AGADIR, Maghribi, 31 Disember 2024 /PRNewswire/ -- Huawei mengumumkan kejayaan penyiapan projek DigiSchool 2024 di Maghribi, menonjolkan sumbangannya untuk memastikan akses yang saksama kepada teknologi digital untuk semua pelajar di Kerajaan Maghribi ini.
Dilancarkan pada Februari 2024 untuk membantu mempersiapkan generasi baharu dalam menghadapi tuntutan dunia yang semakin terhubung, projek DigiSchool dimasukkan dalam pelan hala tuju reformasi pendidikan 2022-2026 kerajaan ini. Penyiapannya menandakan kejayaan fasa pertama perkongsian awam-swasta antara Kementerian Pendidikan Kebangsaan, Prasekolah dan Sukan Maghribi dan Huawei Morocco di bawah inisiatif rangkuman digital TECH4ALL global Huawei.
"Projek DigiSchool menekankan kepentingan memperkukuh kemahiran digital dan menyatukan perkongsian awam-swasta sebagai pendorong sebenar untuk meningkatkan ekosistem digital yang bingkas," kata David Li, Pengarah Urusan Huawei Morocco. "Dengan adanya perkongsian yang strategik ini, Huawei komited untuk terus melabur dalam latihan dan inovasi serta menyokong aspirasi Maghribi terhadap pendidikan digital yang berkualiti dan inklusif."
Fokus projek ini adalah untuk membangunkan kemahiran digital dan menyediakan latihan untuk pelajar dan guru dalam teknologi seperti kecerdasan buatan, realiti maya, pembangunan web dan aplikasi. Sepanjang tahun ini, para peserta juga menerima pengalaman robotik dan pengekodan secara langsung dan peluang untuk menyelesaikan teka-teki teknologi dan meningkatkan literasi digital melalui permainan interaktif yang direka untuk memberi inspirasi kepada kreativiti dan inisiatif.
DigiSchool 2024 distrukturkan dalam empat fasa. Fasa pertama menyediakan latihan untuk 265 orang guru sekolah menengah dalam kemahiran ICT di seluruh 12 wilayah Maghribi. Fasa kedua memfokuskan untuk memberikan sokongan berterusan kepada guru terlatih tatkala mereka memanfaatkan latihan mereka dalam kelas untuk 2,650 orang pelajar. Dalam fasa ketiga, 12 hackathon serantau dianjurkan meliputi 12 wilayah Maghribi antara Mei dan November, dengan 714 orang pelajar ditugaskan untuk membangunkan penyelesaian ICT bagi mengatasi cabaran yang ditetapkan.
Fasa keempat dan terakhir dalam bulan Disember terdiri daripada bootcamp teknologi di Fez, Marrakech dan Agadir. Dianjurkan dengan akademi pendidikan wilayah masing-masing, mereka menghimpunkan 180 orang pelajar dan 60 orang guru dari 12 wilayah Maghribi. Bootcamp ini direka untuk mengasah kemahiran ICT yang diperoleh oleh pelajar di dalam kelas dan di hackathon pada awal tahun ini.
Pasukan-pasukan menerima sokongan peribadi untuk memperhalusi projek hackathon mereka dan mengemukakan penyelesaian mereka kepada panel hakim, dengan penyerahan yang cemerlang menerima hadiah.
DigiSchool 2024 tiba ke penghujungnya dengan lawatan penilaian bootcamp di Agadir antara 17 dan 19 Disember. Delegasi peringkat tinggi melibatkan Mohamed Saad Berrada, Menteri Pendidikan Kebangsaan, Prasekolah dan Sukan; Ouafae Chakir, Pengarah Akademi Pendidikan dan Latihan Serantau untuk Wilayah Souss-Massa; Aida Bougrine, Pengarah Wilayah bagi Wilayah Agadir Ida-Outanane; dan Chen Xiaolei, Naib Presiden Huawei Morocco.
Semasa lawatan, pelajar diberi peluang untuk memaparkan kemahiran baharu mereka dengan membentangkan penyelesaian yang telah mereka bangunkan kepada delegasi.
Kejayaan program DigiSchool 2024 menyokong komitmen berterusan oleh kerajaan Maghribi terhadap pendigitalan, keterangkuman dan ekuiti pendidikan negara serta kedudukannya sebagai contoh serantau untuk memanfaatkan teknologi sebagai vektor untuk ekuiti dan kemajuan, iaitu hasil yang turut menjadi komitmen Huawei.
Selain pelbagai inisiatif pendidikan yang berjalan di seluruh dunia di bawah program TECH4ALL Huawei bersama rakan kongsi seperti UNESCO, Close the Gap dan kementerian kerajaan, Huawei turut melaksanakan projek DigiSchool di Kenya, Senegal, Afrika Selatan, Chile dan China untuk menghubungkan sekolah terpencil kepada Internet dan meningkatkan kemahiran digital pelajar serta guru.
Latar Belakang Huawei TECH4ALL
TECH4ALL ialah inisiatif dan pelan tindakan rangkuman digital jangka panjang Huawei. Didayakan oleh teknologi dan perkongsian inovatif, TECH4ALL direka untuk menggalakkan keterangkuman dan kemampanan dalam dunia digital.
Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web Huawei TECH4ALL di https://www.huawei.com/en/tech4all
Ikuti kami di X melalui: https://twitter.com/HUAWEI_TECH4ALL