laporan ini menyimpulkan bahawa tanpa tindakan antarabangsa yang bersepadu, kemerosotan ekologi yang dipercepat akan memperhebat pergeseran sosial dan konflik di seluruh dunia. Cabaran ini akan diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Keputusan utama: 

  • Risiko ekologi semakin bertambah ekoran perubahan iklim, pertumbuhan penduduk dan konflik, dengan korelasi yang kuat antara kemerosotan ekologi, kemiskinan dan kejadian konflik.
  • 50 negara, yang kini menempatkan 1.3 bilion penduduk, menghadapi tahap ancaman ekologi yang tinggi atau amat tinggi. Penduduk di negara-negara ini diunjurkan meningkat kepada hampir 2 bilion menjelang tahun 2050.
  • ETR mengenal pasti 27 negara tumpuan utama ekologi: di mana risiko ekologi yang melampau bersilang dengan daya tahan masyarakat yang rendah, mengakibatkan mereka terdedah kepada ketidakstabilan, konflik dan krisis kemanusiaan.
  • Daripada 27 negara tumpuan utama, 19 berada di Afrika sub-Sahara dan empat di Timur Tengah dan Afrika Utara. Banyak negara yang ketika ini sedang mengalami konflik atau pergolakan awam.
  • Pencegahan konflik dalam komuniti agro-pastoralis amat berkait dengan kekuatan struktur tadbir urus tempatan, dengan pendekatan berasaskan komuniti terbukti lebih berjaya daripada campur tangan luar.
  • Afrika Sub-Sahara mempunyai kadar pengairan yang paling rendah di dunia, dengan hanya 1.8 peratus tanah yang diusahakan diairi. Terdapat peluang besar untuk mengurangkan tekanan ekologi melalui pengumpulan dan pengurusan air yang lebih baik.
  • Pelaburan tahunan sebanyak $15 bilion dalam inisiatif penakungan air dan peningkatan pertanian hingga tahun 2050 dapat meningkatkan pengeluaran makanan di Afrika sub-Sahara sebanyak 50%.

Laporan Ancaman Ekologi 2024 meliputi 207 negara dan mengetengahkan krisis global yang semakin meningkat tatkala ancaman ekologi, perubahan iklim, tadbir urus yang lemah, pertumbuhan penduduk dan konflik bersilang. Laporan ini mengenal pasti 50 negara, tumpuan kepada 1.3 bilion orang, menghadapi tahap ancaman ekologi yang tinggi atau amat tinggi. Negara-negara ini, 82% daripadanya berada di Afrika, diunjurkan akan menyaksikan peningkatan penduduk sebanyak 51% menjelang tahun 2050.

Afrika Sub-Sahara muncul sebagai kawasan khusus yang membimbangkan. Kemarau teruk yang dicetuskan oleh El Niño baru-baru ini telah memberi kesan ke atas 68 juta orang, atau 17% daripada penduduk rantau ini. Kemarau ini, yang bermula pada awal tahun 2024, telah menjejaskan pengeluaran tanaman dan ternakan, mengakibatkan kekurangan makanan dan merosakkan ekonomi yang lebih luas. Harga makanan adalah 25% lebih tinggi berbanding sebelum pandemik COVID-19, lantas memburukkan lagi akses kepada makanan.

Walau bagaimanapun, rantau ini mempunyai potensi terbesar secara global untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran makanannya. Sebagai contoh, purata hasil jagung di Afrika hanyalah 1.9 tan sehektar, berbanding purata global sebanyak 5.4 tan. Di samping itu, rantau ini memiliki 200 juta hektar tanah suai tani yang belum diterokai. Dengan melaksanakan teknik penangkapan air mikro dan menerima amalan pertanian yang lebih baik, Afrika sub-Sahara boleh meningkatkan kebingkasan ekologi dan sekuriti makanannya dengan ketara.

Steve Killelea, Pengasas & Pengerusi Eksekutif IEP, berkata: "Dunia berada di persimpangan yang kritikal di mana ancaman ekologi semakin dikaitkan dengan risiko konflik, kemiskinan dan hutang. Penyelidikan kami menunjukkan bahawa pelaburan bersasar dalam penakungan air dan amalan pertanian dapat meningkatkan sekuriti makanan, meningkatkan daya tahan tempatan, mengurangkan konflik dan mengurangkan migrasi paksa dengan mendadak."

