![]() |
Memperkenalkan YOYO Agent intelligence generasi akan datang, pengimejan AI rintis dan prestasi cipta rekod
SHENZHEN, China, 17 Oktober 2025 /PRNewswire/ -- Syarikat ekosistem peranti AI bertaraf global, HONOR mengumumkan pada hari ini pelancaran HONOR Magic8 Series di China. Mendapat tempat sebagai Telefon Pintar AI Berkembang Kendiri yang pertama daripada HONOR, siri ini memperkenalkan buat julung kalinya generasi YOYO Agent HONOR yang paling canggih, keupayaan kamera AI rintis dan prestasi yang utama dalam industri ini. Menerajui barisan peranti ini ialah HONOR Magic8 Pro yang mengintegrasikan pelbagai inovasi AI termaju yang direkayasa untuk mentakrifkan semula pengalaman telefon pintar andalan untuk era AI.
Kecerdasan Andalan: Kehidupan Lebih Pintar dengan YOYO Agent
HONOR memperkenalkan HONOR Magic8 Series, Telefon Pintar AI Berkembang Kendiri pertamanya yang ditakrifkan oleh kemajuan merentas tiga tonggak teras: prestasi perkakasan, interaksi sistem dan ekosistem aplikasi. Ejen HONOR AI menawarkan keupayaan pelaksanaan automatik merentas lebih daripada 3,000 senario[1]. Ini bererti sama ada mengendalikan tugas harian rutin (contoh, "Cari kesemua tangkap layar saya dan padamkan yang kabur") atau mengurus tugasan profesional yang rumit (contoh, "Ringkaskan perbelanjaan tugas pada minggu ini dan e-melkannya kepada pengurus saya"), YOYO Agent boleh diaktifkan dalam konteks yang sesuai bagi melengkapkan beberapa operasi secara automatik, lalu membebaskan pengguna daripada tindakan manual yang berulang-ulang.
HONOR Magic8 Series membawakan AI Button serba baharu yang direka untuk memberikan pengalaman pengguna yang lebih mudah dan pintar dengan menjadikan pembantu YOYO boleh dicapai serta-merta. Secara asasnya, menekan lama butang mengaktifkan YOYO Video Call, seterusnya membolehkan YOYO segera memberikan maklumat tentang sebarang kandungan yang dihalakan kepadanya. Klik dua kali secara serta-merta mengaktifkan pengatup kamera untuk akses terus kepada fotografi. Di samping itu, pengguna boleh menyesuaikan AI Button khusus bagi mendayakan capaian satu sentuh kepada fungsi-fungsi tertentu, lantas mendorong gaya hidup yang cekap. YOYO Memories mewujudkan pangkalan pengetahuan peribadi yang selamat dengan perlindungan privasi hujung-ke-hujung. Ciri ini menganalisis data peribadi dengan selamat—seperti foto, rekod sembang dan dokumen—dan menggunakan pemahaman semantik yang mendalam bagi mentafsirkan maksud kandungan.
Pengimejan Andalan: Mentakrifkan Semula Kecemerlangan Telefoto Ultra Malam dengan AI
HONOR meningkatkan fotografi telefon pintar ke tahap baharu dengan kemajuan yang terkini dalam AiMAGE Camera System dan memberikan kejelasan, kestabilan dan kawalan kreatif yang tidak pernah terjadi sebelumnya yang dikuasakan oleh AI generasi akan datang.
HONOR Magic8 Pro memperkenalkan sistem telefoto AI yang paling canggih dalam industri setakat ini yang membawakan Kamera Telefoto Ultra Malam 200MP[2] dengan penderia 1/1.4-inci besar dan apertur f/2.6 lebar. Persediaan ini meningkatkan pengambilan cahaya secara drastik, seterusnya memberikan butiran yang lebih jelas walaupun pada jarak yang jauh. Dikuasakan oleh teknologi antigoyang AI HONOR, pengguna lebih tujuh kali cenderung[3] untuk menghasilkan imej zum yang hebat walaupun tanpa tripod atau gimbal. Dengan adanya Model Penstabilan Adaptif AI yang utama dalam industri ini, HONOR Magic8 Pro mencapai tahap-5.5 CIPA yang paling stabil dalam industri ini. Ia memberikan peningkatan 4x bagi ketepatan pengesanan goyang dan peningkatan 1x bagi gerak balas yang dinamik.
