omniture

Hadiah Longitude untuk ALS (Longitude Prize on ALS) bernilai £7.5 juta dilancarkan

Longitude Prize on ALS
2025-06-25 15:00 84

LONDON, 25 Jun 2025 /PRNewswire/ -- Hadiah Longitude untuk ALS (Longitude Prize on ALS), sebuah hadiah cabaran global bernilai £7.5 juta, telah dilancarkan untuk menggalakkan dan memberi ganjaran kepada pendekatan berasaskan AI yang terkini bagi mentransformasi penemuan ubat untuk merawat ALS (amyotrophic lateral sclerosis), iaitu bentuk paling biasa bagi MND (penyakit neuron motor).

ALS ialah penyakit neurodegeneratif progresif yang merosakkan saraf di otak dan saraf tunjang, yang membawa kepada kemerosotan otot yang teruk. Terdapat kemungkinan 1 dalam 300 bahawa seseorang akan menghidap MND, kira-kira 90% daripada kes tersebut ialah ALS.

Walaupun terdapat beberapa rawatan yang sangat terhad untuk melambatkan perkembangan ALS buat sementara waktu, kerumitannya menyebabkan tiada rawatan jangka panjang dan tiada penawar. Namun, buat pertama kalinya, kemajuan AI memberi peluang kepada para inovator untuk mendahului penyakit ini.

Tris Dyson, Managing Director, Challenge Works
Tris Dyson, Managing Director, Challenge Works

Tris Dyson, Pengarah Urusan, Challenge Works, yang didiagnosis dengan ALS pada tahun 2023 berkata:

"ALS sangat kompleks, sebab itulah amat sukar untuk membangunkan rawatan yang benar-benar mampu melawan penyakit yang mengerikan ini. Usaha kutipan dana yang tidak mengenal penat lelah dalam sedekad lalu telah menghasilkan sejumlah besar data mengenai ALS yang sebelum ini tidak wujud, dan kini kita berada di titik perubahan."

"Dalam setahun kebelakangan ini, Tofersen, rawatan ubat pertama yang menunjukkan harapan sebenar untuk mereka yang menghidap bentuk MND yang diwarisi dan sangat jarang berlaku (menjejaskan kira-kira 2% pesakit) membuktikan bahawa penyakit ini bukan lagi satu 'kotak hitam' yang tidak dapat kita tembusi. Kita kini berada di landasan yang betul untuk menghasilkan rawatan bagi semua pesakit MND termasuk kami yang hidup dengan ALS. Namun, pemacu sebenar perubahan ialah kemajuan pesat AI. Ini bermakna kita boleh menukar landasan itu menjadi lebuh raya super."

"Tidak pernah sebelum ini kita memiliki keupayaan untuk membuka rahsia kerumitan MND, khususnya ALS, dan mempercepatkan usaha ke arah rawatan jangka panjang, dan saya berharap, suatu hari nanti, penawar. Hadiah Longitude untuk ALS menjadikan perkara ini satu kemungkinan, dengan menghimpunkan set data pesakit ALS terbesar seumpamanya yang pernah tersedia dan memberi ganjaran kepada para penyelidik untuk menggunakan AI dalam mengenal pasti sasaran ubat yang paling berpotensi."

Hadiah ini dibiayai terutamanya oleh Motor Neurone Disease Association dan direka serta dilaksanakan oleh Challenge Works, dengan sokongan daripada Nesta. Pemberi dana tambahan termasuk Nesta, the Alan Davidson Foundation, My Name'5 Doddie Foundation, LifeArc, FightMND, The 10,000 Brains Project, Answer ALS dan The Packard Center at Johns Hopkins.

Mencari inovator dari seluruh bidang penyelidikan perubatan, bioteknologi, teknologi bio, farmaseutikal dan AI, Hadiah ini akan pada peringkat awal memberi ganjaran kepada 20 penyertaan paling berpotensi dengan £100,000 setiap satu pada awal tahun 2026. Pasukan akan dinilai berdasarkan potensi pendekatan mereka untuk mengenal pasti dan mengesahkan sasaran ubat yang mendorong pemahaman tentang penyakit ini serta menyokong usaha seterusnya dalam penemuan ubat.

Tempoh penyertaan akan ditutup pada 3 Disember 2025. 20 penyertaan yang berjaya akan diumumkan pada separuh pertama tahun 2026.

Lucy Hawking, wartawan dan anak kepada Penaung MND Association yang telah meninggal dunia, Prof. Stephen Hawking berkata:

"Hadiah Longitude untuk ALS merupakan langkah penting ke arah meningkatkan pemahaman kita terhadap penyakit neuron motor, khususnya ALS. Saya berharap Hadiah Longitude ini akan menggalakkan penggunaan AI oleh para penyelidik dan saintis untuk memperoleh penemuan baharu mengenai keadaan yang memusnahkan ini serta memajukan usaha pencarian rawatan dan penawar. Bagi individu yang hidup dengan penyakit ini, keluarga mereka, rakan-rakan dan penjaga di seluruh dunia, ini akan membawa kelegaan dan kegembiraan yang besar. Ayah saya hidup dengan MND selama lebih 50 tahun, dan merupakan individu yang diketahui paling lama bertahan dengan penyakit ini. Hasratnya yang paling besar ialah agar suatu hari nanti, penawar akan ditemui. Saya berbangga untuk menyokong Longitude Prize dan mengucapkan yang terbaik kepada semua peserta."

Tanya Curry, Ketua Pegawai Eksekutif Motor Neurone Disease Association berkata:

"Dengan menghimpunkan beberapa minda paling cemerlang dalam bidang sains dan teknologi, Hadiah Longitude untuk ALS akan memulakan perubahan yang bersifat transformatif bagi individu yang hidup dengan penyakit neuron motor. Kami melabur sebagai pemberi dana utama kerana memacu kerjasama seperti ini bersama dengan tahap data yang luar biasa yang sedang kami usahakan untuk dibuka menandakan permulaan satu pencapaian penting dalam penemuan ubat, buat MND Association dan komuniti MND yang lebih luas, dalam cara kita memahami dan seterusnya menangani penyakit ini."

Pemohon yang berjaya akan mendapat akses kepada koleksi data pesakit ALS terbesar seumpamanya melalui DNANexus, yang dihoskan di Amazon Web Services, dan disediakan melalui kerjasama dengan Project MinE, Answer ALS, New York Genome Center (NYGC), ALS Compute dan ALS Therapy Development Institute.

Sepuluh pasukan akan mara ke peringkat kedua, dan masing-masing akan menerima £200,000 pada tahun 2027 untuk membina asas bukti bagi sasaran terapeutik yang mereka cadangkan. Pada tahun 2028, lima pasukan akan menerima £500,000 untuk menjalankan pengesahan terhadap sasaran paling berpotensi yang telah dikenal pasti. Hadiah utama bernilai £1 juta akan dianugerahkan pada tahun 2031.

Untuk maklumat lanjut layari als.longitudeprize.org

Hubungan media: als@seven-consultancy.com (+44 (0)20 7754 3610)


Foto - https://mma.prnasia.com/media2/2714146/Tris_Dyson_Managing_Director_Challenge_Works.jpg?p=medium600
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/2714147/Neural_networks.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/2714145/Longitude_Prize_on_ALS_Logo.jpg?p=medium600

Neural networks
Neural networks

 

 



Source: Longitude Prize on ALS
Keywords: Biotechnology Computer/Electronics Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Awards New products/services STEM (Science,Technology,Engineering,Mathematics) Artificial Intelligence