Permohonan kini dibuka kepada pelajar untuk menyertai Inisiatif Pemimpin Muda Hitachi (HYLI) 2026 di Cebu, Filipina
SINGAPURA, 14 November, 2025 /PRNewswire/ -- Hitachi Asia Ltd. sekali lagi membuka pintunya kepada minda pelajar yang paling cerdas di Asia melalui Inisiatif Pemimpin Muda Hitachi (HYLI), sebuah program pembangunan belia utama yang dirancang untuk memperkasakan generasi pemimpin pelajar seterusnya dengan tujuan, perspektif dan kuasa untuk membentuk masa depan yang lebih baik.
HYLI mengundang pelajar universiti dan penuntut siswazah yang cemerlang dari lapan negara Asia — Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Jepun — bagi memohon peluang transformatif untuk terlibat dalam kolaborasi rentas sempadan, latihan kepimpinan dan dialog bersama tokoh paling berpengaruh di rantau ini dalam bidang kerajaan, perniagaan, akademik dan sektor bukan keuntungan.
Bagi edisi 2026, dengan tema "FLOW AS ONE: Shaping What's Next for a Sustainable Future" ("MENGALIR BERSAMA: Membentuk Perkara Yang Seterusnya untuk Masa Depan Lestari"), ia akan berlangsung mulai 24 hingga 29 Mei 2026, di Bandar Cebu, Filipina, sebuah hub inovasi, warisan dan keindahan alam semula jadi yang kian berkembang maju. Tema ini menekankan perpaduan dan kolaborasi sebagai kunci untuk memperoleh idea dan penyelesaian baharu yang dapat menangani cabaran yang paling mendesak hari ini, daripada perubahan iklim dan penggugatan teknologi hinggalah kepada pertumbuhan dan pengurusan sumber yang saksama.
Sejak penubuhannya pada tahun 1996, HYLI memberi tumpuan kepada pemimpin belia dan teknologi untuk memacu kemajuan sosial. Dengan memfokuskan kepada inovasi yang berorientasikan tujuan, Hitachi bermatlamat untuk menangani cabaran global dengan mengintegrasikan amalan terbaik bersama persepsi manusia. HYLI meneruskan misi ini dengan memupuk pemimpin masa depan yang akan merapatkan hubungan antara negara, berkongsi idea dan memacu impak yang bermakna dalam komuniti mereka.
Perwakilan pelajar yang dipilih akan menyertai forum yang diketuai pakar, menjalankan lawatan sambil belajar yang mendalam, menghadiri bengkel interaktif dan menyumbang kepada pertukaran budaya, yang mencapai kemuncaknya dalam pembentangan berpasukan mengenai penyelesaian kepada cabaran kelestarian dunia sebenar.
Peserta daripada edisi HYLI sebelum ini mengakui manfaat berpanjangan yang dibawa oleh program ini. Gio Almonte dari Filipina, salah seorang perwakilan pelajar yang terpilih daripada kumpulan 2024, berkongsi bahawa "HYLI membantu saya memahami penyelesaian global dari perspektif serantau dan nasional," manakala Kumanan N Govaichelvan dari Malaysia, seorang perwakilan daripada kumpulan 2022, menyatakan bahawa "Penyertaan dalam HYLI menunjukkan kepada saya bahawa dunia lebih bersifat Kerjasama daripada yang kita sangka. Individu daripada latar budaya, politik dan geografi yang berbeza sanggup berganding untuk menangani cabaran bersama. Perspektif ini membentuk cara saya memimpin pada hari ini."
Permohonan kini dibuka kepada pelajar universiti dan penuntut siswazah cemerlang yang menunjukkan potensi kepimpinan, kecemerlangan akademik, kemahiran komunikasi yang mantap dan komitmen terhadap kelestarian dan impak sosial. Setiap negara akan diwakili oleh empat perwakilan dengan semua kos perjalanan, penginapan dan penyertaan ditaja sepenuhnya oleh Hitachi.
Pemohon yang disenarai pendek akan ditemu duga pada Januari 2026. Pelajar-pelajar terpilih akan menyertai sesi pra persidangan dalam talian dan pertemuan bersama mentor bermula Februari sebagai persediaan untuk acara utama pada bulan Mei.
Pelajar universiti dan penuntut siswazah boleh mendaftar di https://forms.gle/EjMdZQgjFSsJr8uv8. Borang ini juga boleh didapati di laman web rasmi HYLI: https://hitachi.asia/hyli/2026. Permohonan awal amat digalakkan.
Melalui HYLI, Hitachi mengesahkan semula hasratnya untuk memberi inspirasi, menghubungkan dan melengkapkan pemimpin masa depan. Program ini membangunkan dan memperdalam lagi kemahiran kepimpinan mereka dan melibatkan mereka dalam usaha mengharmonikan pelbagai pendapat dalam persekitaran berbilang budaya yang mengangkat dan menyokong matlamat bersama.
Latar Belakang Hitachi Asia Ltd. Hitachi Asia Ltd., (Hitachi Asia), subsidiari Hitachi, Ltd., beribu pejabat di Singapura. Dengan pejabat-pejabat yang terletak di tujuh negara ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – Hitachi Asia dan syarikat subsidiari Hitachi menawarkan IT, OT (Teknologi Operasi) dan produk untuk menyokong pelanggan dalam perjalanan transformasi mereka. Kami akan menyumbang kepada pertumbuhan di rantau ASEAN dengan mencipta bersama pelanggan untuk mengenal pasti cabaran dan keperluan sosial serta menyampaikan penyelesaiannya. Untuk maklumat lanjut mengenai Hitachi Asia, sila kunjungi laman web syarikat di https://www.hitachi.com/en-sea/. |
Maklumat yang terkandung dalam siaran berita ini ialah maklumat terkini setakat tarikh pengumuman akhbar tetapi mungkin tertakluk kepada perubahan tanpa notis awal. |