omniture

Raikan Perkongsian Rentas Sempadan dalam Penjagaan Kesihatan, Minggu Perubatan Asia 2025 Himpunkan Pemimpin di Bali Perkukuh Kecemerlangan dan Kesiapsiagaan

Mindray
2025-09-16 23:02 48

BALI, Indonesia, 16 September 2025 /PRNewswire/ -- Minggu Perubatan Asia (AMW) dan Forum Inovasi dan Pembangunan Perubatan Asia 2025 berlangsung secara rasminya mulai 12-13 September di Bali dengan misi untuk menghimpunkan pemimpin penjagaan kesihatan dari seluruh Asia untuk memperkukuh kolaborasi dan kebingkasan rentas sempadan. Sebagai rakan sokongan, Mindray (300760.SZ), iaitu peneraju bertaraf global bagi peranti dan penyelesaian perubatan, menyertai sidang kemuncak pada tahun ini untuk membantu memupuk dialog dan kolaborasi antara rakan-rakan kongsi yang utama.


Anjuran Hospital Fudan Zhongshan, China dan institusi-institusi serantau terkemuka yang lain, Minggu Perubatan Asia kali kelapan di Bali memberikan penekanan yang kuat terhadap tindakan kolektif untuk menangani cabaran penjagaan kesihatan yang dikongsi bersama. Tahun ini mengambil tema "Bridging Nations, Healing Futures" ("Merapatkan Negara, Menyembuhkan Masa Depan"), AMW 2025 dihoskan oleh Prof. Dr. I.G.N.G. Hospital Ngoerah (Hospital Ngoerah).


"Indonesia komited untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang bukan sahaja kukuh di dalam negara tetapi turut berdaya saing di pentas global. Matlamat kami adalah untuk mencapai transformasi daripada sebuah negara yang mana rakyatnya sering mendapatkan rawatan di luar negara menjadi sebuah negara yang mampu menawarkan perkhidmatan kesihatan yang mencukupi di dalam negara. Ini memerlukan kesiapsiagaan daripada sistem kami, pelaburan yang berterusan dalam modal insan dan dasar yang sejajar dengan piawaian antarabangsa. Platform-platform seperti Minggu Perubatan Asia membolehkan kami belajar daripada satu sama lain agar kami dapat mempercepat proses transformasi ini," kata Budi Gunadi Sadikin, Menteri Kesihatan Republik Indonesia.

"Sejak penubuhannya pada tahun 2018, AMW berfungsi sebagai platform ulung bagi kerjasama antarabangsa yang memfokuskan pada inovasi dan mengusahakan pembangunan secara bersama. Kembali ke Indonesia selepas enam tahun merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat kami untuk meningkatkan kolaborasi menjadi sesuatu yang memberi impak dan memfokuskan masa depan. Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mewujudkan rangka tindakan baharu demi kerjasama perubatan yang bingkas di seluruh Asia," kata Yinghong Shi, Naib Presiden Hospital Zhongshan, Universiti Fudan.

Hasil utama ialah pemeteraian dua MoU bagi meningkatkan kolaborasi institusi antara hospital-hospital di Indonesia dan China. Di acara ini, Mindray turut menyertai rakan-rakan institusi dan pakar-pakar di forum ini bagi memajukan matlamat penjagaan kesihatan yang dikongsi bersama. Selaras dengan semangat kolaborasi AMW, syarikat ini menyumbang kepada dialog dengan mengetengahkan empat keutamaan strategiknya terhadap kebingkasan: Penjagaan Kesihatan Pintar, Pembangunan Bakat, Penyelidikan dan Inovasi serta Pemerkasaan Industri Perubatan.


Memperkukuh Transformasi Penjagaan Kesihatan Indonesia

Transformasi sistem kebingkasan kesihatan Indonesia memainkan peranan penting dalam mengekalkan kerangka penjagaan kesihatan negara yang teguh, seperti yang diketengahkan di bawah tonggak ketiga dalam agenda transformasi Kementerian Kesihatan. Di AMW 2025, Mindray menjajarkan inisiatifnya dengan visi ini dan memperlihatkan perkongsian yang sudahpun memperkukuh kapasiti tempatan.

