![]() |
Pemikir-pemikir terkemuka daripada dunia akademik, dasar dan industri meneroka idea berani berhubung masa depan pembelajaran
SINGAPURA, 29 September 2025 /PRNewswire/ -- Education in Motion (EiM), sebuah kumpulan pendidikan global yang terkemuka, mengumumkan pada hari ini pelancaran Lembaga Penasihat Pendidikan EiM, iaitu satu inisiatif perintis yang direka untuk memajukan kepimpinan pemikiran dan inovasi dalam bidang pendidikan di serata dunia.
Ditubuhkan di bawah naungan EiM yang portfolionya melibatkan sekolah-sekolah Dulwich College International dan tawaran pendidikan premium yang lain, Lembaga ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Lesley Meyer, Ketua Pegawai Pendidikan EiM yang mempunyai pengalaman kepimpinan sekolah antarabangsa selama lebih 35 tahun dan juga Richard Levin yang berkhidmat sebagai Presiden Yale University sejak tahun 1993 hingga 2013 dan Ketua Pegawai Eksekutif Coursera dari tahun 2014 hingga 2017.
Lembaga Penasihat akan menghimpunkan suara-suara utama daripada dunia akademik, dasar dan industri bagi meneroka idea-idea berani yang membentuk masa depan pembelajaran. Ahli-ahli tambahan akan melibatkan Rose Luckin daripada University College London, pakar AI dalam pendidikan yang terkenal di dunia; David Leebron, bekas Presiden Rice University dan bekas Dekan Sekolah Undang-undang Columbia; Andrew Hamilton, bekas Naib Canselor Oxford University dan bekas Presiden New York University; dan Doris Sohmen-Pao, bekas pemegang amanah Princeton University dan Pengarah Program MBA INSEAD yang kini berkhidmat dalam lembaga pendidikan di Singapura dan seluruh dunia.
Lesley Meyer, Ketua Pegawai Pendidikan di EiM, berkata, "Lembaga Penasihat Pendidikan EiM mencerminkan misi kami untuk mempelopori bidang pendidikan. Dengan menghimpunkan pemikir dan pemimpin yang luar biasa, kami bermatlamat untuk meneroka idea-idea baharu yang akan memberi inspirasi kepada generasi pembelajaran yang seterusnya di seluruh dunia. Pendidikan merupakan kuasa paling hebat yang kami ada untuk membentuk masa depan yang lebih baik dan kami sedang memanggil beberapa suara yang paling berpandangan jauh di dunia untuk membayangkan apakah dan seharusnya bagaimanakah peranan bidang pembelajaran untuk generasi pelajar yang akan datang."
Richard Levin, Profesor Emeritus Ekonomi Frederick William Beinecke di Yale, menambah, "Sekolah-sekolah pada hari ini berdepan dengan tugas berganda untuk memupuk kemahiran intelektual yang tak lapuk dek zaman dan dalam masa yang sama bersesuaian dengan mod pembelajaran baharu. Lembaga Penasihat Pendidikan akan terlibat secara mendalam dari segi cara terbaik untuk memanfaatkan teknologi, memupuk pemikiran kritis dan memupuk daya kreativiti, agar pendidikan kekal teliti dan relevan. Saya gembira dapat mempengerusikan secara bersama Lembaga ini dan bekerjasama dengan EiM berserta rakan sekerja global dalam membentuk perbualan yang akan membantu sekolah dan pelajar berkembang maju dalam dekad-dekad yang akan datang."
Lembaga akan mengadakan sidang kemuncak pertamanya di Singapura pada tahun akademik ini.
Latar Belakang Education in Motion
Education in Motion (EiM) ialah peneraju bertaraf global dalam mempelopori kecemerlangan pendidikan dan turut memberi inspirasi kepada generasi-generasi pelajar untuk Live Worldwise. Sejak penubuhan sekolah pertamanya lebih dua dekad yang lalu, EiM mengembangkan portfolionya yang pelbagai dengan sekolah dan jenama, menawarkan gabungan antara inovasi dan tradisi melalui pelbagai tawaran pendidikan yang premium di seluruh dunia. Ini termasuk Dulwich College International, yang menawarkan sekolah K-12 dan juga Program Sekolah Tinggi; Dehong®, menawarkan pendidikan dwibahasa; Green School International, menggalakkan kemampanan di seluruh Bali dan dunia; Sherfield School di United Kingdom; Hochalpines Institut Ftan AG (HIF) di Switzerland; Ignite, program kediaman luar negara berasaskan kegiatan luar yang unik; serta platform pembelajaran dan pengajaran bahasa Cina Wo Hui Mandarin.
Hari ini, EiM memperkasakan lebih 11,500 orang pelajar daripada 15 sekolah di seluruh dunia untuk berkembang maju secara holistik pada laluan yang disesuaikan buat setiap individu yang unik, lalu menghasilkan keputusan akademik yang cemerlang dan matrikulasi universiti terbaik.
Untuk maklumat lanjut mengenai EiM dan jenama-jenamanya, kunjungi www.eimglobal.com.