Tumpuan Utama Ekologi 

ETR mengenal pasti 27 tumpuan utama ekologi: negara-negara yang mana risiko ekologi yang tinggi bersilang dengan daya tahan masyarakat yang rendah. Negara-negara tumpuan utama ini menghadapi peningkatan risiko ketidakstabilan, konflik dan krisis kemanusiaan. Taburan geografi kawasan tumpuan utama ini sangat terpencong, dengan 19 terletak di Afrika sub-Sahara, empat di Timur Tengah dan Afrika Utara dan baki empat lagi tersebar di seluruh Asia dan Caribbean.

  • Afrika Sub-Sahara menghadapi ancaman ekologi yang paling teruk, didorong oleh tahap ketidakjaminan makanan yang tinggi, tekanan air dan pertumbuhan penduduk yang pesat.
  • Asia Selatan mencatatkan skor ETR keseluruhan kedua tertinggi, didorong oleh kerentanannya terhadap bencana alam, yang merupakan yang tertinggi berbanding mana-mana rantau.
  • Eropah dan Amerika Utara merupakan hanya dua wilayah di mana tiada kawasan subnasional menghadapi tahap ancaman ekologi yang tinggi atau amat tinggi.

Negara-negara tumpuan utama cenderung berkelompok dari segi geografi, yang boleh membawa kepada ketidakstabilan serantau memandangkan krisis ekologi dan kemanusiaan akan meliputi pelbagai negara. Kesan limpahan termasuk perpindahan penduduk, konflik rentas sempadan baharu dan gangguan terhadap jaringan pengangkutan dan rantaian bekalan.

Teruknya keadaan ini ditekankan oleh hakikat bahawa banyak negara tumpuan utama yang ketika ini mengalami konflik bersenjata atau pergolakan awam, menonjolkan interaksi antara ancaman ekologi, daya tahan yang rendah dan peningkatan risiko keganasan. Tanpa menangani cabaran ini, kesan penggabungan antara pertumbuhan penduduk, kemerosotan alam sekitar dan tadbir urus yang lemah boleh membawa kepada kitaran ketidakstabilan yang semakin meningkat, terutamanya di kawasan yang sudahpun terdedah kepada konflik.

Tadbir Urus & Pengurusan Air

Risiko air lebih berkait rapat dengan tadbir urus yang lemah berbanding kekurangan air. Sebagai contoh, UAE menghadapi risiko air yang rendah biarpun sumbernya terhad, manakala Yaman yang terletak berdekatan bergelut walaupun mempunyai sumber air yang lebih banyak. Laporan ini mengetengahkan bahawa pelaburan tahunan sebanyak $15 bilion dalam penakungan air berskala kecil dan inisiatif-inisiatif yang berkaitan boleh mengurangkan risiko ekologi di Afrika sub-Sahara dengan ketara, dengan potensi untuk meningkatkan hasil tanaman sebanyak tiga kali ganda di sesetengah kawasan. Hal ini amat penting, kerana rantau ini perlu meningkatkan lebih daripada dua kali ganda pengeluaran bijirinnya bagi memenuhi keperluan makanan asasnya dalam tempoh 25 tahun akan datang.

ETR turut mengenal pasti penyelesaian berpotensi, terutamanya dalam pengurusan air dan amalan pertanian, yang boleh meningkatkan sekuriti makanan dan prospek ekonomi dengan ketara di kawasan yang mudah terjejas. Projek penakungan air berskala kecil seperti empangan pasir, limpahan air batu dan empangan di Afrika menunjukkan hasil yang menggalakkan, dengan satu pelaburan sebanyak $50,000 berpotensi mengairi sehingga 9 hektar dan menghasilkan pulangan sebanyak $180,000. Afrika Sub-Sahara memiliki kira-kira 34.2 juta hektar tanah dengan potensi pengairan yang belum diterokai, yang boleh dimanfaatkan menggunakan kurang daripada 6% sumber air boleh baharu di rantau ini.

Steve Killelea menambah: "Amat penting agar kerajaan dan organisasi antarabangsa mengutamakan intervensi ini untuk membina daya tahan dan mencegah konflik masa depan. Mengukuhkan tadbir urus tempatan dan mekanisme penyelesaian konflik berasaskan komuniti telah terbukti lebih berkesan daripada campur tangan keselamatan luar dalam mengurangkan ketegangan sebelum ia bertambah buruk menjadi keganasan."

