omniture

Johnson Controls dan Thamrin Nine siapkan projek mercu tanda untuk membekalkan kuasa kepada bangunan tertinggi di Hemisfera Selatan dengan teknologi hijau, mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 30 peratus.

Johnson Controls
2025-11-17 13:05 6

Kolaborasi penting ini memajukan pembangunan bandar lestari di Jakarta.

JAKARTA, Indonesia, 17 November 2025 /PRNewswire/ -- Johnson Controls (NYSE: JCI), peneraju bertaraf global bagi bangunan pintar, selamat, sihat dan mampan, meraikan kejayaan penyempurnaan kolaborasi berbilang tahun bersama Thamrin Nine, sebuah kompleks pelbagai guna utama di daerah perniagaan pusat Jakarta tengah yang menjangkau ruang komersial, hospitaliti serta runcit. Projek ini, yang dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 30 peratus, baru-baru ini memperoleh pensijilan Green Mark Platinum BCA (Building and Construction Authority) yang mengiktiraf prestasinya terhadap alam sekitar yang cemerlang.

Sebagai sebahagian daripada projek ini, Johnson Controls menyediakan reka bentuk dan pelaksanaan loji pendingin, perkhidmatan kejuruteraan dan sistem automasi bangunan untuk dua bangunan pencakar langit Thamrin Nine—Autograph Tower, bangunan tertinggi di Hemisfera Selatan pada ketinggian 382.9 meter dan Luminary Tower. Dengan sistem bangunan yang dipasang atur sepenuhnya di kedua-dua menara, Johnson Controls akan terus menyokong pembangunan ini melalui perkhidmatan dan penyelenggaraan yang berterusan bagi memastikan kecekapan jangka panjang, keselesaan serta meningkatkan jangka hayat peralatan.

Teknologi Bangunan Pintar untuk Ikon Bandar Sedia Mendepani Masa Depan

Johnson Controls mereka bentuk, membekalkan dan memasang rangkaian lengkap penyelesaian bangunan bersepadu yang disesuaikan mengikut keperluan berprestasi tinggi kompleks berkenaan. Thamrin Nine menjadi projek pengoptimuman loji pendingin pertama oleh syarikat ini di Indonesia yang bertujuan untuk menjadikan sistem pendinginan berfungsi lebih pintar melalui teknologi canggih serta operasi yang dipertingkat. Melalui pengurusan projek siap guna yang meliputi reka bentuk, pelaksanaan dan integrasi merentas sistem, Johnson Controls berupaya memberikan penjimatan tenaga dan kos yang ketara. Ini termasuk:

  • Sistem pendinginan YORK® berkapasiti 3,100-tan untuk Autograph Tower, direka bentuk untuk memenuhi sasaran pensijilan Green Mark Platinum di bawah 0.58 kW/TR. Sistem ini membantu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 30 peratus, menyokong kos kendalian yang lebih rendah sekali gus mengekalkan keselesaan di seluruh bangunan.
  • Tiga pendingin YORK berkecekapan tinggi 300 TR yang diintegrasikan dengan Sistem Pengurusan Tenaga (EMS) yang mengoptimumkan prestasi pendinginan dan mengurangkan permintaan tenaga di Luminary Tower, yang menempatkan tiga hartanah hospitaliti.
  • Unit Pengendalian Udara (AHU) dan Unit Gegelung Kipas (FCU) Tersuai untuk pelbagai zon komersial, runcit, kediaman dan hospitaliti.
  • Analisis lanjutan dan pemantauan masa nyata berdasarkan Sistem Pengurusan Bangunan Metasys yang mengupayakan pasukan fasiliti mengesan dan menyelesaikan isu-isu sebelum masa henti berlaku dan meningkatkan keandalan serta mengurangkan kos penyelenggaraan.

"Projek ini merupakan satu pencapaian yang penting untuk pembangunan bandar di Jakarta," kata Michael Wiener, Pengarah Reka Bentuk, Thamrin Nine. "Matlamat kami adalah untuk mengubah cara orang ramai menjalani kehidupan, bekerja dan bermain di Jakarta — memberikan destinasi bersepadu yang menggabungkan skala, pilihan, kemudahan serta kelestarian. Johnson Controls sudah menjadi rakan kongsi yang ideal untuk membantu kami mencapai visi berkenaan dan kami menghargai sokongan berterusan mereka dalam mengekalkan prestasi pada standard tertinggi."

