CYBERJAYA, Malaysia, 4 November 2025 /PRNewswire/ -- Elitery, penyedia perkhidmatan terurus yang terkemuka dari Indonesia, melalui subsidiari Malaysia, Elitery Global Technology Sdn. Bhd. (Elitery Malaysia), dengan kolaborasi bersama Amazon Web Services (AWS) dan beberapa universiti terkemuka di seluruh Malaysia, dengan bangganya mengumumkan pelancaran Program CendekiAwan Malaysia. Inisiatif ini dilancarkan secara rasmi bersama tiga universiti piagam: Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dengan sehingga lapan lagi universiti akan menyusul untuk turut serta.
Secara keseluruhan, Program CendekiAwan Malaysia bermatlamat untuk melatih 20,000 pelajar daripada sehingga sebelas universiti di seluruh Malaysia, memperlengkapkan mereka dengan kemahiran Pengkomputeran Awan dan AI Generatif yang praktikal. Program ini juga akan menganjurkan dua pertandingan peringkat kebangsaan: satu membawakan 200 aplikasi AI Teratas dan satu lagi mengiktiraf 5 projek Teratas yang memberikan impak dunia sebenar. Terbuka kepada pelajar daripada semua disiplin akademik, program ini dirancang untuk memperkasakan bakat digital generasi akan datang Malaysia bagi memupuk daya kreativiti, inovasi dan pembangunan kemahiran yang sedia mendepani masa depan yang penting demi mencapai kejayaan dalam ekonomi digital masa kini.
Program CendekiAwan Malaysia menyokong Rangka Tindakan MyDIGITAL Malaysia dan agenda pensijilan Kementerian Pendidikan Tinggi. Dengan turut serta sebagai universiti benefisiari, institusi-insitusi yang mengambil bahagian akan mendapat kelebihan penting melalui capaian kepada program pembelajaran dan bimbingan yang diterajui oleh AWS. Bagi pelajar, mereka akan mendapat akses kepada kursus AWS Skill Builder mengenai Pengkomputeran Awan dan AI Generatif, pengalaman kendiri melalui PartyRock, arena main Amazon Bedrock dan sijil penyempurnaan di bawah inisiatif Future Builders AWS yang merupakan sebahagian daripada program Latihan & Persijilan AWS. Program ini menggunakan lata pengetahuan yang direka bentuk dengan teliti: pakar-pakar AWS melatih terlebih dahulu jurulatih profesional Elitery yang kemudiannya menjalankan sesi Train-the-Trainer (Latih Jurulatih) khusus untuk 8-12 ahli fakulti daripada setiap universiti. Para pensyarah terlatih ini kemudiannya menjadi pendidik utama yang mengajar secara langsung kemahiran pengkomputeran awan dan AI generatif kepada pelajar mereka.
Sementara itu, universiti-universiti ini turut mendapat manfaat daripada peluang penganjuran bersama bagi acara dan pertandingan yang diterajui AWS, meningkatkan kolaborasi penyelidikan dan memperkukuh kebolehlihatan dalam ekosistem transformasi digital Malaysia.
"Elitery sentiasa percaya bahawa teknologi benar-benar bermakna hanya apabila ia memperkasakan manusia. Di mana-mana sahaja ia berada, kami tetap komited untuk menyokong visi Malaysia bagi membina tenaga kerja digital yang bersedia mendepani masa depan. Kolaborasi bersama AWS dan universiti-universiti terkemuka ini menyaksikan satu pencapaian penting dalam perjalanan Elitery untuk menyampaikan inovasi, keterangkuman dan impak dunia sebenar di seluruh rantau ini," kata Kresna Adiprawira, Pengarah Presiden Elitery.
"Mendedahkan pelajar kepada kemahiran AI pada peringkat paling awal dalam pendidikan mereka merupakan langkah menuju hala tuju yang tepat untuk daya saing masa depan Malaysia," kata Emmanuel Pillai, Ketua ASEAN, Pendidikan & Latihan di AWS. "Program CendekiAwan Malaysia menunjukkan kepercayaan kami bahawa literasi AI ialah asas yang sama seperti membaca atau matematik dan kami komited untuk mendemokrasikan capaian kepada kemahiran ini dalam semua disiplin akademik. Melalui inisiatif seperti PartyRock, kami memupuk budaya eksperimentasi yang melaluinya anak muda Malaysia belajar melalui tindakan, menguji idea dengan pantas dan membina keyakinan terhadap kebolehan teknikal mereka."
Berlangsung mulai November 2025 hingga Januari 2026, Program CendekiAwan Malaysia akan mencapai kemuncaknya dalam pertandingan peringkat kebangsaan pada Februari 2026 apabila para pelajar mempamerkan projek PartyRock mereka yang mengaplikasikan ilmu AI dan awan yang diperoleh daripada program ini. Inisiatif ini mencerminkan misi bersama AWS dan Elitery untuk merapatkan jurang kemahiran digital Malaysia, memupuk inovasi dan membina tenaga kerja yang sedia mendepani masa depan. Melalui perkongsian yang kukuh dalam bidang akademik, kerajaan dan industri, Program CendekiAwan Malaysia dijangka menjadi kejayaan penting dalam memupuk generasi pemimpin digital Malaysia yang akan datang.
Latar Belakang Elitery
Elitery (PT Data Sinergitama Jaya Tbk) ialah penyedia perkhidmatan terurus IT Indonesia terkemuka yang mengkhusus dalam penyelesaian awan terurus dan keselamatan terurus. Dengan pengalaman dan reputasi yang kukuh, Elitery dipercayai oleh penyedia Awan bertaraf dunia seperti Amazon Web Services (AWS) sebagai rakan kongsi pasaran bersasar di Indonesia, terutamanya dalam sektor awam. Setakat ini, Elitery menyokong lebih 200 organisasi dalam sektor swasta, NGO dan institusi kerajaan dalam menerima pakai serta melaksanakan penyelesaian berasaskan awan.
Elitery memperkasakan perusahaan dan organisasi sektor awam untuk memodenkan dan melindungi infrastruktur digital mereka yang meliputi kitaran hayat keseluruhan: bermula daripada perancangan, penghijrahan dan pelaksanaan hinggalah pemantauan berterusan dan tindak balas insiden. Melalui perkhidmatan ini, Elitery membantu pelanggan mencapai kebingkasan, pematuhan dan kecekapan yang lebih hebat dalam ekonomi digital masa kini.
Tersenarai di Bursa Saham Indonesia (simbol saham: ELIT), Elitery diiktiraf sebagai Rakan Sektor Awam Google Cloud Terbaik Tahunan (Asia Pasifik) dan diperakui sebagai Great Place to Work®, lantas menonjolkan kepimpinan industri dan budaya yang berfokuskan kakitangan. Berkembang di luar Indonesia, Elitery menubuhkan Elitery Global Technology Sdn. Bhd. di Malaysia, dengan memfokuskan pada awan, keselamatan siber, AI dan transformasi digital serantau. Sebagai sebahagian daripada langkah yang strategik ini, Elitery turut bekerjasama dengan Iloken System Sdn. Bhd., sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Malaysia dengan rekod prestasi terbukti dalam penyelesaian digital serta integrasi sistem.
www.elitery.com | my.elitery.com