XI'AN, China, 8 November 2025 /PRNewswire/ -- Mesyuarat Perasmian Mekanisme Rakan Media Selatan Global dan Forum Media Video Global (VMF) ke-13 bermula pada hari Khamis di Xi'an, Wilayah Shaanxi, barat laut China yang menghimpunkan pegawai kerajaan dan pemimpin media antarabangsa bagi meneroka peranan media dalam tadbir urus global dan menyatakan seruan untuk saling bekerjasama bagi melantangkan suara Selatan Global.
Bertemakan "Membina Konsensus untuk Manfaat Bersama: Peranan Media dalam Tadbir Urus Global," forum ini menghimpunkan lebih 300 tetamu, termasuk ketua-ketua daripada organisasi antarabangsa dan institusi media dari 40 negara dan wilayah, serta wakil-wakil daripada kedutaan di China.
Acara selama dua hari ini ditaja secara bersama oleh CCTV Video News Agency (CCTV+), Jabatan Publisiti Jawatankuasa Perbandaran Xi'an Parti Komunis China (PKC) dan Biro Shaanxi China Media Group (CMG) dengan bantuan daripada China Global Television Network (CGTN).
Forum ini turut menyaksikan pelancaran rasmi Mekanisme Rakan Media Selatan Global, iaitu sebuah platform baharu yang dimulakan oleh CMG yang bertujuan untuk mempererat kolaborasi antara outlet-outlet media Selatan Global bagi menggalakkan kerjasama yang praktikal, perkongsian kandungan, latihan profesional dan penerbitan bersama, selain memupuk dialog dan penyelidikan sesama rakan media yang mengambil bahagian.
Ia diwujudkan berlandaskan prinsip-prinsip panduan untuk menggalakkan perundingan yang saksama, pembangunan bersama serta meningkatkan kuasa wacana Selatan Global dan telahpun menyaksikan penyertaan daripada 528 organisasi media dari 114 negara dan wilayah.
Presiden Pakistan Asif Ali Zardari, Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake dan Presiden Uruguay Yamandu Orsi masing-masing mengutus surat tahniah bagi mengucapkan selamat maju jaya untuk kejayaan penuh forum ini dan turut memuji pelancaran mekanisme kerjasama baharu ini.
Dalam ucapan dasar, Zhao Yide, Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Shaanxi Parti Komunis China (PKC) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Shaanxi, menyatakan bahawa Wilayah Shaanxi, sambil menjadi lokasi tuan rumah untuk forum ini, turut berminat untuk mengukuhkan lagi kerjasama dan pertukaran bersama organisasi-organisasi media dari pelbagai negara agar dapat mencapai kemajuan yang lebih besar dalam industri media serta menggalakkan pembelajaran bersama yang lebih mendalam antara tamadun.
Shen Haixiong, Timbalan Ketua Jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat PKC dan Presiden China Media Group, menyatakan dalam ucapannya bahawa tatkala dunia memasuki tempoh pergolakan dan transformasi yang baharu, Inisiatif Tadbir Urus Global yang digagaskan oleh Presiden China Xi Jinping dapat memenuhi secara langsung keperluan yang paling mencabar dan mendesak oleh negara-negara Selatan Global.
Beliau berkata CMG memulakan pewujudan Mekanisme Perkongsian Media Selatan Global untuk saling bekerjasama dengan rakan sejawat media antarabangsa bagi meneroka tanggungjawab media dalam tadbir urus global dan menegaskan kepentingan mendukung profesionalisme kewartawanan, menerima transformasi teknologi, membina jambatan untuk berdialog dan memfokuskan pada kerjasama pembangunan.
CMG bersiap siaga untuk bekerjasama secara erat dengan rakan media Selatan Global bagi merebut peluang untuk maju bersama, menyumbangkan kebijaksanaan dan kekuatan bersama mereka demi membina tatanan dunia yang lebih adil, lebih inklusif dan lebih baik, kata Shen.
Detik simbolik daripada pelancaran Mekanisme Rakan Media Selatan Global ini menyaksikan para pegawai dan pemimpin media Cina turut serta bersama para tetamu antarabangsa yang lain termasuk Ahmed Nadeem, Setiausaha Agung Asia-Pacific Broadcasting Union, Abelrahim Suleiman, Ketua Pengarah Arab States Broadcasting Union, Juan Carlos Isaza, Pengarah Eksekutif Latin American Information Alliance dan Anthony Greene, Presiden Caribbean Broadcasting Union untuk merasmikan mekanisme ini.
Di forum ini juga para tetamu berkongsi pandangan mereka mengenai topik-topik seperti peranan dan tanggungjawab media dalam tadbir urus global bagi mencapai tatanan komunikasi global yang lebih saksama dan memajukan pembelajaran bersama antara tamadun.
Omar Razzaz, bekas Perdana Menteri Jordan, menyatakan bahawa sebagai anggota Selatan Global, Jordan benar-benar percaya bahawa perpaduan dan kolaborasi merupakan satu-satunya cara untuk menyahut cabaran semasa dan juga merebut peluang. Beliau menyatakan bahawa Mekanisme Perkongsian Media Selatan Global membolehkan organisasi-organisasi media dari pelbagai negara mengatasi perbezaan serantau dan budaya serta bersama-sama meningkatkan kuasa wacana antarabangsa Selatan Global.
Patrick Muyaya, Menteri Penerangan dan Media serta Jurucakap Kerajaan bagi Republik Demokratik Congo menyatakan bahawa media Selatan Global harus beralih daripada pemerhati naratif global semata-mata kepada menjadi pemacu utama dalam kisah mereka sendiri. Beliau juga percaya bahawa Mekanisme Rakan Media Selatan Global baharu ini bukan sahaja merupakan tindak balas yang proaktif terhadap keperluan dalam era semasa tetapi juga merupakan platform penting bagi meningkatkan kapasiti media, mempererat kerjasama dalam penerbitan kandungan serta merangsang inovasi.