"Perkongsian kami bersama Thamrin Nine menggambarkan sejauh mana kejuruteraan berorientasikan masa depan dan pengoptimuman digital bukan sahaja dapat menghasilkan bangunan ikonik, bahkan bandar yang lebih hijau dan pintar. Dengan mengintegrasikan teknologi bangunan canggih, kami mewujudkan persekitaran dalam bangunan yang lebih sihat dan lebih lestari yang dapat mengurangkan kos operasi, mengurangkan emisi karbon dan meningkatkan kesejahteraan penghuni," kata Wibawa Jati Kusuma, Pengurus Besar, Malaysia & Indonesia, Johnson Controls. "Menerusi perkhidmatan dan sokongan yang berterusan, kami komited untuk membantu Thamrin Nine mengekalkan prestasi yang optimum dan menentukan rentak untuk pembangunan bandar yang lestari di Indonesia."

Model untuk Pembangunan Lestari di ASEAN

Perkongsian Thamrin Nine dibangunkan berdasarkan legasi inovasi dan kepimpinan Johnson Controls selama 140 tahun dalam teknologi pintar, selamat, sihat dan lestari serta merupakan sebahagian daripada portfolio projek didorong kelestarian yang semakin berkembang di seluruh Asia Tenggara, termasuk:

  • Mactan-Cebu International Airport Authority (Filipina) – Memperjuangkan kecemerlangan operasi dengan Sistem Pengurusan Bangunan Metasys Johnson Controls.
  • Graha CIMB Niaga Building (Indonesia) – Mentransformasikan prestasi HVAC dan kecekapan tenaga melalui pemodenan digital, meningkatkan kelestarian dan kepuasan penyewa.
  • Ng Teng Fong General Hospital (Singapura) – Platform digital OpenBlue memberikan penjimatan kos tenaga berjuta-juta dolar sekali gus meningkatkan penjagaan pesakit.
  • City-Centre Development (Singapura) – Dijangka akan mengurangkan sekitar 88,000 tan CO₂ dalam tempoh 15 tahun melalui penyelesaian Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) dan model Pendinginan-sebagai-Perkhidmatan (CaaS).

Teknologi dan pendekatan yang terbukti ini yang disesuaikan untuk konteks Jakarta, menyokong visi Sifar Bersih Emisi Indonesia menjelang tahun 2060—memperlihatkan sejauh mana kepakaran global dapat menangani cabaran alam sekitar tempatan secara meluas. Semasa ia meraikan ulang tahunnya yang ke-140 pada tahun 2025, Johnson Controls terus mentakrifkan semula prestasi bangunan, memacu era yang akan datang untuk bangunan komersial, mentransformasikan industri-industri dan memperkasakan misi pelanggannya.

Latar Belakang Johnson Controls:

Di Johnson Controls (NYSE: JCI), kami mentransformasikan persekitaran di tempat orang ramai menetap, bekerja, belajar dan bermain. Sebagai peneraju bertaraf global bagi bangunan pintar, sihat dan lestari, misi kami adalah untuk mencipta semula prestasi bangunan bagi memenuhi keperluan orang ramai, tempat dan juga planet ini.

Berasaskan sejarah inovasi selama 140 tahun yang membanggakan, kami menyediakan rangka tindakan masa depan untuk industri-industri seperti penjagaan kesihatan, sekolah, pusat data, lapangan terbang, stadium, pembuatan dan seterusnya melalui OpenBlue, iaitu tawaran digital komprehensif kami.

Hari ini, Johnson Controls menawarkan portfolio teknologi dan perisian bangunan yang terbesar di dunia serta penyelesaian perkhidmatan daripada beberapa nama paling dipercayai dalam industri ini.

Kunjungi johnsoncontrols.com untuk maklumat lanjut dan ikuti @Johnsoncontrols di platform sosial.

Latar Belakang Thamrin Nine:

Thamrin Nine ialah superblok bertaraf dunia yang terletak di tengah-tengah Jakarta. Sebagai pembangunan yang pertama seumpamanya, Thamrin Nine mengintegrasikan ruang pejabat Gred-A dengan lancar di bangunan tertinggi di Indonesia, Autograph Tower dan Luminary Tower; kediaman mewah, Le Parc; daerah runcit yang meriah, Agora Mall; hospitaliti lima-bintang, termasuk Pan Pacific Jakarta dan PARKROYAL Hotel & Serviced Suites Jakarta; serta dek tinjau yang tertinggi di Indonesia, UP di Thamrin Nine. Direka sebagai sebuah bandar dalam sebuah bandar, Thamrin Nine mentakrifkan semula kehidupan bandar di Indonesia dengan seni bina termaju dan juga pengalaman berwawasan.

Source: Johnson Controls
Related Stocks:
NYSE:JCI
Keywords: Construction/Building Environmental Products & Services Green Technology Utilities Licensing/marketing agreements