BAKU, Azerbaijan, 11 September 2025 /PRNewswire/ -- Pasukan St. Petersburg State University memenangi Kejohanan Dunia ICPC 2025 di Pusingan Akhir Dunia Pertandingan Pengaturcaraan Kolej Antarabangsa Tahunan ke-49. Sebanyak 140 pasukan penyelesaian masalah elit dari lebih 50 negara merentas enam benua menyertai acara ini di Pusat Konvensyen Baku, di ibu negara Azerbaijan. Selepas berlangsungnya pertandingan yang begitu sengit ini, pasukan yang mewakili wilayah Eurasia Utara mencatatkan markah tertinggi dalam 12 cabaran pengekodan dan merangkul tempat teratas.
Sebagai salah satu penyokong utama ICPC untuk pertandingan ini, Huawei membawakan cabaran dunia sebenar kepada para peserta yang berkaitan dengan pengoptimuman gambar dalam galeri peranti mudah alih. Cabaran ICPC yang dikuasakan oleh Huawei ini direka untuk membantu merapatkan jurang antara ilmu algoritma teori dan aplikasi industri. Pertandingan yang berlangsung selama tiga jam ini diakhiri dengan pasukan University of Tokyo—yang kemudiannya menamatkan saingan sebagai naib juara kepada St. Petersburg dalam Kejohanan utama—meraih hadiah Cabaran.
Dr. Bill Poucher, Pengarah Eksekutif ICPC menyatakan, "Bakat yang begitu luar biasa! Tahniah diucapkan kepada pasukan St. Petersburg State University dan juga pasukan University of Tokyo. Terima kasih juga diucapkan kepada penaja-penaja kami dengan setinggi-tinggi penghargaan kepada Huawei atas sokongan mereka terhadap Cabaran Pusingan Akhir Dunia ICPC."
Xiao Chunpeng, Pengarah Jabatan Pengurusan Pertandingan Huawei, berkata, "AI sedang dalam fasa beralih daripada makmal ke dunia nyata. Ini seterusnya mewujudkan peluang yang tidak pernah terjadi sebelum ini buat belia masa kini. Huawei sentiasa mengiktiraf nilai penyelidikan asas dan kami berbesar hati kerana berpeluang untuk bekerjasama erat dengan organisasi-organisasi seperti ICPC dalam pertandingan antarabangsa ini. Dengan berkongsi cabaran terhebat yang dihadapi oleh industri pada masa ini, kami dapat membantu minda terbaik dan paling cerdas di dunia meneroka cara baharu bagi menangani cabaran ini. Tugas sebeginilah yang akan terus-menerus memacu industri ini ke hadapan dalam era AI ini."
Huawei merancang untuk bekerjasama dengan ICPC bagi memperkenalkan lebih banyak cabaran untuk penggemar perisian secara dalam talian, termasuk cabaran dalam AI dan juga algoritma.
Huawei dan ICPC juga akan memperkukuh perkongsian mereka melalui pelbagai aktiviti seperti kem latihan, cabaran kejohanan dan juga ceramah teknologi. Mereka bersama-sama bermatlamat untuk memupuk generasi bakat baharu dan meneroka cara untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar yang dihadapi oleh industri-industri berkaitan AI, pengkomputeran dan pengendali yang digunakan untuk pengkomputeran.
Xiao menjelaskan bahawa pertandingan bakat global bukan sahaja bertujuan untuk menguji kemahiran peserta, tetapi juga untuk membina jambatan antara ekosistem bakat dan industri-industri yang berbeza. "Huawei ialah penyokong yang dibanggakan bagi platform-platform ini yang membantu lebih ramai bakat cemerlang muncul di serata dunia dan berharap pertandingan pada masa depan akan membantu golongan muda menterjemahkan idea baharu dan kemahiran teknikal mereka kepada kemajuan sosial serta pembangunan industri."