Nguyen Thanh Lam, Presiden Vietnam Television, berkata mekanisme ini akan membantu media Selatan Global memperdalam lagi pembelajaran bersama, perkongsian pengalaman dan meningkatkan penciptaan kandungan bersama, sekali gus melantangkan suara perpaduan, tanggungjawab dan inovasi kepada khalayak global.
Mederbek Shermetaliev, pengarah Kyrgyz National Kabar News Agency, menyatakan bahawa pengukuhan komunikasi dan kerjasama antara media Selatan Global dapat membantu mendorong tatanan komunikasi antarabangsa yang lebih adil dan munasabah. Beliau berkata Mekanisme Rakan Media Selatan Global baharu ini komited untuk memastikan suara semua negara didengari sepenuhnya dan turut menggalakkan pembangunan landskap media global yang lebih seimbang.
Agnes Nguna, Pengarah Urusan Kenya Broadcasting Corporation, menyatakan bahawa negara-negara Afrika begitu bersemangat untuk melaungkan suara mereka bagi menceritakan kisah mereka sendiri dan menyampaikan imej negara mereka yang sebenar dan komprehensif kepada dunia. Beliau berkata beliau yakin Mekanisme Rakan Media Selatan Global akan dapat menyediakan peluang yang berharga untuk outlet media di seluruh benua ini dan membuatkan Afrika "tidak lagi perlu berbisik di sudut yang terpinggir atau melukut di tepi gantang."
Jorge Luis Palenque, Ketua Pegawai Eksekutif dan ketua pengarah Popular Radio and Television Bolivia, berkata forum ini mendorong semua pihak untuk memikirkan semula peranan yang harus dimainkan oleh media Selatan Global bagi membina sistem tadbir urus media yang lebih seimbang bersama-sama.
Para pemimpin daripada pelbagai organisasi media antarabangsa, outlet media global arus perdana dan misi diplomatik di China turut menghantar mesej video yang ditayangkan di acara ini yang menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama erat dengan rakan media Selatan Global, memanfaatkan dialog untuk menghapuskan berat sebelah dan berusaha bersama-sama untuk membina konsensus, seterusnya menggalakkan ekosistem media yang lebih seimbang, inklusif dan mampan.
Beberapa hasil kerjasama media yang penting turut diumumkan atau didedahkan di forum ini.
CMG turut berkolaborasi dengan kumpulan media dan universiti untuk menubuhkan Pusat Latihan Media Selatan Global di Bandar Sanya di wilayah pulau Hainan di selatan China dengan tujuan untuk menggalakkan pertukaran bakat media antara negara-negara Selatan Global, memupuk etika profesional dan meneroka inovasi teknologi.
CGTN juga melancarkan secara rasmi tiga saluran khusus di platform televisyen penstriman percuma sokongan iklan (FAST) pada hari Khamis yang menawarkan pelbagai program kepada penonton global. Saluran-saluran yang baru dilancarkan -- CGTN Global Biz, China Travel dan Discovering China -- akan disiarkan selama 24/7 merentas 15 platform FAST antarabangsa utama yang menjangkau hampir 200 juta penonton di seluruh dunia.
Dapatan daripada laporan penyelidikan tinjauan pendapat global yang bertajuk "Global South's View of the World" ("Pandangan Selatan Global terhadap Dunia") turut dikeluarkan di acara ini. Susulan tinjauan yang meluas ke atas lebih 9,000 responden, ia mendedahkan bahawa isu tadbir urus global yang paling membimbangkan negara-negara Selatan Global ialah kemiskinan, keterjaminan makanan dan keselamatan, dengan lebih 70 peratus responden mengharapkan reformasi kepada sistem tadbir urus global.
Program terbitan bersama "Voices of the Global South" turut diperkenalkan yang memaparkan renungan dan penerokaan oleh negara-negara Selatan Global dalam memperkukuh tadbir urus global.
Forum ini turut menyaksikan pelancaran projek penciptaan bersama "Global South Stories" yang sudahpun menarik minat pencipta berbakat dari 73 negara dan wilayah di seluruh dunia untuk berkongsi perspektif unik mereka. CGTN juga berpadu tenaga dengan outlet media di seluruh dunia untuk menerbitkan secara bersama sebuah program khas yang dikenali sebagai "Global South Voices" yang bertujuan untuk menerobos halangan wacana dan memastikan suara Selatan Global didengari di seluruh dunia.
Bagi mencapai perkongsian kandungan yang lebih meluas dan inovasi teknologi bersama di samping rakan media Selatan Global, CCTV+ membangunkan sendiri platform Global South Media Nexus yang bertujuan untuk memperkasakan rakan media Selatan Global melalui penggunaan kaedah berteknologi tinggi bagi meningkatkan kecekapan operasi mereka.
Bandar tuan rumah forum ini, Xi'an turut memperkenalkan persona digital AI "A-Yong" yang bermatlamat untuk mempromosikan bandar ini dengan memanfaatkan teknologi digital pintar dan boleh berinteraksi dengan khalayak global melalui pelbagai bahasa, selain memperkenalkan daya tarikan unik dan warisan mendalam bandar purba ini kepada dunia.
Ditubuhkan oleh CCTV+ pada tahun 2011, VMF memfokuskan pada penyebaran kandungan video dan inovasi teknologi serta berperanan sebagai platform pertukaran tahunan yang penting untuk pengguna dan rakan media global. Kini, acara ini sudahpun berkembang menjadi forum global utama yang menarik penyertaan meluas daripada organisasi media serta golongan profesional di seluruh dunia.