Perubahan iklim bertindak sebagai penguat ancaman, memburukkan lagi ketegangan sedia ada di kawasan yang mempunyai sejarah konflik, institusi lemah dan daya tahan yang rendah. Di kawasan yang terdedah kepada persaingan sumber, kekurangan air yang dicetuskan oleh iklim atau tanah suai tani boleh meningkatkan ketegangan antara komuniti. Kesannya jelas terutamanya di negara-negara yang mempunyai institusi yang lemah, di mana kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk mengurus tekanan berkaitan iklim dengan berkesan atau menjadi pengantara terhadap konflik yang tercetus.

Timbulnya konflik agro-pastoralis di Sahel memberi kesan ke atas lebih 50 juta orang, menunjukkan bagaimana tekanan ekologi boleh memperhebat ketegangan etnik dan ketegangan berasaskan sumber yang sedia ada. Kumpulan pelampau transnasional telah mengeksploitasi rungutan tempatan ini untuk menggerakkan pejuang dan meningkatkan konflik. Wilayah Sahel menyumbang sebanyak hampir 16% daripada kematian akibat konflik keseluruhan di Afrika, walaupun hanya terdiri daripada 6.8% daripada populasi benua ini. Apa yang menjadi kebimbangan khusus ialah pencerobohan kumpulan ini ke kawasan yang agak aman, termasuk negara-negara Afrika Barat iaitu Côte d'Ivoire, Benin, Togo dan Nigeria.

Sekuriti air dan makanan 

Risiko air amat berkait rapat dengan tadbir urus yang lemah dan infrastruktur yang teruk, dengan Afrika sub-Sahara menggunakan hanya 2% daripada sumber air boleh baharu untuk pertanian, berbanding purata di semua wilayah global sebanyak 6.7%. Walau bagaimanapun, dengan pelaburan yang sesuai, kesan paling buruk boleh dielakkan. Hanya 1.8% daripada tanah yang diusahakan di Afrika sub-Sahara diairi, iaitu kurang daripada satu persepuluh daripada kadar global 19%.

Di samping itu, kemajuan dalam teknologi pengairan akan menjadikan penggunaan air dalam pertanian lebih cekap, dengan tanah yang diairi di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana dijangka meningkat sebanyak 34% menjelang tahun 2030, namun jumlah penggunaan air pertanian dijangka meningkat hanya sebanyak 14%.

Implikasi global masa depan 

Perubahan iklim akan memberi tekanan kepada sumber air dalam ekosistem yang dipenuhi glasier di Asia Selatan dan Amerika Selatan, manakala kenaikan paras laut akan meningkatkan tahap kemasinan di beberapa kawasan pertanian yang paling subur di dunia, terutamanya di Asia Tenggara. Cuaca yang lebih melampau di China dan India akan menjadikannya lebih sukar untuk memberi makan kepada 2.8 bilion orang yang tinggal di sana. Selain itu, lebih daripada 91 juta orang bergantung kepada Lembangan Sungai Mekong dan delta Nil yang lebih rendah untuk mata pencarian mereka, dengan empangan hulu menjejaskan aliran air dengan teruk.

Implikasi global daripada ancaman ekologi ini melangkaui sempadan serantau. Kekurangan makanan di satu kawasan boleh memberi kesan kepada harga dan ketersediaan makanan global lantaran sifat rantaian bekalan yang saling berkaitan. Tatkala perubahan iklim menjadi bertambah buruk, akan terdapat perubahan yang ketara dalam corak migrasi global, membentuk semula demografi dan ekonomi di negara asal dan juga negara destinasi. Pelaburan yang mencukupi dalam penggunaan air dan tanah yang lebih cekap untuk pertanian boleh mengurangkan kesan paling buruk daripada kemerosotan ekologi secara mendadak, meningkatkan ekonomi, mencegah konflik dan mengurangkan migrasi paksa.

NOTA UNTUK EDITOR 

Untuk maklumat lanjut dan untuk memuat turun Laporan Ancaman Ekologi 2024, kunjungi https://visionofhumanity.org dan https://economicsandpeace.org. Rakaman video untuk penyiaran dan suara untuk radio boleh didapati dengan menghubungi Tim Johnston di bawah.

Latar Belakang Institute for Economics & Peace (IEP): IEP ialah badan pemikir antarabangsa dan bebas yang berdedikasi untuk mengalihkan tumpuan dunia kepada keamanan sebagai ukuran kesejahteraan dan kemajuan manusia yang positif, boleh dicapai dan ketara. Ia mempunyai pejabat di Sydney, Brussels, New York, The Hague, Bandar Raya Mexico dan Nairobi.

Source: Institute for Economics & Peace
Keywords: Banking/Financial Service Food/Beverages Utilities Water Utilities Environmental Issues Survey, Polls & Research