SEOUL, Korea Selatan, 21 Mac 2025 /PRNewswire/ -- VINSSEN, pakar teknologi penyahkarbonan maritim yang memfokuskan pada sel bahan api hidrogen dan sistem sokongan, telahpun menerima Kelulusan Jenis daripada RINA, persatuan klasifikasi Itali, untuk tindanan sel bahan api maritim 60kWnya. Kelulusan ini mempercepat demonstrasi dan pengkomersilan sistem penjanaan kuasa sel bahan api maritim 120kW daripada VINSSEN, seterusnya memantapkan lagi kepimpinan teknologinya dalam industri maritim mesra alam global.
VINSSEN berada di barisan hadapan dalam pembangunan teknologi sel bahan api hidrogen untuk sektor maritim, memajukan secara aktif projek sel bahan api hidrogen di dalam dan di peringkat antarabangsa. Walaupun ketiadaan piawaian undang-undang berkaitan hidrogen maritim yang jelas, syarikat ini memanfaatkan sandbox kawal selia untuk menjalankan secara sistematik prosedur pengesahan teknologi dan pensijilan yang teliti, lalu menunjukkan kepakaran teknikalnya.
Kelulusan Jenis daripada RINA baru-baru ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan antarabangsa dalam teknologi sel bahan api hidrogen untuk kapal mesra alam tetapi juga menandakan satu langkah penting ke arah pengkomersilaan penuh. Pencapaian ini mencerminkan komitmen syarikat untuk mempromosikan sel bahan api hidrogen sebagai penyelesaian utama untuk mengurangkan emisi karbon maritim.
Proses pensijilan melibatkan ujian prestasi dan alam sekitar berdasarkan piawaian IEC yang kesemuanya berjaya dilepasi oleh VINSSEN. Ujian getaran mengesahkan ketahanan sistem di bawah keadaan frekuensi dan pecutan tertentu. Selain itu, ujian kekuatan dielektrik menunjukkan bahawa sistem boleh menahan voltan tinggi tanpa kegagalan penebatan, memenuhi semua piawaian yang diperlukan. Ujian yang mencabar ini berjaya diselesaikan, mengesahkan keandalan dan keselamatan modul sel bahan api VINSSEN untuk aplikasi maritim dan pembinaan kapal.
Memandang ke hadapan, VINSSEN merancang untuk mempercepat pembangunan penyelesaian sel bahan api hidrogen generasi akan datang, termasuk tindanan sel bahan api output tinggi 150kW dan sistem penjanaan kuasa sel bahan api atas kapal menggunakan gas terbentuk semula (75% hidrogen dan 25% nitrogen). Inovasi ini akan meningkatkan kebolehlaksanaan mengaplikasikan sistem sel bahan api hidrogen kelas MW kepada kapal yang lebih besar.
Seorang wakil VINSSEN menyatakan, "Kelulusan Jenis ini merupakan satu pencapaian penting untuk pengkomersialan sistem sel bahan api hidrogen maritim kelas MW. Kami akan terus menerajui pasaran maritim melalui inovasi teknologi yang berterusan dan usaha mendapatkan pensijilan global."
[Pengenalan kepada VINSSEN]
VINSSEN Co., Ltd. terlibat dalam pembangunan dan pembuatan sistem pendorongan mesra alam untuk kapal yang menggunakan pendorongan elektrik dan sel bahan api hidrogen. Syarikat ini memegang lebih 50 paten yang berkaitan dengan sistem pendorongan elektrik, sel bahan api hidrogen untuk kapal dan bot santai pendorong elektrik. Matlamatnya adalah untuk menukar kapal yang dikuasakan oleh enjin diesel kepada kapal mesra alam yang dikuasakan oleh teknologi elektrik dan hidrogen.