omniture

Firma pelaburan impak sokongan Temasek ABC Impact, DBS dan UOB jalin kerjasama bagi kemudahan pinjaman langganan berkaitan kemampanan

ABC Impact
2025-10-15 09:53 21

Mentransformasikan kemudahan pinjaman konvensional menjadi alat inovatif yang memacu hasil sosial dan alam sekitar yang boleh diukur

SINGAPURA, 15 Oktober 2025 /PRNewswire/ -- ABC Impact, sebuah firma pelaburan impak yang disokong oleh Temasek dan juga ahli Temasek Trust Asset Management[i], bekerjasama dengan DBS dan UOB bagi kemudahan pinjaman langganan berkaitan kemampanan. Kemudahan pinjaman langganan berkaitan kemampanan bernilai USD 110 juta (SGD 142 juta)[ii] yang ditubuhkan secara bersama oleh DBS dan UOB, mentransformasikan kemudahan pinjaman konvensional sedia ada menjadi instrumen inovatif yang mengaitkan pembiayaan dengan sasaran impak yang boleh diukur.

Sebelum ini, ABC Impact mempunyai kemudahan pinjaman langganan konvensional yang biasanya merupakan kemudahan jangka pendek yang membolehkan ekuiti persendirian dan dana impak untuk merapatkan jurang antara pelaburan yang dibuat dan penerimaan modal yang diperoleh daripada pelabur.

Dengan kemudahan pinjaman berkaitan kemampanan – yang dikaitkan dengan sasaran prestasi kemampanan – ABC Impact dan kedua-dua bank ini akan menyalurkan aliran modal kepada projek-projek dengan hasil yang bermakna dan dalam masa yang sama memberikan fokus pada impak yang boleh diukur dan penzahiran terhadap struktur pembiayaan itu sendiri.

Kemudahan pinjaman ini ditujukan untuk ABC Impact Fund II yang dimulakan pada Ogos 2023 dan mengadakan penutupan akhir pada Mac 2025. Ketika ini, aset bawah pengurusan (AUM) dana ini melebihi nilai USD 600 juta (SGD 712 juta) – dua kali ganda daripada saiz Fund I sulungnya – menerusi komitmen daripada pelabur-pelabur termasuk Temasek, Temasek Trust, Asian Development Bank, Mapletree Investments, SeaTown Holdings, dana kekayaan negara Asia Tenggara dan individu-individu dengan kekayaan bersih yang sangat tinggi.

Di bawah terma-terma kemudahan pinjaman berkaitan kemampanan, syarikat-syarikat portfolio ABC Impact Fund II akan dikehendaki mencapai sasaran prestasi kemampanan yang berkaitan dengan emisi gas rumah hijau yang dielakkan atau dikurangkan, serta bilangan benefisiari yang dicapai merentas sektor-sektor impak yang utama seperti pertanian, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan kewangan.

ABC Impact menjejaki penunjuk impak utama merentas portfolionya sejak penubuhannya, menyediakan asas dipacu data untuk mengukur dan melaporkan hasil yang dicapai oleh pelaburannya. Penukaran kemudahan pinjaman ini kepada kemudahan pinjaman berkaitan kemampanan mewujudkan insentif tambahan bagi meningkatkan tahap prestasi dan menjajarkan selanjutnya pembiayaan dengan misi dana ini bagi menangani cabaran alam sekitar dan sosial yang mendesak di Asia serta mengubah cabaran ini menjadi peluang pertumbuhan dan pembangunan.

Dengan adanya kemudahan ini, ABC Impact, DBS dan UOB dapat mewujudkan penanda aras yang baharu untuk sektor kewangan dalam pengintegrasian pertimbangan kemampanan ke dalam pembiayaan dana konvensional.

Sugandhi Matta, Ketua Pegawai Impak, ABC Impact, berkata, "Pinjaman berkaitan kemampanan ini merupakan satu pencapaian yang penting dalam perjalanan ABC Impact. Dengan modal pelabur kami yang sudahpun dikhususkan sepenuhnya untuk impak dan kini pembiayaan kami dikaitkan dengan hasil kemampanan yang boleh diukur, setiap dolar yang kami uruskan sejajar dengan misi kami. Dengan memasukkan sasaran prestasi ke dalam struktur pembiayaan arus perdana, kami dapat memperkukuh komitmen kami untuk menyampaikan disiplin kewangan dan juga hasil sosial serta alam sekitar yang positif di seluruh Asia."

