![]() |
• 79% percaya pengesanan awal penting, tetapi hanya 25% pernah jalani saringan kanser
• 82% tahu penjagaan selepas rawatan wujud, namun 55% tidak faham apa yang ia melibatkan
• Keyakinan terhadap model penjagaan 'sehenti' dan keterbukaan terhadap teknologi digital semakin meningkat
KUALA LUMPUR, Malaysia, 10 September 2025 /PRNewswire/ -- Kajian baharu oleh Siemens Healthineers mendedahkan jurang kritikal dalam laluan penjagaan kanser di Malaysia—daripada saringan dan "diagnosis" hingga ke rawatan dan kelangsungan hidup (survivorship).
Tinjauan bertajuk "Bridging the Gaps: Public Perceptions of the Cancer Care Continuum in Southeast Asia" yang dijalankan oleh YouGov melibatkan lebih 6,000 orang dari enam1 negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pengesanan awal. Namun, tinjauan ini turut mendedahkan kadar saringan yang rendah, jurang dalam akses kepada rawatan, serta kefahaman yang terhad mengenai pilihan rawatan dan penjagaan selepas rawatan. Tinjauan ini juga mencerminkan optimisme terhadap penjagaan kanser yang lebih bersepadu serta peranan inovasi digital dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan.
"Tinjauan ini menekankan betapa pentingnya memahami keseluruhan perjalanan pesakit kanser—bukan sekadar permulaan diagnosis atau pengakhiran rawatan," kata Fabrice Leguet, Pengarah Urusan dan Presiden, Asia Tenggara, Siemens Healthineers. "Cara masyarakat membuat keputusan untuk menjalani saringan, memilih rawatan yang sesuai, dan merancang kehidupan selepas rawatan adalah faktor penting dalam meningkatkan hasil rawatan dan kualiti hidup pesakit."
Kesedaran Tinggi, Tindakan Rendah
Walaupun majoriti rakyat Malaysia (79%) percaya bahawa pengesanan awal boleh meningkatkan hasil rawatan kanser, hanya 25% responden pernah menjalani saringan kanser. Tetapi, daripada kumpulan kecil ini, hanya 7% telah menjalani ujian saringan khusus untuk kanser. Apabila ditanya sebab tidak menjalani saringan, hampir satu pertiga (32%) menyatakan mereka "tidak rasa perlu" untuk berbuat demikian, satu sentimen yang turut dikongsi oleh responden di negara-negara Asia Tenggara lain. Sebahagian lagi menyebut ketakutan terhadap kemungkinan didiagnosis dengan kanser (23%) dan kos saringan yang dianggap terlalu mahal (22%).
Persepsi terhadap risiko juga rendah berbanding negara lain di rantau ini, dengan hanya 24% responden berpendapat mereka berkemungkinan menghidap kanser sepanjang hayat mereka—tahap kedua terendah selepas Filipina.
Kesedaran Terhadap Rawatan Kanser dan Akses: Pengetahuan Terhadap Terapi Moden Masih Rendah
Majoriti rakyat Malaysia mengenali bentuk rawatan tradisional seperti kemoterapi (67%), pembedahan (46%) dan radioterapi (43%). Namun, hanya sebilangan kecil yang mengetahui tentang terapi moden seperti pendekatan berpandukan imej (15%), terapi ketepatan (14%) dan imunoterapi (9%). Tahap kesedaran ini sejajar dengan trend di negara-negara Asia Tenggara lain.
Kebanyakan responden mengakui bahawa rawatan kanser boleh diakses2 (53%), namun tidak mampu milik (55%), dan kebimbangan terhadap kesan sampingan juga tinggi (56%). Pandangan ini adalah konsisten dan mencerminkan kebimbangan yang turut dikongsi secara meluas di seluruh Asia Tenggara. Di Singapura, dua daripada tiga orang (67%) menyatakan bahawa kos rawatan merupakan halangan utama, tertinggi di rantau ini—diikuti oleh 62% di Filipina.
Kelangsungan Hidup (Survivorship): Penjagaan Selepas Rawatan Masih Kurang Difahami
Perjalanan pesakit kanser tidak berakhir dengan rawatan. Di Malaysia, walaupun 82% responden menyedari bahawa penjagaan selepas rawatan kanser wujud, lebih separuh daripada mereka (55%) tidak memahami apa yang ia sebenarnya melibatkan—menunjukkan jurang pengetahuan yang ketara dalam fasa kelangsungan hidup pesakit. Seperti di kebanyakan negara jiran, rakyat Malaysia menjangkakan agar sistem penjagaan kesihatan mereka menyediakan akses yang mudah kepada ujian diagnostik (65%), susulan berkala selepas rawatan (69%), serta panduan yang jelas mengenai tanda-tanda dan simptom berulangnya kanser (61%).
