KIGALI, Rwanda, 7 Oktober 2025 /PRNewswire/ -- Huawei dan Kementerian Pendidikan Rwanda mengumumkan penyiapan fasa pertama bagi Projek Pendidikan Pintar dan pelancaran projek Huawei TECH4ALL DigiTruck baharu di Sekolah Tinggi Kagarama di Kigali pada 3 Oktober.
Kedua-dua projek ini memperlihatkan komitmen Rwanda terhadap transformasi digital dalam sektor pendidikan dan peningkatan kemahiran penduduk Rwanda dengan kemahiran digital.
"Keraian bersama pada hari ini merupakan sesuatu yang lebih daripada sekadar upacara beristiadat; ia merupakan bukti komitmen Rwanda yang tidak berbelah bahagi terhadap pendidikan inklusif yang didorong oleh teknologi. Inisiatif-inisiatif ini memperkukuh kerjasama antarabangsa, menggalakkan ekuiti digital dan memajukan pembangunan negara yang mampan," kata Joseph Nsengimana, Menteri Pendidikan di Rwanda.
Projek Pendidikan Pintar menghubungkan 1,500 sekolah kepada Internet berkelajuan tinggi, memasang atur dua pusat data termaju dan meletakkan asas untuk rangkaian pendidikan khusus bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran digital di seluruh negara.
Sejajar dengan Wawasan Rwanda 2050 dan Strategi Nasional untuk Transformasi, projek ini direka untuk menyokong peralihan Rwanda bagi menjadi ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan yang kompetitif di peringkat global. Dalam masa terdekat, manfaat daripada projek ini akan diperluas untuk merapatkan lagi jurang digital dan terus memperkasakan para guru dan pelajar dengan teknologi termaju.
Pencapaian ini bererti hampir 1.5 juta orang pelajar di seluruh Rwanda — di Kigali serta komuniti luar bandar yang terpencil — kini boleh mengakses sumber pendidikan yang berkualiti tinggi secara sama rata.
"Seorang pelajar di Kigali kini boleh berkongsi ilmu secara jarak jauh bersama rakan-rakan sebaya di Rusizi. Ini merupakan impak sebenar daripada keterangkuman digital: mendekatkan jarak, memecahkan halangan dan memberi peluang kepada setiap kanak-kanak untuk memasang impian yang lebih besar," kata Jin Jiqing, Pengarah Urusan Huawei Technologies Rwanda.
Di samping Projek Pendidikan Pintar, Huawei dan Kementerian ICT & Inovasi serta Kementerian Pendidikan kerajaan melancarkan projek DigiTruck bagi menyampaikan latihan kemahiran digital secara percuma dan disesuaikan kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, dengan memberi tumpuan kepada belia, gadis dan petani yang tercicir. Dilengkapi dengan komputer riba, akses Internet dan peranti pembelajaran digital, DigiTruck ialah bilik darjah bergerak dikuasakan tenaga solar yang boleh dipandu ke komuniti terpencil, dengan jurulatih pakar yang bersedia untuk menyediakan latihan walaupun di kawasan yang mengalami kekurangan akses Internet atau bekalan kuasa.
"Inisiatif-inisiatif seperti DigiTruck membawakan lebih daripada teknologi, ia merupakan pintu masuk kepada peluang, pemerkasaan dan masa depan Rwanda sebagai ekonomi yang dipacu oleh ilmu," kata Eraste Rurangwa, Setiausaha Tetap Kementerian ICT dan Inovasi di Rwanda.
Sejajar dengan matlamat NST2 untuk melatih 1 juta orang rakyat dalam kemahiran digital, DigiTruck akan mengembara ke seluruh 30 daerah di Rwanda dengan matlamat untuk melatih 5,000 warga Rwanda dalam tempoh tiga tahun.
Setakat ini, Huawei TECH4ALL DigiTrucks menyediakan latihan kepada lebih daripada 17,000 orang di 7 negara dengan kemahiran digital seperti menggunakan peranti dan perisian pejabat, memohon pekerjaan secara dalam talian, memulakan perniagaan dalam talian serta pengekodan dan robotik.