![]() |
KUALA LUMPUR, Malaysia, 8 November 2025 /PRNewswire/ -- Platform pelancongan digital Agoda meluaskan inisiatif impak sosialnya, Agoda Tech Camp Day ke Malaysia buat julung kalinya. Acara penting ini menjadi tuan rumah kepada lebih 300 pelajar daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), iaitu institusi pengajian tinggi yang terbesar di Malaysia. Para pelajar mengambil bahagian dalam program selama dua hari yang dirancang untuk meningkatkan kemahiran generasi pemimpin teknologi seterusnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran digital kritikal yang lain.
Sejak pelancarannya pada Mei 2023, Agoda Tech Camp Day telahpun mendekati lebih 2,500 pelajar universiti dan sekolah menengah di seluruh Thailand. Edisi-edisi terdahulu memfokuskan kecekapan teknikal yang mendapat permintaan tinggi, termasuk kerangka bahagian hadapan moden, reka bentuk dan perkakas berpusatkan pengguna serta aplikasi AI generatif asas. Kejayaan berterusan oleh program ini juga mendapat sokongan penting daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Pentadbiran Metropolitan Bangkok dan turut diiktiraf dengan Anugerah Khas Duta Besar A.S. di American Chamber of Commerce (AMCHAM) Thailand Corporate Social Impact Awards 2025.
Edisi pertama di Malaysia berlangsung pada 6–7 November 2025 di UiTM yang membawakan bengkel amali yang memperkenalkan pelajar kepada penggunaan AI yang inovatif oleh Agoda. Para peserta juga dibimbing berkenaan cara untuk memanfaatkan AI bagi tujuan pengajian akademik mereka dan memperoleh pengalaman kendiri dengan membina enjin gelintar dikuasakan AI mereka sendiri. Program ini diketuai oleh lebih 20 jurutera perisian Agoda yang berperanan sebagai mentor dan berkongsi pandangan. Selepas sesi-sesi ini, kesemua peserta menerima sijil kehadiran rasmi yang dikeluarkan oleh Agoda.
"Kami teruja untuk membawa Agoda Tech Camp Day ke Malaysia dan bersyukur atas kolaborasi bersama UiTM dan rakan kongsi kerajaan yang dihargai," kata Prashant Singh, Naib Presiden Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Agoda. "Dengan berkongsi segala aspek berhubung set minda dan kemahiran inovasi Agoda, kami dapat memperkasakan generasi bakat teknologi Malaysia yang seterusnya untuk berkembang dan seterusnya menyokong masa depan digital negara."
Perluasan Agoda Tech Camp Day ke Malaysia disokong oleh Kementerian Digital Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Program selama dua hari ini dimulakan dengan upacara pembukaan yang dihadiri oleh perwakilan pemimpin peringkat tinggi, termasuk Yang Berhormat Michelle Ng Mei Sze, Setiausaha Politik kepada Menteri Digital, Prof. Ts. Dr. Shafinar Haji Ismail, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan dan En. Nik Hishamuddin bin Nik Mohd Yusoff, Ketua Tertiari, Bakat dan Keusahawanan Digital di MDEC.
Bagi pihak Kementerian Digital, Yang Berhormat Michelle Ng Mei Sze, Setiausaha Politik Menteri Digital, berkata, "Saya memuji keputusan Agoda untuk melabur dalam memupuk bakat AI generasi akan datang di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa Agoda diiktiraf oleh Status Digital Malaysia sejak tahun 2013, hasil daripada sumbangan dan aktiviti berterusan oleh syarikat untuk merangsang ekonomi digital Malaysia. Inisiatif Agoda Tech Camp Day sejajar dengan strategi Kementerian Digital untuk mentransformasikan Malaysia menjadi Negara AI menjelang tahun 2030."
Prof. Ts. Dr. Shafinar Haji Ismail, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), menambah, "Komitmen Agoda untuk membangunkan bakat tempatan dan mewujudkan laluan untuk pelajar bagi merasai pengalaman kerjaya teknologi dunia sebenar menggambarkan rasa bertujuan mendalam yang benar-benar sejajar dengan misi UiTM untuk memajukan ilmu pengetahuan, memperkasakan komuniti dan memacu kemajuan negara melalui inovasi serta pendidikan."
Berdasarkan sumbangannya yang terkini kepada Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia, Agoda tetap berdedikasi untuk memupuk bakat tempatan, meningkatkan penerimagunaan AI yang bertanggungjawab dan menyokong cita-cita negara sebagai peneraju serantau dalam inovasi digital serta impak sosial melalui inisiatif seperti Agoda Tech Camp Day.