NINGDE, China, 22 April 2025 /PRNewswire/ -- Tanggal 21 April 2025, CATL memperkenalkan tiga produk bateri EV rintis pada Hari Teknologi Super sulungnya: Bateri Dwikuasa Freevoy, Naxtra - bateri natrium-ion keluaran besar-besaran pertama di dunia dan Bateri Pengecasan Super Pantas Shenxing generasi kedua, serta bateri Naxtra mula/henti 24V bersepadu untuk trak tugas berat. Inovasi revolusioner ini menerobos sempadan teknologi dan memimpin industri ini secara rasmi menuju "Era Berbilang-Kuasa."
Bateri Dwikuasa Freevoy memperkenalkan reka bentuk sistem silang kimia perintis yang melangkaui batasan laluan teknologi tunggal bagi memenuhi keperluan pengguna tersuai. Naxtra, bateri natrium-ion yang boleh dikeluarkan secara besar-besaran yang pertama di dunia, menghapuskan kekangan sumber dan memperkukuh asas industri tenaga baharu. Bateri Pengecasan Super Pantas Shenxing generasi kedua, dengan kadar pengecasan 12C puncaknya, mencipta rekod global baharu untuk teknologi pengecasan super pantas.
Naxtra Battery: Menerobos Batasan Prestasi, Memperkasakan Masa Depan Tenaga
Naxtra Battery CATL menerobos sempadan prestasi bahan itu sendiri, mencapai pengeluaran besar-besaran bagi bateri natrium-ion buat julung kalinya. Dengan ciri keselamatan sedia ada natrium dan simpanan yang banyak, ia mengurangkan pergantungan kepada sumber litium dengan cekap dan memperkukuh asas teknologi tenaga baharu, sekali gus menggalakkan penggunaan tenaga daripada "pergantungan sumber tunggal" kepada "kebebasan tenaga".
Barisan produk Naxtra Battery merangkumi dua kategori: Bateri EV penumpang Naxtra dan Bateri Mula-Henti Bersepadu Trak Tugas Berat 24V Naxtra. Kedua-duanya berupaya memberikan prestasi merentas julat suhu penuh daripada -40°C hingga +70°C, lalu mentakrifkan semula had suhu lampau bateri. Bateri EV penumpang Naxtra mengekalkan 90% kuasa boleh guna pada suhu -40°C. Dalam keadaan pengecasan yang sangat rendah dengan hanya 10% SOC yang tinggal, Bateri EV penumpang Naxtra masih tidak mengalami degradasi kuasa yang ketara pada suhu -40 ℃.
Bateri EV penumpang Naxtra CATL mencapai ketumpatan tenaga 175Wj/kg, iaitu pencapaian tertinggi antara bateri natrium-ion di seluruh dunia dan setanding dengan bateri LFP. Ia menawarkan jarak sepanjang 500 kilometer dan boleh mencapai lebih 10,000 kitaran yang dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dengan ketara. Dari segi keselamatan, Naxtra Battery menghapuskan faktor-faktor sokongan pembakaran pada tahap material, seterusnya mencapai kejayaan transformatif daripada "pertahanan pasif" kepada "keselamatan intrinsik".
Bateri Mula-Henti Bersepadu Trak Tugas Berat 24V Naxtra daripada CATL membawakan hayat perkhidmatan selama lebih 8 tahun. Ia mengurangkan jumlah kos kitaran hayat sebanyak 61% berbanding bateri asid plumbum tradisional. Produk ini menawarkan kelebihan unik termasuk nyahcas mendalam merentas seluruh kapasiti, satu klik bermula pada suhu -40°C dan keupayaan untuk bermula selepas terbiar selama setahun. Berbanding dengan bateri asid plumbum, ia lebih cekap, mesra alam dan menjimatkan, memacu kenderaan komersial menuju era tanpa plumbum di mana kenderaan dan bateri mampu bertahan bersama-sama.
Kejayaan penting yang dicapai oleh CATL dari segi prestasi bateri natrium-ion ini mengisi jurang bagi aplikasi bateri dalam persekitaran yang amat sejuk. Pencapaian prestasi bateri natrium-ion merupakan suatu perkembangan yang penting dalam aplikasi senario penuh bateri. Justeru itu, Bateri Dwikuasa Freevoy CATL telahpun muncul.
Bateri Dwikuasa Freevoy: Memulakan Era Berbilang-Kuasa bagi Kebebasan Tenaga
Bateri Dwikuasa Freevoy ialah produk rintis yang mengintegrasikan secara mendalam seni bina dwikuasa CATL dan teknologi anod bentuk sendiri. Seni bina dwikuasa bererti pek bateri mempunyai dua "zon tenaga bebas" yang berkuasa, yang mengupayakan lima dwifungsi: dwivoltan tinggi, dwivoltan rendah, dwistruktur, pengurusan dwihaba dan dwiperlindungan keselamatan larian terma, lalu memastikan kesinambungan, kestabilan dan keselamatan output kuasa. Reka bentuk dwikuasa dan integrasi perisian yang inovatif ini akan menyediakan bekalan kuasa yang lebih stabil dan andal untuk kenderaan dalam era pemanduan autonomi L3 dan L4 yang akan datang.
