BANDAR ILOILO, Filipina, 8 April 2025 /PRNewswire/ -- SUEZ, peneraju global bagi perkhidmatan alam sekitar dan JEMCO, sebuah syarikat pembinaan terulung di Filipina, bersama-sama dengan Metro Pacific Water, pelabur infrastruktur air dan air buangan utama yang dimiliki sepenuhnya oleh Metro Pacific Investments Corp. (MPIC), memulakan pembinaan kemudahan penyahgaraman osmosis songsang air laut (SWRO) di Metro Iloilo— yang terbesar seumpamanya di Filipina. Dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan, projek ini akan membantu menangani masalah kekurangan air minuman yang kritikal di rantau ini, seterusnya membekalkan air boleh diminum yang mampan dan andal kepada masyarakat setempat.
Sumber air tawar sedia ada di Metro Iloilo menjadi sangat teruk dan tidak lagi mampu memenuhi permintaan rantau ini yang semakin meningkat. Situasi ini diburukkan lagi oleh turun naik bermusim curahan hujan, mengganggu penambahan bekalan air yang terhad ini, mendedahkan keperluan mendesak untuk mengenal pasti dan membangunkan sumber air alternatif bagi memastikan kemampanan jangka panjang rantau ini.
Bagi menangani masalah kekurangan air boleh diminum rantau ini, Metro Pacific Water menganugerahkan kepada SUEZ dan JEMCO dengan satu projek untuk mereka bentuk, membina dan mengendalikan kemudahan penyahgaraman osmosis songsang air laut. Loji penyahgaraman SWRO ini akan mempunyai anggaran kapasiti pengeluaran sebanyak 66,500 meter padu sehari, dengan lebih 97% daripadanya akan dibekalkan kepada penduduk sebagai air minuman, memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 isi rumah. Bahagian yang selebihnya akan digunakan untuk pengeluaran air ternyahmineral bagi menyokong operasi loji janakuasa bersebelahan.
Sebagai peneraju bagi penyelesaian kitaran untuk perkhidmatan air dan bahan buangan selama lebih daripada 160 tahun, SUEZ memiliki pengalaman selama 50 tahun dalam penyahgaraman air laut, dengan lebih 260 loji penyahgaraman direka dan dibina di seluruh dunia. Loji ini akan menggabungkan teknologi utama SUEZ, seperti Penapis SeaDAF™ yang menggabungkan teknologi pengapungan udara terlarut dan dwipenapis graviti media untuk merawat air laut dan mengeluarkan alga, kekeruhan, pepejal terampai dan zarah berkoloid untuk mencapai kualiti yang sesuai untuk dibekalkan kepada membran osmosis songsang. Reka bentuknya yang kompak menjadikannya sesuai untuk pemasangan di mana ruang adalah premium.
Sebagai bukti perkongsian yang kukuh antara SUEZ dan JEMCO, ini merupakan projek kedua yang diusahakan oleh kedua-dua entiti ini bersama-sama, dengan projek pertama merupakan kemudahan pemulihan air yang utama di Bandar Muntinlupa, Metro Manila. SUEZ bertapak kukuh di Filipina dengan platform kejuruteraan tempatan yang sudahpun mantap dan pasukan profesional yang terdiri daripada bakat tempatan. Kolaborasi ini akan memanfaatkan kepakaran dan teknologi SUEZ dalam penyahgaraman air laut dan mendapat manfaat daripada pengalaman tempatan yang mantap serta keupayaan pembinaan JEMCO.
Datuk Bandar Iloilo Jerry Treñas berkata: "Inisiatif yang luar biasa ini bertujuan untuk memastikan bekalan air boleh diminum yang konsisten dan andal untuk Ilonggo, meningkatkan kualiti hidup mereka sekali gus memperkukuh infrastruktur dan memacu pertumbuhan ekonomi Iloilo."
Christopher Andrew B. Pangilinan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Metro Pacific Water berkata: "Komitmen MPW untuk menyediakan penyelesaian air mampan merupakan teras projek ini. Ia menekankan dedikasi kami untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan pesat Iloilo. Kemudahan penyahgaraman yang inovatif dan mampan ini akan menyediakan penyelesaian dalam tempoh jangka panjang kepada cabaran air Iloilo."
