omniture

Kongres ESOT 2025: Para saintis telah mencipta kelompok pankreas manusia yang berfungsi menerusi kejayaan dalam cetakan 3D untuk rawatan diabetes jenis 1

European Society for Organ Transplantation (ESOT) Congress 2025
2025-06-29 06:01 77

LONDON, 28 Jun 2025 /PRNewswire/ -- Sepasukan saintis antarabangsa telah mencapai kemajuan besar dalam penyelidikan diabetes dengan berjaya menghasilkan kelompok pankreas manusia yang berfungsi menggunakan bio-dakwat inovatif melalui teknologi cetakan 3D. Dibentangkan hari ini di Kongres ESOT 2025, teknologi baharu ini dapat membuka jalan untuk rawatan yang lebih berkesan dan kurang invasif bagi mereka yang menghidap diabetes jenis 1.

Penemuan penting ini melibatkan pencetakan kelompok pankreas manusia – gugusan sel dalam pankreas yang menghasilkan insulin – menggunakan bio-dakwat khas yang diperbuat daripada alginat dan tisu pankreas manusia yang telah dinyahsel. Pendekatan ini telah menghasilkan struktur kelompok pankreas yang tahan lama dan kekal berfungsi sehingga tiga minggu, mengekalkan tindak balas insulin yang kuat terhadap glukosa serta menunjukkan potensi sebenar untuk kegunaan klinikal pada masa hadapan.

Pemindahan kelompok pankreas secara tradisional biasanya dilakukan dengan menyuntiknya ke dalam hati, namun proses ini boleh menyebabkan kehilangan sel yang banyak dan kejayaan jangka panjang yang terhad. Sebaliknya, kelompok pankreas yang dicetak menggunakan teknologi 3D direka bentuk untuk diimplankan di bawah kulit sahaja, satu prosedur ringkas yang hanya memerlukan bius setempat dan sedikit torehan. Pendekatan invasif minimum ini boleh menawarkan pilihan yang lebih selamat dan selesa untuk pesakit.

"Matlamat kami adalah untuk mencipta semula persekitaran semula jadi pankreas supaya sel yang dipindahkan dapat bertahan dan berfungsi dengan lebih baik," jelas pengarang utama Dr. Quentin Perrier. "Kami menggunakan bio-dakwat khas yang meniru struktur sokongan pankreas, memberikan kelompok pankreas oksigen dan nutrien yang diperlukan untuk terus hidup dan berfungsi dengan baik.."

Kelompok pankreas yang dicetak bio kekal hidup dan sihat, dengan kadar kelangsungan sel melebihi 90%. Ia memberi tindak balas yang lebih baik terhadap glukosa berbanding penyediaan kelompok pankreas standard, dengan melepaskan lebih banyak insulin apabila diperlukan. Menjelang hari ke-21, kelompok pankreas menunjukkan keupayaan yang lebih kuat untuk mengesan dan bertindak balas terhadap paras gula dalam darah – satu petunjuk penting bahawa ia boleh berfungsi dengan baik selepas diimplan. Konstruk mengekalkan strukturnya tanpa menggumpal atau rosak, mengatasi halangan biasa dalam pendekatan awal.

Selain itu, struktur bercetak 3D menampilkan seni bina berliang yang meningkatkan aliran oksigen dan nutrien ke kelompok pankreas yang tertanam. Reka bentuk ini membantu mengekalkan kesihatan sel dan menggalakkan vaskularisasi, kedua-duanya penting untuk kelangsungan hidup dan fungsi jangka panjang selepas pemindahan.

"Ini adalah salah satu kajian pertama yang menggunakan kelompok pankreas manusia sebenar dan bukannya sel haiwan dalam pencetakan bio, dan hasilnya sangat memberangsangkan," kata Dr. Perrier. "Kami semakin hampir untuk mencipta rawatan luar biasa untuk diabetes yang suatu hari nanti dapat menghapuskan keperluan untuk suntikan insulin."

 

Source: European Society for Organ Transplantation (ESOT) Congress 2025
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Trade show news