Simon Ong, Ketua Kumpulan Institusi Kewangan dan Perbadanan Berkaitan Kerajaan, DBS berkata: "Perkongsian ini menunjukkan sejauh mana inovasi kewangan memainkan peranannya – dengan memilih produk tradisional dan memberi wajah baharu kepadanya bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada ekosistem. Dengan bekerjasama bersama ABC Impact, kami membantu mendapatkan modal untuk perniagaan yang menjana pulangan kewangan dan juga sosial. Ini merupakan satu contoh bagaimana bank boleh bertindak sebagai pengupaya pembangunan yang mampan dan memberi impak, mengemudi modal ke arah penyelesaian yang dapat menambah baik kehidupan dan mata pencarian."

Edmund Leong, Ketua Perbankan Korporat Kumpulan, UOB, berkata: "UOB berpegang teguh kepada komitmen kami untuk membangunkan penyelesaian pembiayaan inovatif yang membolehkan pelanggan kami memacu impak yang bermakna dan boleh diukur. Dengan menstrukturkan pembiayaan kepada hasil kemampanan yang ditakrifkan dengan jelas, kemudahan ini mewakili standard baharu dalam memanfaatkan modal untuk kejayaan komersial dan juga kemajuan masyarakat. Kolaborasi kami bersama ABC Impact menekankan peranan kritikal perkongsian yang strategik dalam menangani cabaran alam sekitar dan sosial yang mendesak di seluruh rantau ini."

Latar Belakang ABC Impact

ABC Impact ialah firma pelaburan impak Pan-Asia yang mengkhusus untuk menyampaikan hasil sosial dan alam sekitar yang boleh diukur di samping pulangan kewangan terlaras risiko melalui pertumbuhan yang mampan. Dengan aset bawah pengurusan yang bernilai lebih USD 900 juta, firma ini mengikut strategi berdisiplin dan tematik untuk melabur dalam perniagaan berpotensi tinggi yang dapat menangani cabaran paling mendesak di Asia.

Portfolionya menjangkau penyelesaian iklim dan air, makanan dan pertanian mampan, penjagaan kesihatan dan pendidikan, serta rangkuman kewangan dan digital. ABC Impact ialah ahli Temasek Trust Asset Management dan disokong oleh Temasek Trust, Temasek, Asian Development Bank dan juga pelabur institusi utama yang lain.

Sebagai penandatangan bagi Prinsip-prinsip Pelaburan Bertanggungjawab dan Prinsip-prinsip Pengendalian untuk Pengurusan Impak, ABC Impact mengaplikasikan kerangka pengukuran dan pengurusan impak berasaskan bukti yang ketat bagi memastikan keberkesanan dan kebertanggungjawaban. Ia komited untuk menggerakkan modal persendirian demi Asia yang lebih mampan dan inklusif.

Kunjungi www.abcimpact.com.sg untuk maklumat lanjut.

Latar Belakang DBS
DBS ialah kumpulan perkhidmatan kewangan yang terkemuka di Asia yang bertapak di 19 pasaran. Beribu pejabat dan disenaraikan di Singapura, DBS berada dalam tiga paksi pertumbuhan Asia yang utama: Rantau China Besar, Asia Tenggara dan Asia Selatan. Penarafan kredit "AA-" dan "Aa1" bank ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Diiktiraf atas kepimpinan globalnya, DBS dinamakan sebagai "Bank Terbaik Dunia" oleh Global Finance, "Bank Terbaik Dunia" oleh Euromoney dan "Bank Global Terbaik Tahunan" oleh The Banker. Bank ini berada di barisan hadapan dalam memanfaatkan teknologi digital untuk membentuk masa depan perbankan, setelah dinamakan sebagai "Bank Digital Terbaik Dunia" oleh Euromoney dan "Paling Inovatif dalam Perbankan Digital" di dunia oleh The Banker. Di samping itu, DBS dianugerahkan anugerah "Bank Paling Selamat di Asia" oleh Global Finance selama 17 tahun berturut-turut mulai tahun 2009 hingga 2025.

