![]() |
TOKYO, 2 Ogos 2025 /PRNewswire/ -- DayOne, pembangun dan pengendali pusat data global yang berpangkalan di Singapura, dan Gaw Capital Partners, sebuah firma pengurusan pelaburan berbilang aset yang memfokuskan pada hartanah, ekuiti pertumbuhan, kredit swasta dan pasaran infrastruktur di peringkat global, hari ini mengadakan majlis pecah tanah di bangunan Fasa Satu dalam kampus pusat data 80MW Gaw Capital di Tokyo, Jepun.

Dari kiri ke kanan di majlis pecah tanah: En. Jimmy Yu, Naib Presiden Kanan Pembangunan Strategi & Perniagaan, DayOne Data Centers; En. Andy Okada, Lembaga Pengarah, DayOne Data Centers; En. William Huang, Pengerusi, DayOne Data Centers; (pendeta); En. Kenneth Gaw, Presiden, Prinsipal Pengurusan, Gaw Capital Partners; Isabella Lo, Pengarah Urusan, Prinsipal - Pelaburan & Ketua Jepun, Gaw Capital Partners; Edward Law, Pengarah Urusan - Pengurusan Aset (APAC), Gaw Capital Partners; Daisuke Taniguchi, Pengarah Urusan - Ketua Pengurusan Aset, Jepun, Gaw Capital Partners; Nicholas Toh, Pengarah Urusan - Ketua Platform Pusat Data, Asia (Kecuali China), Gaw Capital Partners
Terletak secara strategik di Fuchu Intelligent Park, kluster pusat data yang bertapak kukuh dan terletak sejauh kurang daripada 30km dari pusat bandar Tokyo, kampus ini akan menawarkan jumlah kapasiti IT sebanyak 80MW, dengan kira-kira 66,360 meter persegi keluasan lantai kasar. Setelah siap, ia akan menjadi antara pembangunan pusat data yang terbesar di Bandar Fuchu dari segi beban IT.
Bangunan Fasa Satu di kampus ini terdiri daripada bangunan sembilan tingkat yang mempunyai sepuluh dewan data dengan kapasiti IT 18MW dan disasarkan siap struktur komponen asas dan luarannya menjelang pertengahan tahun 2027. NEC Facilities berperanan sebagai arkitek, manakala HASEKO Corporation dilantik sebagai kontraktor utama.
Kemudahan hiperskala termaju ini mengintegrasikan teknologi penyejukan termaju dan memanfaatkan sumber tenaga boleh baharu bagi meningkatkan kecekapan tenaga. Ia bertujuan untuk mencapai pensijilan ESG dan operasi yang utama, termasuk CASBEE, LEED dan Pengurusan Tenaga ISO50001, seterusnya memperkukuh komitmen terhadap kelestarian dan inovasi dalam infrastruktur digital generasi akan datang.
Majlis pecah tanah ini dihadiri oleh wakil-wakil kanan daripada DayOne, Gaw Capital, United Overseas Bank, Crédit Agricole Bank, HASEKO Corporation dan NEC Facilities, termasuk En. William Huang, Pengerusi DayOne dan En. Kenneth Gaw, Presiden dan Prinsipal Pengurusan Gaw Capital Partners. Acara ini menekankan komitmen kolektif semua rakan kongsi untuk memajukan ekosistem digital Jepun serta memupuk ketersambungan serantau yang lebih luas.
Cik Jamie Khoo, Ketua Pegawai Eksekutif DayOne, berkata: "Acara pecah tanah pada hari ini menandakan permulaan projek sulung kami di Jepun. Kampus ini akan memberikan infrastruktur asas yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pesat teknologi awan, AI dan teknologi generasi akan datang di Jepun serta rantau ini. Ia juga merupakan langkah yang penting dalam meluaskan platform global kami, susulan kejayaan pelaksanaan strategi SIJORI (Singapura-Johor-Kepulauan Riau) di seluruh Asia Tenggara."
En. Nicholas Toh, Pengarah Urusan – Ketua Platform Pusat Data, Asia (Kecuali China) Gaw Capital Partners, menekankan, "Acara pecah tanah ini merupakan pencapaian yang penting dalam evolusi digital Bandar Fuchu. Kolaborasi ini menggabungkan pengalaman hartanah global Gaw Capital dengan kepakaran DayOne dalam mengendalikan pusat data berprestasi tinggi, lantas menggambarkan dedikasi bersama kami untuk mencipta sebuah infrastruktur yang bertaraf dunia bagi memenuhi tuntutan pemprosesan data yang semakin meningkat yang dimangkinkan oleh peningkatan AI generatif di rantau ini."
Jepun ialah salah satu pasaran pusat data Tahap 1 yang terbesar di dunia, dengan Tokyo Raya berfungsi sebagai hab digital utama negara ini lantaran ketersambungan domestik serta antarabangsanya yang kukuh. Menerusi acara pecah tanah bagi pusat data pertamanya di Jepun, DayOne mengesahkan sekali lagi kedudukannya sebagai penyedia utama bagi infrastruktur digital berprestasi tinggi dan seterusnya menunjukkan langkah yang penting dalam memajukan ekosistem data negara ini.
-TAMAT-
Latar Belakang DayOne
Beribu pejabat di Singapura, DayOne ialah perintis pusat data yang membangunkan dan mengendalikan infrastruktur digital generasi akan datang untuk peneraju industri yang menuntut penyelesaian yang andal, berkesan kos dan boleh diskalakan dengan pantas. Kemudahan canggih kami memperkasakan hyperscaler dan perusahaan besar untuk mencapai penggunaan yang pantas dan meningkatkan ketersambungan, memacu keterlibatan transformatif dan inovasi tatkala kami membentuk masa depan industri-industri. Pusat data DayOne terletak di seluruh pasaran utama, termasuk Singapura, Johor (Malaysia), Batam (Indonesia), Bangkok Raya, Hong Kong SAR, Tokyo dan selanjutnya.