![]() |
SINGAPURA, 30 Mei 2025 /PRNewswire/ -- Singapura mendedahkan cerapan penting daripada Global AI Assurance Pilot, satu inisiatif untuk memangkinkan norma yang baru muncul dan amalan terbaik sekitar ujian teknikal terhadap aplikasi AI Generatif (GenAI). Cerapan ini selanjutnya menyediakan rangka tindakan untuk Testing Starter Kit pertama di dunia untuk aplikasi GenAI yang kini dibuka untuk ditinjau. Inisiatif-inisiatif global ini diumumkan oleh En. Tan Kiat How, Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Digital dan Penerangan di ATxSummit 2025, acara unggulan Asia Tech x Singapore (ATxSG). Usaha ini menempatkan Singapura di barisan hadapan usaha untuk mengoperasikan keselamatan AI, mempercepat penerimagunaan dan penggunaan AI yang dipercayai dan bertanggungjawab, serta menggalakkan kerjasama antarabangsa untuk AI yang memberi manfaat buat semua.
Global AI Assurance Pilot
2. Bagi menggalakkan penerimagunaan AI yang selamat dalam industri-industri, Global AI Assurance Pilot dilancarkan pada bulan Februari 2025, satu inisiatif oleh AI Verify Foundation (AIVF) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) untuk memangkinkan norma baru muncul dan amalan terbaik sekitar ujian teknikal terhadap aplikasi Gen AI. Ujian perintis ini menerima minat yang kukuh daripada pihak berkepentingan AI tempatan dan juga antarabangsa, khususnya daripada syarikat-syarikat yang menggunakan Gen AI dalam proses perniagaan mereka. Dalam ujian perintis ini, 16 penguji AI berkepakaran digandingkan dengan 17 pelaksana aplikasi Gen AI dunia sebenar – daripada 10 industri yang berbeza termasuk sektor kewangan, penjagaan kesihatan, HR, kakitangan dan sektor awam.
3. Satu contoh penemuan penting daripada ujian perintis ini ialah risiko Gen AI seringkali bergantung pada konteks (khusus untuk industri, set tindakan, budaya, bahasa dan organisasi). Pengecilan risiko dan ujian untuk situasi tertentu merupakan satu cabaran dan cadangannya adalah untuk melibatkan pakar bidang khusus sepanjang kitaran hayat aplikasi. AIVF dan IMDA akan terus bekerjasama dengan industri untuk menambah baik ujian perintis ini.
Testing Starter Kit untuk Aplikasi Gen AI
4. IMDA turut mengumumkan rancangan untuk membangunkan Testing Starter Kit yang pertama seumpamanya untuk aplikasi Gen AI. Starter Kit ini membuat generalisasi terhadap pandangan utama daripada Assurance Pilot dan perundingan dengan pengamal lain bagi memberikan panduan ujian praktikal untuk semua perniagaan yang membangunkan atau memanfaatkan aplikasi GenAI dalam seluruh sektor dan set tindakan. Starter Kit ini menyediakan panduan langkah demi langkah tentang bagaimana untuk memikirkan risiko yang perlu dibimbangkan, mengetengahkan risiko-risiko biasa seperti halusinasi, kandungan yang tidak diingini, pendedahan data dan kerentanan kepada prom penentang dan seterusnya bagaimana caranya untuk menguji aplikasi Gen AI. IMDA menyeru pandangan daripada industri berhubung Starter Kit ini mengenai panduan ujian serta ujian yang disyorkan untuk empat risiko yang dikenal pasti.
5. Starter Kit ini dilengkapi dengan alat ujian seperti Project Moonshot yang menyediakan platform yang mengupayakan perniagaan untuk melaksanakan panduan ujian. Starter Kit ini akan terus berkembang bagi menumpukan pada risiko baru muncul dan keperluan ujian seiring dengan perkembangan teknologi.
6. Assurance Pilot dan juga Starter Kit bertujuan untuk meningkatkan keupayaan perniagaan dalam penerimagunaan aplikasi Gen AI yang selamat dan membina kepercayaan menyeluruh dalam ekosistem AI.
Singapura terus memanfaatkan AI untuk Kebaikan Awam demi Singapura dan Dunia
7. Singapura percaya dalam memanfaatkan AI untuk Kebaikan Awam dan bahawasanya AI dapat meningkatkan potensi ekonomi, meningkatkan impak sosial dan memenuhi keperluan serta cabaran pada zaman kita. AI Singapore (AISG) akan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan UNDP bagi memajukan literasi AI di enam negara perintis yang bertujuan untuk menutup jurang literasi AI dan mentransformasikan komuniti di negara-negara sedang membangun. Perkongsian ini akan melanjutkan program AI for Good (AI4Good) AISG yang membuahkan hasil – yang pada mulanya dilancarkan pada tahun 2024 untuk memperkukuh keupayaan AI nasional di seluruh Asia – ke skala antarabangsa.
Persidangan Pembangun Pelajar AI AISG
8. Persidangan Pembangun Pelajar AI (AISDC) yang diketuai oleh AI Singapore (AISG) menghimpunkan lebih 1,000 orang pelajar dan 60 rakan kongsi industri dalam acara selama dua hari yang dikhususkan untuk inovasi kecerdasan buatan dan pembangunan bakat. Satu sorotan utama ialah Cabaran Pelajar AI Nasional (NAISC) yang melaluinya pelajar dari enam negara ASEAN (Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam) bersaing untuk menangani masalah dunia sebenar melalui penalaan halus LLM dan kejuruteraan prom. Persidangan ini berkembang untuk memasukkan penyertaan ASEAN melalui trek cabaran serantau pertamanya, seterusnya menekankan peranan Singapura dalam memupuk pembangunan bakat AI dan kolaborasi di seluruh Asia Tenggara. Puan Rahayu Mahzam, Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan akan menyampaikan ucapan penutup di acara ini.
Women in Tech
9. Puan Josephine Teo, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, berucap dalam sidang panel 'Kejayaan untuk Kepentingan – Pemimpin Membina Komuniti' yang meninjau bagaimana Women in Tech yang berjaya boleh dan telahpun memainkan peranan yang membawa impak dalam "paying it forward" ("membalas kebaikan kepada semua") dan mewujudkan komuniti wanita yang sama berjaya. Barisan panel bersama-sama Menteri Teo ialah Cik Jane Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Trip.com, Cik Tan Su Shan, Ketua Pegawai Eksekutif DBS Group, dimoderasikan oleh Profesor Annie Koh, Profesor Emeritus Kewangan (Amalan), Singapore Management University.
Hubungi: atxsg.imda@archetype.co