"Teknologi anod bentuk sendiri" menonjolkan pencapaian disruptif pada peringkat atom yang bererti ketumpatan tenaga volumetri bateri boleh meningkat sebanyak 60% dan ketumpatan tenaga gravimetri sebanyak 50%. Ini juga bermakna lebih banyak kuasa boleh direkayasa ke dalam ruang pek bateri yang sama, lalu menyokong jarak yang lebih panjang. Teknologi ini boleh digandingkan secara fleksibel dengan pelbagai sistem bahan dan apabila digabungkan dengan sistem NCM, ketumpatan tenaga dapat ditingkatkan kepada lebih 1000Wj/L.
Teknologi "pemanjangan jarak dwielektrik" yang dipelopori oleh Bateri Dwikuasa Freevoy boleh mengawal secara intuitif strategi peruntukan dua zon tenaga berdasarkan status pemanduan kenderaan dan tabiat pemanduan pengguna. Zon tenaga utama bateri dwikuasa boleh menggunakan sistem kimia sel bateri yang berbeza mengikut tabiat dan senario pemanduan pengguna, lantas memenuhi keperluan pemanduan harian; Zon tenaga jarak tambahan boleh mengguna pakai teknologi anod bentuk sendiri tenaga khusus yang tinggi untuk menyediakan kapasiti yang lebih besar bagi memenuhi keperluan perjalanan jarak jauh pengguna.
Tiga penyelesaian dwikuasa merentas sistem kimia yang berbeza telahpun dikeluarkan di lapangan:
Bateri EV Dwikuasa Freevoy CATL menjadikan keperluan pengguna sebagai keutamaannya, mengupayakan sistem kimia yang berbeza untuk "berkolaborasi dan saling melengkapi antara satu sama lain" dan mengatasi hambatan teknikal yang menghalang sistem kimia tunggal daripada mencapai penyesuaian dengan semua senario. Ini membuatkan prestasi bateri tersuai boleh dicapai merentas segmen kos dan senario aplikasi yang berbeza.
Seni bina inovatif daripada dwikuasa kepada berbilang kuasa tidak akan dihadkan kepada bidang kenderaan penumpang elektrik, tetapi juga akan dilaksanakan dalam semua bidang seperti bas elektrik, trak tugas berat, kapal terbang, kapal, serta aplikasi perindustrian dan komersial, seterusnya mempercepat pengindustrian tenaga boleh baharu dalam semua senario. Dalam masa yang sama, ia juga akan mempercepat proses aplikasi teknologi canggih seperti bateri keadaan pepejal.
Bateri Pengecasan Super Pantas Shenxing Generasi Kedua: Mencipta Rekod Global Baharu
CATL melancarkan Bateri Pengecasan Super Pantas 4C Shenxing pada tahun 2023, memulakan era pengecasan super pantas. Pelancaran Bateri Shenxing generasi kedua CATL ini sekali lagi melangkaui batasan prestasi pengecasan super pantas dan mencipta rekod dunia yang baharu bagi kadar pengecasan.
Bateri Pengecasan Super Pantas Shenxing generasi kedua daripada CATL merupakan bateri LFP pertama di dunia yang membawakan jarak 800 km dan juga kadar pengecasan puncak 12C. Dengan kuasa pengecasan puncak 1.3 MW, ia mencapai jarak 2.5 kilometer sesaat pengecasan yang menghapuskan kepenatan menunggu. Dalam persekitaran suhu rendah -10°C, Bateri Pengecasan Super Pantas Shenxing generasi kedua ini boleh mengecas bermula daripada 5% hingga 80% SOC dalam masa hanya 15 minit, iaitu 100% lebih pantas berbanding tahap pengecasan semasa yang tertinggi dalam industri ini.
Di samping itu, Bateri Pengecasan Super Pantas Shenxing generasi kedua CATL ini memberikan kuasa yang mantap merentas semua julat suhu dan keadaan pengecasan. Biarpun dalam keadaan cas rendah, ia mengekalkan kuasa output sebanyak 830kW. Dalam persekitaran yang mencabar pada suhu -10°C dengan cas rendah, ia masih boleh memenuhi keperluan kuasa dengan mudah untuk pecutan 0-100km/j.
Intipati bateri berbilang-kuasa bererti membawa bateri kuasa daripada peringkat "dipacu parameter" ke peringkat "dipacu permintaan". CATL meneroka dan menerobos sempadan teknologi secara berterusan, seterusnya memulakan era berbilang-kuasa dalam industri tenaga baharu - era yang benar-benar mengutamakan pengguna.