MUNICH, 11 September 2025 /PRNewswire/ -- Bertempat di IAA 2025, CATL menyokong Ellen MacArthur Foundation (EMF) bagi mengadakan forum peringkat tinggi yang menghimpunkan eksekutif-eksekutif daripada BASF, BMW, Mercedes-Benz, European Battery Alliance, Global Battery Alliance, Benchmark Mineral Intelligence dan Xynteo, di samping lebih 100 wakil silang sektor untuk membincangkan laluan bagi mencapai kitaran dalam seluruh rantaian nilai bateri dan memajukan dasar serta kolaborasi kewangan untuk meningkatkan ekonomi kitaran.
Acara ini yang diadakan semasa pembukaan salah satu acara automotif yang terkemuka di dunia, mengetengahkan kitaran sebagai tema utama untuk industri ini, lantas menggambarkan peningkatan pengiktirafan yang diharapkan oleh mobiliti mampan untuk menutup gelung merentas reka bentuk bateri, pembuatan, penggunaan semula, aplikasi hayat kedua dan kitar semula. CATL menyumbangkan pandangan daripada inisiatif Komitmen Kitaran Tenaga Global (GECC), selain berkongsi pengajaran praktikal daripada operasi dan perkongsian globalnya.
Dibina untuk Kitaran: Reka Bentuk, Pembuatan dan Infrastruktur untuk Bateri
Perbincangan pertama meneroka sejauh mana kitaran boleh diterapkan daripada peringkat terawal pembangunan bateri, bermula daripada reka bentuk dan pembuatan hinggalah infrastruktur sokongan. Ahli-ahli panel menekankan kepentingan kebolehkesanan digital, ketelusan bahan dan amalan industri kolaboratif sebagai pendaya utama bagi ekosistem bateri yang benar-benar berkitar.
Jiang Li, Naib Presiden dan Setiausaha Lembaga CATL, menekankan aspek cabaran dan juga peluang di hadapan:
"Bagi menjadikan kitaran dapat dijayakan secara meluas, industri memerlukan standard yang jelas serta kerangka dasar dan kewangan yang sejajar. Dengan lebih ramai rakan kongsi turut serta bersama kami, kami bekerjasama untuk membina sebuah ekosistem yang menjadikan bateri lebih bingkas, selamat dan mampan untuk dekad-dekad yang akan datang."
Daniel Schönfelder, Presiden, Bahan Bateri di BASF, berbicara mengenai peranan bahan katod mampan dan kolaborasi industri; Jens Rubi, Pengurus Kanan, Ketua Kitaran di Mercedes-Benz, mengetengahkan mengenai penerapan kitaran dalam strategi OEM; dan Oliver Ganser, Naib Presiden Pendigitalan di BMW, membincangkan pemanfaatan Catena-X, platform digital rentas industri yang diterajui BMW bagi tujuan pertukaran data automotif untuk memastikan ketelusan dan kebolehkesanan rantaian bekalan.
Perbincangan ini menekankan bahawa pembinaan sebuah ekosistem bateri kitaran memerlukan tindakan terkoordinasi daripada pengilang, pembekal serta rakan kongsi teknologi dan kolaborasi pada setiap peringkat rantaian nilai penting untuk menjadikan kitaran boleh skala dan praktikal.
Daripada Wang kepada Mandat: Menskalakan Bateri Kitaran dengan Dasar Pintar dan Kewangan
Perbincangan kedua memfokuskan pada pendorong yang diperlukan untuk menskalakan kitaran dalam seluruh ekosistem bateri global, menekankan kerangka dasar, mekanisme pembiayaan dan pendekatan terpiawai. Ahli-ahli panel turut meneliti bagaimana penjajaran kawal selia, keyakinan pelabur dan alatan seperti Battery Passport boleh mencipta metrik yang telus dan setanding merentas bidang kuasa, lalu mengupayakan pelaksanaan amalan kitaran yang praktikal dan berskala besar.
Emma Nerenheim, Pengarah Urusan European Battery Alliance, menekankan mengenai kesegeraan tindakan terkoordinasi:
"Ketika ini, kita terlalu banyak berbicara mengenai kolaborasi. Saya ingin mengatakan bahawa perkataannya ialah penggabungan. Ia bukan kolaborasi. Ia berkenaan dengan hal bahawa kita harus memutuskan yang kita perlu melakukan penggabungan ini. Sangat sukar untuk memahami bagaimana persoalan ini akan mendatangkan manfaatnya (untuk pengitar semula) - Jadi bergabunglah sekarang."
Inga Petersen, Pengarah Eksekutif dan Ahli Lembaga bagi Global Battery Alliance, menekankan selanjutnya mengenai perlunya pendekatan global yang harmoni terhadap kitaran:
"Kita perlu memberi lebih banyak penekanan bagi mewujudkan peluang sama rata di peringkat global dan memerhatikan ekosistem bateri global. Terdapat risiko perpecahan yang sebenar apabila beban pematuhan kawal selia yang tinggi dan produk berstandard tinggi dalam pasaran tertentu boleh mengakibatkan pasaran baru muncul bergelut untuk memenuhi keperluan kemampanan dan kitar semula. Kita benar-benar perlu mewujudkan piawaian minimum yang sama untuk bateri bagi memastikan ia dapat memenuhi metrik kemampanan dan boleh mencapai modal."
Ahli-ahli panel yang lain berkongsi perspektif pelengkap: Zoe Zhang, Penganalisis Mineral Kritikal di Benchmark Mineral Intelligence, memberikan pandangan mengenai risiko rantaian bekalan dan kepentingan data yang telus untuk pelabur; dan Amy Marshall, Pengarah Urusan di Xynteo, membincangkan perkongsian pelbagai pihak berkepentingan dan transformasi sistem bagi mengupayakan kitaran.
Forum ini berperanan sebagai pertemuan formal yang pertama antara rakan-rakan kongsi di bawah Program Mineral Kritikal oleh Ellen MacArthur Foundation yang dilancarkan pada bulan Jun yang melaluinya CATL menggariskan matlamatnya yang bercita-cita tinggi bahawa dalam tempoh 20 tahun sehingga 50% pengeluaran bateri baharu boleh dipisahkan daripada bahan mentah dara. Melangkah ke hadapan, CATL akan terus bekerjasama dengan EMF dan rakan-rakan kongsi industri dalam projek-projek perintis dan penyelesaian rantaian nilai penuh demi memajukan ekosistem bateri kitaran yang lestari dan saksama.