HONOR Magic8 Series turut memperkenalkan Magic Color buat julung kalinya, iaitu enjin warna dikuasakan AI yang pertama dalam industri ini. Dengan bergantung pada algoritma pembelajaran mendalam termaju, ia boleh mengekstrak 16.77 juta warna secara pintar. Melalui teknologi migrasi warna kolaboratif peranti-awan, ia mencapai penjejakan dan pemprosesan warna yang cekap untuk tonaliti global dan juga pelarasan halus setempat bagi memastikan output yang berkualiti tinggi berserta prapandang masa nyata yang lancar. Dengan Magic Color, pengguna boleh mencipta semula gaya sinematik, mengaplikasikan ton filem profesional atau membina templat terperibadi daripada sebarang imej rujukan dan menggunakannya terus dalam kamera atau melalui Magic Portal. Magic Color memudahkan proses penggredan, seterusnya menjadikan hasil tahap profesional begitu mudah.
Ketahanan & Kelajuan: Prestasi Ditala oleh AI
Dikuasakan oleh Snapdragon® 8 Elite Gen 5 Mobile Platform[4], HONOR Magic8 Series memperkenalkan teknologi penjanaan bingkai dan resolusi super GPU-NPU Heterogen AI yang pertama dalam industri, direka untuk mengubah tatamain beresolusi rendah, kadar bingkai rendah kepada pengalaman kadar bingkai tinggi dan beresolusi tinggi,. Ini membolehkan judul-judul dunia terbuka yang mencabar mencapai 120fps pada 1080p daripada 60fps asal pada 850p, seterusnya memberikan resolusi super dan kadar bingkai ultra tinggi.
Membekalkan kuasa kepada kelajuan ini ialah bateri karbon silikon 7,200mAh generasi akan datang[5] yang dbawakan dalam HONOR Magic8 Pro, disokong oleh tiga cip pengurusan kuasa HONOR E2 yang berfungsi dengan AI untuk mengoptimumkan voltan, kawalan haba serta kesihatan bateri dalam tempoh jangka panjang. Dengan HONOR SuperCharge[6] 120W berwayar dan 80W tanpa wayar, HONOR Magic8 Pro menggabungkan fungsi ketahanan sepanjang hari dengan pengecasan semula sepantas kilat.
Pengalaman Andalan: Keyakinan dalam Setiap Interaksi
HONOR Magic8 Series menerima ekosistem terbuka, memanfaatkan MagicOS 10 yang canggih untuk menyampaikan kefungsian silang platform dan silang peranti yang tiada tandingan. Peranti ini bersambung lancar dengan Android, HarmonyOS, iOS dan Windows, lalu membolehkan pengguna berkongsi fail dengan mudah, menyegerakkan tugas dan mengekalkan kesinambungan merentas alatan terpenting mereka dengan mudah.
HONOR MagicOS 10 memperkenalkan falsafah reka bentuk visual lut cahaya yang ditakrifkan oleh keringanan, kejelasan dan rasa kebolehnafasannya. Reka bentuk visual lut cahaya meliputi latar seperti layar kunci, atas meja, ikon dan cuaca. Sistem ini mensimulasikan kesan cahaya yang realistik bagi menjamin kebolehbacaan kandungan, melaraskan warna secara dinamik untuk melengkapkan hiasan latar yang berbeza dan memperkasakan pengguna untuk menyesuaikan tahap ketelusan demi keselesaan visual optimum mereka.
HONOR memperkukuh ketahanan dengan piawaian yang diperakui oleh SGS untuk rintangan jatuh 10 kali dan perlindungan IP68/69/69K[7] bagi memastikan HONOR Magic8 Series mampu bertahan walaupun dalam persekitaran yang paling mencabar. Inovasi ini bersama-sama menggambarkan visi HONOR berhubung andalan yang ditakrifkan bukan sahaja oleh spesifikasi, tetapi oleh keyakinan yang dibawa olehnya ke dalam kehidupan seharian.