Augusto F. Manalo, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif JEMCO menyatakan: "Loji Osmosis Songsang Air Laut (SWRO) berskala besar di Metro Iloilo adalah amat penting untuk rantau ini dan sesuatu yang akan mencipta kejayaan besar dengan menjadi loji terbesar seumpamanya di Filipina. Kami mengucapkan terima kasih kepada Metro Pacific Water Investment Corporation atas peluang ini kerana berupaya menyerahkan projek infrastruktur yang kritikal ini. Kami berbangga kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan SUEZ, salah satu penyedia yang terkemuka di dunia bagi penyelesaian pengurusan sumber yang mampan. Sentiasa menjadi misi JEMCO untuk menjadi penyumbang utama kepada pembinaan negara dan kami percaya bahawa menjadi sebahagian daripada projek seperti ini mengukuhkan lagi dorongan kami untuk berpegang teguh kepada misi kami."
Pierre Pauliac, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama SUEZ dan Ketua Pegawai Operasi Water berkata: "Melihatkan situasi air yang kritikal di rantau ini, kami berazam untuk menjamin bekalan air yang stabil dan andal untuk pelanggan kami dengan memanfaatkan pengalaman selama 50 tahun dan pengetahuan teknologi kami dalam penyahgaraman air laut di seluruh dunia. Kolaborasi ini merupakan bukti kepercayaan yang diberikan oleh rakan kongsi dan pelanggan kami serta satu langkah baharu dalam pengembangan SUEZ di Asia Tenggara."

SUEZ and partners commence construction of Philippines’ largest seawater desalination plant in Metro Iloilo.
Latar Belakang SUEZ:
Berhadapan dengan cabaran alam sekitar yang semakin meningkat, SUEZ telahpun menyampaikan perkhidmatan penting yang melindungi dan meningkatkan kualiti hidup kita selama lebih 160 tahun lamanya. SUEZ menyediakan kepada pelanggannya dengan penyelesaian yang inovatif dan bingkas untuk perkhidmatan air dan bahan buangan. Dengan 40,000 pekerja merentas 40 negara, Kumpulan ini bekerjasama dengan pelanggan untuk mencipta nilai melalui kitar hayat penuh aset dan perkhidmatan mereka serta untuk memacu peralihan rendah karbon mereka. Pada tahun 2023, SUEZ menyediakan air minum untuk 57 juta orang di seluruh dunia dan perkhidmatan sanitasi untuk lebih daripada 36 juta orang. Kumpulan ini menjana 7.7 TWj tenaga daripada bahan buangan dan air buangan. Pada tahun 2023, SUEZ menjana hasil sebanyak 8.9 bilion euro. Untuk maklumat lanjut: www.suez.com / X @suez / LinkedIn @SUEZ.
Di Asia, perjalanan SUEZ bermula kira-kira 70 tahun lalu, yang pertama di Asia Tenggara sebelum berkembang ke China 50 tahun yang lalu. Dengan lebih 6,500 pekerja di seluruh Asia, SUEZ membina lebih 600 loji rawatan air dan air buangan. Bersama-sama dengan rakan kongsi tempatan kami, kami turut menyediakan perkhidmatan kitar semula dan pemulihan air dan bahan buangan untuk lebih 25 juta orang dan 22 taman perindustrian di seluruh rantau ini. SUEZ diiktiraf sebagai salah sebuah syarikat yang paling berpengaruh di China dan penanda aras perkhidmatan untuk industri alam sekitar Asia yang terkemuka. Hari ini, SUEZ bekerjasama dengan pelanggan perbandaran dan industri di lebih daripada 30 bandar dan wilayah utama di seluruh China, mengurus kontrak air PPP pertama China di Macau, mengendalikan salah satu kemudahan penunuan sisa berbahaya Asia yang terbesar di Shanghai serta melabur sebanyak lebih RMB 6 bilion di Chongqing.