Tanda-tanda optimisme: keyakinan terhadap perkhidmatan kanser 'sehenti' dan keterbukaan terhadap inovasi digital
Walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam penjagaan kanser, tinjauan ini turut menunjukkan harapan yang jelas dalam kalangan rakyat Malaysia. Hampir separuh responden (45%) menyatakan bahawa mereka akan lebih yakin dalam perjalanan penjagaan kanser sekiranya perkhidmatan disampaikan melalui model 'sehenti'3—iaitu satu pusat yang menyatukan saringan, diagnosis, rawatan dan susulan. Tahap keyakinan ini adalah yang ketiga tertinggi di rantau Asia Tenggara, selepas Singapura (58%) dan Thailand (57%), mencerminkan harapan terhadap penjagaan yang lebih terselaras dan berpusatkan pesakit.
Inovasi digital turut dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh sistem penjagaan kanser. Ramai responden terbuka kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penjagaan kesihatan (46%) dan melihatnya sebagai satu pendekatan yang menjanjikan (39%), dengan syarat ia telus, dikendalikan oleh pakar klinikal, dan dilindungi oleh dasar privasi data yang kukuh. Malaysia berada di kedudukan kedua tertinggi di rantau ini dari segi keterbukaan terhadap penggunaan AI. Yang penting, 53% responden menekankan bahawa teknologi digital harus melengkapi dan bukan menggantikan—peranan profesional penjagaan Kesihatan.
Siemens Healthineers: Komited untuk Merapatkan Jurang Penjagaan Kanser
Tinjauan ini mencerminkan komitmen Siemens Healthineers dalam menerajui kemajuan penjagaan kesihatan bukan sahaja melalui teknologi, tetapi juga dengan membina kefahaman dan keyakinan sepanjang kesinambungan penjagaan kanser. Kajian ini bukan sahaja mengenal pasti cabaran, tetapi turut menyerlahkan peluang nyata untuk memperbaiki laluan pesakit melalui penjagaan yang lebih terselaras, akses yang lebih mampu milik, dan penggunaan alat digital yang berasaskan ketelusan serta interaksi manusia (human interaction)
"Kami bertekad untuk membantu merapatkan jurang yang dikenal pasti dengan membolehkan pengesanan yang lebih awal dan tepat, menyokong pakar klinikal melalui inovasi digital, serta memajukan rawatan ketepatan dan penjagaan jangka panjang. Dengan menyelaraskan inovasi teknologi bersama pengetahuan klinikal dan kepakaran perundingan kesihatan, Siemens Healthineers berhasrat untuk memberikan impak bermakna kepada jutaan pesakit di seluruh Asia Tenggara," kata Fabrice Leguet.
Gambar siaran media tersedia atas permintaan.
Nota kepada editor:
Tinjauan bertajuk "Bridging the Gaps: Public Perceptions of the Cancer Care Continuum in Southeast Asia" telah diamanahkan oleh Siemens Healthineers dan dijalankan oleh YouGov. Kerja lapangan dijalankan secara dalam talian antara 21 hingga 29 Julai 2025. Seramai 6,379 responden telah mengambil bahagian, yang diambil daripada panel YouGov merentasi enam pasaran Asia Tenggara: Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Data telah diberatkan untuk mewakili populasi pasaran masing-masing secara menyeluruh.
Kunjungi Siemens Healthineers Press Center.
Langgan surat berita "Medtech matters" kami di LinkedIn.
Siemens Healthineers menerajui inovasi dalam penjagaan kesihatan — untuk semua, di mana sahaja, secara mampan. Sebagai penyedia global peralatan, penyelesaian dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, Siemens Healthineers beroperasi di lebih 180 negara, dengan kehadiran langsung di lebih 70 daripadanya. Kumpulan ini merangkumi Siemens Healthineers AG, yang disenaraikan di Frankfurt, Jerman dengan kod SHL, serta anak-anak syarikatnya. Sebagai peneraju teknologi perubatan, Siemens Healthineers komited untuk memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan, terutamanya bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan. Syarikat ini juga berusaha menangani penyakit-penyakit yang paling mengancam kehidupan melalui kepakaran dalam bidang pengimejan, diagnostik, rawatan kanser dan terapi invasif minimum, yang diperkukuh dengan teknologi digital dan kecerdasan buatan. Bagi tahun fiskal 2024 yang berakhir pada 30 September 2024, Siemens Healthineers mempunyai kira-kira 72,000 kakitangan di seluruh dunia dan mencatatkan hasil sekitar €22.4 bilion. Maklumat lanjut boleh didapati di www.siemens-healthineers.com.
[1] Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam |
[2] "Boleh diakses" di sini merujuk kepada tahap kemudahan bagi orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan apabila mereka memerlukannya. Ini merangkumi faktor-faktor praktikal seperti jarak, kos, ketersediaan dan bahasa . |
[3] Model 'sehenti' merujuk kepada pendekatan bersepadu di mana pesakit boleh mengakses semua perkhidmatan utama seperti saringan, diagnosis, rawatan, rawatan lanjutan dan sokongan, kesemuanya di satu lokasi/melalui sistem yang diselaraskan dengan baik. |