Pada akhir acara pelancaran ini, HONOR turut mengacah dengan faktor bentuk baharu yang menarik: HONOR ROBOT PHONE. Ini merupakan satu pencapaian yang penting dalam HONOR ALPHA PLAN yang diumumkan awal tahun ini, tatkala syarikat ini mara ke hadapan menuju matlamatnya untuk menjadi peneraju ekosistem peranti AI global. Peranti inovatif ini akan mengintegrasikan dengan lancar kecerdasan berbilang mod dikuasakan AI, kefungsian robotik dan keupayaan pengimejan pegang termaju. Dianggap sebagai siri baharu peranti AI, HONOR ROBOT PHONE dijangka akan mentakrifkan semula interaksi dan kewujudan bersama manusia-mesin pada masa akan datang dan bersungguh-sungguh menempatkan HONOR di barisan hadapan dalam inovasi peranti AI.
Warna, Harga dan Ketersediaan
HONOR Magic8 Series boleh didapati dalam pelbagai pilihan warna, termasuk Sunrise Gold, Sky Cyan, Black dan Glacier White. Bermula pada 15 Oktober 2025, HONOR Magic8 Series akan tersedia untuk prapesanan di China, dengan HONOR Magic8 bermula dengan harga RMB 4,499 dan HONOR Magic8 Pro bermula dengan harga RMB 5,699. Dalam masa terdekat, peranti ini juga akan dibawa ke pasaran antarabangsa lewat tahun ini.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi kedai dalam talian HONOR di www.honor.com.
Latar Belakang HONOR
HONOR ialah syarikat ekosistem peranti AI terkemuka bertaraf global. Ia komited untuk merevolusikan interaksi manusia-ke-peranti bagi menghubungkan ekosistem AI dengan semua pengguna dalam era AI agentik dan seterusnya. Syarikat ini berusaha untuk membuka sempadan industri melalui kerjasama terbuka dan lancar untuk bersama-sama mencipta ekosistem perkongsian nilai bersama rakan kongsi industri. Dengan portfolio produk inovatif yang merangkumi telefon AI, PC, tablet, peranti boleh pakai dan banyak lagi, HONOR bermatlamat untuk memperkasakan setiap insan dan seterusnya mengupayakan semua orang dalam mendepani dunia pintar yang baharu.
Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi HONOR secara dalam talian di www.honor.com atau emelkan kepada newsroom@honor.com
https://www.facebook.com/honorglobal/
https://www.instagram.com/honorglobal/
https://www.youtube.com/c/HonorOfficial
[1] Data daripada makmal HONOR. [2] 200MP ialah parameter piksel kamera. Piksel foto sebenar mungkin berbeza-beza bergantung pada mod kamera yang berbeza. Sila rujuk situasi sebenar. [3] Data daripada makmal HONOR. [4] Qualcomm dan Snapdragon ialah tanda dagangan Qualcomm Incorporated, berdaftar di Amerika Syarikat dan negara-negara lain. [5] Kapasiti bateri biasa ialah 7200mAh dan kapasiti bateri terkadar ialah 7020mAh. Data diperoleh daripada makmal HONOR. [6] Kuasa pengecasan berwayar maksimum yang disokong ialah 120W apabila menggunakan pengecas HONOR SuperCharge yang disertakan. Pengecasan tanpa wayar 80W juga disokong dengan pengecas tanpa wayar HONOR SuperCharge asal, yang boleh didapati di laman web rasmi. Kuasa pengecasan sebenar akan berubah dengan pintar mengikut senario. Sila rujuk pengalaman sebenar. [7] Telefon ini tidak kalis air secara profesional. Ia kalis percikan, kalis air dan kalis habuk dengan penggunaan biasa. Ia diuji di bawah keadaan makmal terkawal dan mencapai tahap IP68 dan IP69 mengikut piawaian GB/T 4208-2017 (China), tahap IP69K mengikut piawaian IEC ISO 20653:2023. Rintangan percikan, air dan habuk tidak berkesan secara kekal dan prestasi perlindungan mungkin berkurangan akibat haus dan lusuh setiap hari. |