KUALA LUMPUR, Malaysia, 28 Julai 2025 /PRNewswire/ -- Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) buat julung-julung kalinya melancarkan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 yang pertama di negara ini. YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia telah menyempurnakan perasmian tersebut dengan memperkenalkan logo dan slogan kempen, Healing Meets Hospitality di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Penganjuran MYMT 2026 bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan terkemuka dengan mengetengahkan perkhidmatan penjagaan kesihatan termaju serta layanan hospitaliti yang mesra. Kempen ini juga menyasarkan untuk menarik minat pengembara antarabangsa bagi menikmati kemudahan perubatan moden, tenaga pakar profesional serta penawaran kesejahteraan kesihatan secara menyeluruh di Malaysia. Penyanyi tersohor tanah air, Dato' Seri Siti Nurhaliza juga telah diumumkan sebagai duta kempen dengan menyumbang suara bagi mempromosikan visi pelancongan perubatan negara.
Pada tahun 2024, Malaysia menerima ketibaan 1.6 juta pengembara kesihatan dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 14% berbanding tahun sebelumnya. Jumlah pendapatan pelancongan kesihatan yang diraih oleh industri pula mencecah RM2.72 bilion, meningkat sebanyak 21% berbanding tahun 2023. Penganjuran MYMT 2026 justeru dijangka mampu untuk memperkukuh lagi pencapaian ini selari dengan aspirasi MHTC bagi mencapai sasaran pendapatan industri sebanyak RM12 bilion menjelang 2030.
Pelancaran MYMT 2026 turut mengetengahkan empat institusi kesihatan iaitu Institut Jantung Negara, Island Hospital Pulau Pinang, Mahkota Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre yang merupakan finalis bagi program Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) di bawah MHTC. Kesemua institusi tersebut dipilih atas kecemerlangan dalam penjagaan klinikal, inovasi serta perkhidmatan terbaik kepada pesakit antarabangsa. Sesi penilaian akhir sedang dijalankan dan keputusan pemenang akan diumumkan pada Disember 2025.
"Malaysia sememangnya sudah dikenali sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan perubatan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk para pengembara kesihatan. Kini, kita tidak hanya memberikan tumpuan kepada perubatan moden semata-mata, malah meneroka pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan holistik melalui gabungan khidmat perubatan moden, kesejahteraan, perubatan tradisional & komplementari (PT&K) serta asuhan pencegahan," kata YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad yang juga Pengerusi MHTC.
Untuk maklumat lanjut mengenai MYMT 2026, sila layari www.malaysiahealthcare.org.
Untuk pertanyaan media dan maklumat lanjut, sila hubungi:
Mohamad Shahizam Fauzi
Ketua, Komunikasi
019-3306875
shahizam.f@mhtc.org.my
Siti Hamidah Mohd Najib
Eksekutif Kanan, Komunikasi
012-3279096
hamidah.m@mhtc.org.my
Tentang Malaysia Healthcare Travel Council
Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) ialah agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab untuk mengurus industri pelancongan kesihatan Malaysia. Diasaskan pada tahun 2009, MHTC berfungsi untuk menggembleng para penggiat industri dan pembekal perkhidmatan untuk memfasilitasi dan mengembangkan industri pelancongan kesihatan Malaysia di bawah jenama "Malaysia Healthcare", dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia destinasi penjagaan kesihatan yang terkemuka di dunia.