MADRID, 1 Mei 2025 /PRNewswire/ -- Midea Group (000333.SZ and 0300.HK), sebuah syarikat teknologi global yang terkemuka, telahpun menyelesaikan pemerolehan Teka Group dengan efektif (tidak termasuk Teka Rus LLC). Operasi strategik ini yang pada mulanya didedahkan pada Jun 2024, memperkukuh daya saing global Teka Group dan memberi kedudukan kepadanya untuk mencapai pengembangan yang pesat dalam kategori dan pasaran produk baharu.
Kepimpinan teknologi, inovasi dan skala pembuatan Midea digabungkan dengan warisan jenama Teka Group selama seabad dan kehadiran yang kukuh di Eropah, Asia dan Amerika Latin melalui pemerolehan. Kedua-dua organisasi ini akan bersama-sama menyediakan pengguna di seluruh dunia dengan penyelesaian rumah yang lebih komprehensif dan inovatif.
Teka Group akan meningkatkan operasinya, meluaskan barisan produknya dan memasuki kategori-kategori baharu dengan bantuan Midea. Urus niaga ini akan membolehkannya mengukuhkan struktur organisasi dan tiga tanda dagangan ikonik Teka Group: Teka, Küppersbusch dan Intra, sekali gus memanfaatkan operasi global dan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Midea untuk menyerlahkan sinergi.
"Kami berbesar hati untuk menghulurkan sambutan mesra kepada Teka Group sebagai ahli keluarga Midea," ujar Jian Fu, Presiden Perniagaan Antarabangsa Midea, Midea Group, "Kami berjaya menggabungkan yang terbaik dari kedua-dua dunia: kecemerlangan teknologi dan pembuatan Midea dengan warisan jenama Teka yang kukuh dan pemahaman pengguna, untuk menyediakan pelanggan di seluruh dunia dengan penyelesaian yang inovatif dan nilai yang dipertingkat."
Mauro Correia, Ketua Pegawai Eksekutif Teka Group, menyatakan, "Penggabungan dengan Midea Group mewakili lembaran baharu yang mendebarkan untuk Teka. Penyepaduan ini akan mempercepat pembangunan komersial kami, memupuk keupayaan perindustrian dan R&D, membolehkan kami meluaskan jangkauan kami ke pasaran dan kategori baharu serta menyediakan pelanggan dan rakan kongsi kami dengan penyelesaian dan reka bentuk gaya hidup yang lebih inovatif."
Urus niaga ini memantapkan lagi kestabilan kewangan, kecekapan operasi dan kepimpinan pasaran Teka Group, iaitu faktor-faktor kritikal dalam persekitaran ekonomi semasa. Pelanggan, rakan kongsi dan pekerja Teka Group boleh mengharapkan gabungan antara kesinambungan dan peluang pertumbuhan baharu yang didorong oleh komitmen teguh Midea terhadap inovasi dan kepimpinan teknologi.
Midea Group, ditubuhkan pada tahun 1968, ialah syarikat teknologi global terkemuka yang menduduki tempat ke-277 dalam senarai Fortune Global 500 2024 dan salah sebuah syarikat pembuatan peralatan rumah terbesar di dunia yang perniagaannya melangkaui sekadar peralatan rumah pintar. Pada masa ini, Midea telahpun berkembang menjadi sebuah syarikat peneraju teknologi bertaraf antarabangsa yang mengkhusus dalam enam perniagaan utama termasuk Perniagaan Rumah Pintar, Teknologi Perindustrian, Teknologi Bangunan, Robotik & Automasi, Midea Medical dan Annto Logistics. Beribu pejabat di China, Midea Group mencapai hasil kasar sebanyak €53.08 bilion dan menggaji lebih daripada 190,000 orang pekerja di seluruh dunia. Syarikat ini mengendalikan 44 pangkalan pembuatan dan 38 pusat inovasi.
Teka Group kini beroperasi di lebih 120 negara merentas lima benua. Syarikat ini mencapai kedudukan pasaran yang penting di negara-negara dan wilayah-wilayah seperti Sepanyol, Portugal, Mexico, Chile, Thailand, Turkiye, Jerman, Emiriah Arab Bersatu dan Scandinavia. Syarikat ini mengeluarkan berjuta-juta produk setiap tahun dan mengendalikan 10 kilang di Eropah, Asia, dan benua Amerika, menggaji hampir 3,000 ahli profesional. Pengiktirafan global terhadap jenama-jenama utama Teka Group iaitu Teka, Küppersbusch dan Intra merupakan bukti dedikasi mereka terhadap inovasi, kualiti dan reka bentuk yang berterusan.
Latar Belakang Midea Group:
Midea Group, dengan visi untuk "menghidupkan inovasi yang hebat", mendukung falsafah untuk mencipta kehidupan yang lebih baik melalui teknologi sejak penubuhannya. Pada masa ini, produk dan perkhidmatan Midea menawarkan perkhidmatan kepada lebih 500 juta pelanggan di lebih 200 negara dan wilayah. Ia mewujudkan selanjutnya matriks jenama yang meliputi Midea, Little Swan, Toshiba, WAHIN, COLMO, Clivet, Eureka, KUKA, GMCC, Welling, LINVOL dan Wandong.
Latar Belakang Teka Group:
Teka Group ialah sebuah kumpulan multinasional yang ditubuhkan pada tahun 1924 di Jerman yang ketika ini berada di lebih 100 negara, mengkhusus dalam reka bentuk dan pembuatan peralatan rumah, sinki keluli tahan karat dan pili. Antara produk dapurnya ialah ketuhar, dapur para, penyedut asap, sinki dan pili. Kumpulan ini mengekalkan komitmen yang teguh terhadap reka bentuk dan inovasi berterusan yang membolehkannya memperoleh 34 anugerah dalam bidang ini sejak dua tahun yang lalu. Jenama-jenama utamanya ialah Teka, Küppersbusch dan Intra.