omniture

Projek ACTIVE 2.0 Dilancarkan di Malaysia untuk Meningkatkan Rawatan Kanser Serviks

Asia Society for Social Improvement & Sustainable Transformation (ASSIST) Inc.
2025-07-16 16:13 12

KUALA LUMPUR, Malaysia, 16 Julai 2025 /PRNewswire/ -- Usaha serantau untuk meningkatkan penjagaan kanser serviks untuk pesakit telah dilancarkan di Malaysia. Merangkumi 6 buah negara di Asia Tenggara, Projek ACTIVE 2.0 bertujuan untuk meningkatkan rawatan kanser serviks dan menyokong pemulihan pesakit di seluruh Asia Tenggara. Inisiatif selama tiga tahun ini akan menumpukan pada pengukuhan sistem penjagaan kesihatan melalui latihan klinikal, penaiktarafan infrastruktur dan inovasi digital, dengan matlamat untuk meluaskan akses kepada penjagaan kanser serviks bersasar yang berkualiti tinggi untuk pesakit dan juga keluarga mereka.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser serviks kekal menjadi cabaran kesihatan yang ketara di Asia Tenggara, dengan lebih 69,000 kes baharu dan 38,000 kematian dilaporkan pada tahun 2022. Walaupun rawatan sinaran moden telah meningkatkan hasil dengan ketara, jurang dalam akses kepada rawatan lanjutan dan pakar terlatih masih berterusan. ACTIVE 2.0 menangani jurang ini melalui latihan perubatan yang diperluaskan, infrastruktur yang dinaik taraf serta inovasi yang mengutamakan pesakit dalam penjagaan kanser.

"ACTIVE 2.0 merupakan langkah yang penting ke arah meningkatkan akses kepada penjagaan lanjutan kanser  di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia," kata Paul Lee, Pengarah Projek ACTIVE 2.0. "Melalui projek ini, Malaysia akan meningkatkan bilangan doktor yang dilatih dalam rawatan lanjutan kanser serviks, mengukuhkan keupayaan hospital tempatan dan menyokong pesakit dengan lebih baik sepanjang perjalanan pemulihan mereka. Matlamatnya adalah untuk memberi harapan kepada semua orang yang menghidap kanser serviks."

ACTIVE 2.0 akan berkolaborasi dengan pusat-pusat rawatan onkologi terkemuka di Malaysia bagi mewujudkan rangkaian yang terdiri daripada empat Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk rawatan kanser serviks. Menerusi projek ini, Pusat Kecemerlangan tersebut akan menerima peralatan latihan radioterapi lanjutan serta infrastruktur bagi menyokong pemulihan jangka panjang pesakit mereka.

Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam, Ketua Jabatan, Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur dan Paul Lee, Pengarah Projek ACTIVE 2.0.
Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam, Ketua Jabatan, Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur dan Paul Lee, Pengarah Projek ACTIVE 2.0.

"Kanser serviks kekal menjadi kebimbangan kesihatan yang ketara di Malaysia, terutamanya bagi wanita dalam komuniti yang terjejas," kata Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam, Ketua Jabatan, Jabatan Radioterapi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur. "Walaupun radioterapi sudahpun menjadi sebahagian daripada penjagaan kanser di negara ini, ACTIVE 2.0 membolehkan kami mengukuhkan lagi kepakaran tempatan dalam rawatan kanser yang sangat maju dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Melalui kolaborasi ini, kami bermatlamat untuk meningkatkan kualiti rawatan dan menyokong akses yang lebih luas kepada penjagaan kanser lanjutan di Malaysia." 

Deutsche Investitions-und Entwicklungsgesellschaft (DEG)

DEG Impulse, ahli KfW Bankengruppe (kumpulan perbankan KfW), membiayai pelaburan syarikat-syarikat swasta di negara-negara membangun dan peralihan. Sebagai salah satu institusi kewangan pembangunan yang terbesar di Eropah, ia menggalakkan struktur perniagaan swasta bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan keadaan hidup yang lebih baik.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.deginvest.de

Elekta

Sebagai peneraju bagi terapi sinaran jitu, Elekta komited untuk memastikan setiap pesakit memperoleh akses kepada penjagaan kanser yang terbaik. Kami berkolaborasi secara terbuka dengan pelanggan untuk memajukan penyelesaian yang mampan, dipacu oleh keputusan dan penyelesaian yang kos efisyen bagi memenuhi keperluan pesakit yang kian berkembang, memperbaiki kehidupan dan memberi harapan kepada semua orang yang menghidap kanser.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.elekta.com

Federation of Asian Organizations for Radiation Oncology (FARO)

FARO ialah sebuah pertubuhan bukan untung dan saintifik yang bertujuan untuk berfungsi sebagai persekutuan bagi persatuan onkologi radiasi di Asia dan bermatlamat untuk memupuk peranan onkologi sinaran bagi meningkatkan tahap asas radioterapi demi manfaat pesakit kanser di rantau Asia.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.faro.asia

Asia Society for Social Improvement and Sustainable Transformation (ASSIST)

ASSIST ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan bertaraf antarabangsa yang memfokuskan pada pembangunan kapasiti. Matlamatnya adalah untuk memperkasakan kumpulan sasarannya bagi menjadikan mereka berdaya tahan terhadap cabaran sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.assistasia.org

Source: Asia Society for Social Improvement & Sustainable Transformation (ASSIST) Inc.
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals New products/services