DBS menyediakan rangkaian perkhidmatan yang lengkap dalam perbankan pengguna, PKS dan korporat. Sebagai sebuah bank yang ditubuhkan dan dibangunkan di Asia, DBS memahami selok-belok menjalankan perniagaan di pasaran yang paling dinamik di rantau ini.

DBS komited untuk membina hubungan yang berkekalan dengan pelanggan, memandangkan ia mengurus perbankan dengan cara Asia. Melalui DBS Foundation, bank ini mencipta impak melangkaui perbankan dengan meningkatkan kehidupan dan mata pencarian mereka yang memerlukan. Ia menyediakan keperluan penting kepada golongan yang kurang bernasib baik dan memupuk keterangkuman dengan melengkapkan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dengan kemahiran literasi kewangan dan digital. Ia turut memupuk perusahaan sosial inovatif yang mencipta impak positif.

Menerusi rangkaian operasinya yang luas di Asia dan penekanan untuk menghubungkan dan memperkasakan kakitangannya, DBS membawakan peluang kerjaya yang menarik. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.dbs.com.

Latar Belakang UOB

UOB ialah sebuah bank yang terkemuka di Asia. Beroperasi melalui pejabat besarnya di Singapura dan juga subsidiari-subsidiari perbankan di China, Indonesia, Malaysia, Thailand, dan Vietnam, UOB mempunyai rangkaian global yang terdiri daripada lebih 470 cawangan dan pejabat di 19 pasaran Asia Pasifik, Eropah, dan Amerika Utara. Sejak pemerbadanannya pada tahun 1935, UOB berkembang secara organik dan melalui beberapa pemerolehan yang strategik. Hari ini, UOB dinilai sebagai antara bank yang terkemuka di dunia: Aa1 oleh Moody's Investors Service dan AA- oleh S&P Global Ratings dan juga Fitch Ratings.

Selama sembilan dekad, UOB mengamalkan pendekatan berpusatkan pelanggan untuk mencipta nilai jangka panjang dengan kekal relevan melalui semangat keusahawanannya dan berbuat perkara yang betul untuk pelanggannya. UOB memfokuskan untuk membina masa depan ASEAN – buat rakyat dan perniagaan di dalamnya, serta berhubung dengan, ASEAN.

Bank ini menghubungkan perniagaan dengan peluang di rantau ini melalui jejak rantaunya yang tiada tandingan dan memanfaatkan data serta cerapan untuk berinovasi dan mencipta pengalaman serta penyelesaian perbankan diperibadikan yang dapat memenuhi keperluan unik setiap pelanggan dan keutamaan yang kian berkembang. UOB juga komited untuk membantu perniagaan membina masa depan yang mampan, dengan memupuk keterangkuman sosial, mencipta impak alam sekitar yang positif dan mengejar kemajuan ekonomi. UOB percaya untuk menjadi penyedia perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan berpegang teguh pada sokongannya terhadap seni, pembangunan sosial kanak-kanak dan pendidikan, serta berbuat perkara yang betul untuk komuniti dan pihak berkepentingannya.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

ABC Impact

Emel: media@abcimpact.com.sg 

 

Tania Tan (DBS)

Pemasaran dan Komunikasi Strategik Kumpulan

Emel: taniatanlilin@dbs.com

Tel: (65) 9692 2887


Michelle Toh (UOB)

Komunikasi dan Jenama Strategik Kumpulan

Emel: Michelle.Toh@UOBGroup.com 

Tel: (65) 6539 3986

 

[i] Temasek Trust ditubuhkan oleh Temasek Holdings untuk menyediakan tadbir urus dan pengawasan kewangan untuk aset dermawan. Kluster Pengurusan Aset dan Pelaburannya, melalui Temasek Trust Asset Management, bermatlamat untuk menjana aliran tunai yang berterusan bagi membolehkan Temasek Trust mencapai tujuannya untuk membina yang lebih baik untuk setiap generasi.

[ii] Semua kadar pertukaran setakat 6 Oktober 2025

Source: ABC Impact
Keywords: Banking/Financial Service Environmental Products & Services Licensing/marketing agreements Cision Influencer List - ESG