Membawakan teknologi perubatan yang canggih untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses menjadi inti pati daripada misi Mindray. Di Indonesia, misi ini dicerminkan melalui kolaborasi bersama Siloam Hospitals Group dan Mayapada Healthcare yang menghubungkan jabatan-jabatan hospital yang kritikal termasuk bilik bedah, ICU dan makmal. Perkongsian ini berjaya meningkatkan hasil pesakit dan membolehkan golongan profesional penjagaan kesihatan memberi tumpuan kepada penjagaan yang bernilai lebih tinggi sekali gus memastikan kecekapan hospital dan juga keselamatan pesakit.

Pembangunan bakat merupakan satu lagi asas. Menurut Kementerian Kesihatan, Indonesia ketika ini hanya melahirkan 2,700 pakar baharu setahun, jauh lebih rendah daripada 32,000 yang ideal. Bagi membantu merapatkan jurang ini, Mindray telah melancarkan inisiatif "Projek 2025" yang merangkum 14 sekolah ultrabunyi di seluruh Asia Tenggara, termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Malaysia. Program ini melatih lebih daripada 1,000 pakar perubatan muda dalam bidang-bidang seperti obstetrik, urologi dan perubatan muskuloskeletal. Di Indonesia, inisiatif ini dibangunkan melalui perkongian bersama Kementerian Kesihatan dan hospital-hospital akademik yang terkemuka.

Memajukan Ilmu Pengetahuan dan Inovasi Serantau

Kolaborasi sudah lama ditekankan sebagai asas bagi kemajuan dalam penjagaan kesihatan dan AMW 2025 sekali lagi memperkukuh pesanan ini. Justeru itu, semasa berlangsungnya acara ini, Mindray turut menonjolkan pencapaian baharu dalam kolaborasi saintifik. Melalui perkongsian bersama Dr. Cipto Mangunkusumo Hospital (RSCM) Jakarta, syarikat ini menerbitkan secara bersama Kenyataan Konsensus Asia Tenggara mengenai Penyeragaman Ultrabunyi Lantai Pelvis yang menyatukan hampir 20 hospital di seluruh rantau ini bagi mengharmonikan amalan diagnostik dan meningkatkan standard penjagaan.

Pelaburan dalam Pengeluaran Tempatan untuk Memperkasakan Industri Peranti Perubatan Domestik

Mindray mengulangi bahawa kapasiti industri merupakan tulang belakang bagi kebingkasan penjagaan kesihatan yang mampan. Sejak tahun 2022, kilangnya di Kendal, Jawa Tengah mendayakan pengeluaran domestik bagi picagari, pam infusi, meja bedah dan stesen dok.

Pada September 2025, Mindray membuka secara rasmi kemudahan kedua di Indonesia yang akan mengeluarkan ventilator dan mesin anestesia yang penting untuk sokongan hayat dan keperluan pembedahan. Pelaburan ini mengembangkan kapasiti tempatan, mengurangkan pergantungan kepada import dan menyokong cita-cita kerajaan untuk mengukuhkan kebingkasan kesihatan serta pertumbuhan ekonomi.

"Membina sistem penjagaan kesihatan yang benar-benar bingkas memerlukan lebih daripada teknologi yang terus kami bina. Ia menuntut integrasi antara orang ramai, ilmu pengetahuan dan kapasiti tempatan. Empat tonggak strategik kami mewakili komitmen kami untuk bekerjasama dengan kerajaan, hospital dan komuniti bagi memastikan kemajuan penjagaan kesihatan bersifat inklusif dan bersedia mendepani masa depan. Kami berbesar hati dapat berkhidmat sebagai pemudah cara dan pembina jambatan di acara ini, dengan misi untuk mengukuhkan kolaborasi dan memupuk hubungan bermakna yang dapat merealisasikan visi ini," kata Zaiwen Li, Naib Presiden Kanan Mindray.

Latar Belakang Mindray 

Mindray ialah penyedia bertaraf global yang terkemuka bagi peranti dan penyelesaian perubatan, komited untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses di seluruh dunia. Syarikat ini menawarkan penyelesaian inovatif dalam Pemantauan Pesakit & Sokongan Hayat, Diagnostik In Vitro serta Pengimejan Perubatan.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.mindray.com/en

Maklumat Perhubungan Media Mindray:brandcomms@mindray.com

 

Source: Mindray
Keywords: Health Care/Hospital