omniture

CATL dan Rakan Kongsi Pecah Tanah untuk Projek Integrasi Bateri AS$6 Bilion di Indonesia

Contemporary Amperex Technology Co., Limited (CATL)
2025-07-02 09:10 80
  • Projek merangkum rantaian nilai bateri penuh – daripada perlombongan dan pemprosesan nikel hinggalah bahan bateri, pembuatan bateri dan kitar semula bateri
  • Ia dijangka mencipta 8,000 peluang pekerjaan dan menjana 35,000 peluang pekerjaan tidak langsung apabila ia mencapai kapasiti operasi penuh
  • Pencapaian ini mempercepat dengan ketara matlamat keneutralan karbon 2060 Indonesia

KARAWANG, Indonesia, 2 Julai 2025 /PRNewswire/ -- Ningbo Contemporary Brunp Lygend Co., Ltd. (CBL), subsidiari Guangdong Brunp Recycling Technology Co., Ltd (Brunp), melalui perkongsian bersama PT Aneka Tambang Tbk (ANTAM) dan Indonesia Battery Corporation (IBC), mengadakan upacara pecah tanah secara rasmi untuk Projek Integrasi Bateri Indonesia pada hari Ahad di Karawang New Industry City (KNIC) di Wilayah Jawa Barat, Indonesia. Brunp ialah subsidiari Contemporary Amperex Technology Co., Limited (CATL).

Menjangkau keluasan lebih 2,000 hektar, Projek Integrasi Bateri Indonesia, dengan pelaburan terancang mencecah hampir USD 6 bilion, meliputi rantaian nilai bateri penuh termasuk perlombongan dan pemprosesan nikel, bahan bateri dan kitar semula bateri di Taman Perindustrian FHT Halmahera Timur, Wilayah Maluku Utara dan pembuatan bateri di KNIC dan Artha Industrial Hill (AIH) Karawang, Wilayah Jawa Barat.

Kilang bateri di Karawang akan memberikan kapasiti tahunan sebanyak 6.9 GWj dalam fasa pertama. Dengan memanfaatkan pengalaman Kilang Rumah Api dan Pengilangan Ekstrem CATL, kilang ini akan memastikan pengeluaran sel dan modul bateri berkualiti tinggi yang cekap bagi mempercepat e-mobiliti dan usaha peralihan tenaga di Indonesia serta dunia.

Komponen utama yang lain dalam projek ini ialah penubuhan sistem kitaran tenaga boleh baharu pertama Indonesia, dengan perlombongan dan pemprosesan nikel, bahan bateri dan operasi kitar semula bateri ditempatkan di Taman Perindustrian FHT. Projek mercu tanda ini akan menggunakan teknologi terkini dan tenaga boleh baharu bagi mencapai penggunaan tenaga ultra-rendah, mengupayakan kecekapan kos yang dipertingkat dan penjanaan semula bahan bateri bernilai tinggi dengan kadar pemulihan logam melebihi 95%. Sebaik sahaja beroperasi sepenuhnya, kemudahan ini dijangka menghasilkan 142,000 tan nikel dan 30,000 tan bahan katod setiap tahun, berserta kapasiti untuk memproses sekitar 20,000 tan bateri kitar semula.

Projek ini, yang merupakan inisiatif terbesar seumpamanya di Asia Tenggara, jelas menunjukkan dedikasi Indonesia untuk mempromosikan tenaga lestari, seperti yang diisytiharkan oleh Prabowo Subianto, Presiden Republik Indonesia semasa menghadiri upacara pecah tanah di Karawang. Beliau turut menunjukkan semangat untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan global bagi membangunkan ekosistem industri bateri hijau.

Dengan mengintegrasikan seluruh rantaian nilai bateri secara menegak, Projek Integrasi Bateri Indonesia menunjukkan contoh yang mantap berhubung pembangunan industri kitaran dan hijau, seterusnya mewujudkan penanda aras baharu dalam kolaborasi industri antarabangsa. Ia dijangka mencipta 8,000 peluang pekerjaan langsung dan menjana 35,000 peluang pekerjaan tidak langsung bilamana ia mencapai kapasiti penuh dan ia akan memberi sumbangan besar kepada sasaran keneutralan karbon 2060 Indonesia.

Upacara pecah tanah ini merupakan satu peristiwa penting dalam memajukan Projek Integrasi Bateri Indonesia yang akan meningkatkan lagi jejak global CATL, mewujudkan kebingkasan bekalan bahan mentah dan menggalakkan kekitaran bateri global.

Source: Contemporary Amperex Technology Co., Limited (CATL)
Related Stocks:
HongKong:3750 NYSE:CBL Shenzhen:300750 Shenzhen:300750.SZ
Keywords: Banking/Financial Service Chemical Computer/Electronics Oil/Energy Utilities Contracts