HONG KONG, 22 November 2025 /PRNewswire/ -- Majlis penyampaian Palladium Global Science Award sulung telahpun diadakan di Hong Kong bagi meraikan inovasi paling canggih dalam aplikasi paladium industri. Ditubuhkan pada tahun 2025, pertandingan saintifik antarabangsa ini bertujuan untuk merangsang dan mempromosikan penyelidikan rintis dalam teknologi berasaskan paladium baharu. Lima saintis dari Kanada, Jepun, India, Amerika Syarikat dan Arab Saudi dinamakan sebagai pemenang anugerah dan berkongsi jumlah wang hadiah sebanyak USD 350,000.
Majlis ini menghimpunkan saintis terkemuka, wakil perniagaan, pegawai kerajaan dan juga rakan kongsi antarabangsa. Para hadirin dapat menyaksikan pengumuman formal para pemenang dan mengiktiraf tahap inovasi tinggi yang membentuk masa depan aplikasi paladium. Acara ini mengetengahkan skop global pertandingan dan peranannya dalam memajukan teknologi paladium yang canggih.
Pada tahun pertamanya, pertandingan ini menerima hampir 100 penyerahan dari lebih 30 negara yang meliputi bidang-bidang seperti tenaga tradisional dan alternatif, metalurgi, kimia, nanoteknologi, perubatan, elektronik dan teknologi alam sekitar. Majlis Pakar Antarabangsa menilai setiap penyertaan berdasarkan kebaharuan saintifik, kebolehlaksanaan teknologi dan kebolehgunaan industri.
Pemenang-pemenang diiktiraf dalam tiga pencalonan:
Bagi pencalonan Pembangunan Saintifik Terbaik, Profesor Ulung Chao-Jun Li (McGill University, Kanada) memenangi tempat pertama dengan pemangkin paladium yang menukarkan metana dan karbon dioksida kepada metanol, iaitu stok suapan kimia yang utama. Teknologi ini mengurangkan emisi gas rumah hijau, menggunakan bahan mentah dengan lebih baik dan meminimumkan sisa pengeluaran, seterusnya mewujudkan proses yang lebih lestari dan mesra alam. Tempat kedua dimenangi oleh Profesor Ulung Makoto Fujita (University of Tokyo dan Institute for Molecular Science, Jepun) yang membangunkan kaedah baharu untuk membina nanostruktur paladium. Hasil ciptaanya membuka peluang kepada bahan-bahan yang memiliki sifat-sifat unik untuk elektronik, perubatan serta teknologi industri canggih.
Dalam kategori Artikel Saintifik Terbaik, Profesor Kanan Natesan Thirupathi (Delhi University, India) memenangi tempat pertama untuk penyelidikannya dalam kimia organopaladium yang mempercepat pembangunan ubat dan menjadikan pengeluaran farmaseutikal lebih hijau. Profesor Michael Joseph Krische (University of Texas di Austin, AS) mendapat tempat kedua untuk kaedah yang menggunakan paladium secara serentak untuk tindak balas penghidrogenan dan penggandingan, lalu mempercepat sintesis sebatian perubatan penting.
Anugerah Konsep Gunaan Terbaik dimenangi oleh Profesor Madya Safa Faris Kayed (Prince Sattam bin Abdulaziz University, Arab Saudi) untuk PalladClear, sistem berasaskan paladium untuk rawatan air sisa. Peranti ini menulenkan air dengan cekap, memulihkan logam untuk digunakan semula dan mengurangkan impak ke atas alam sekitar, iaitu hal yang penting untuk mewujudkan bandar yang lebih bersih dan lebih selamat.
"Kami bukan sahaja menilai idea-idea asli, tetapi juga impak dunia sebenar, yang melaluinya wawasan saintifik yang mendalam bertemu dengan pelaksanaan praktikal. Bermula daripada penyerahan pertama, jelas bahawa paladium mengalami kemajuan melangkaui kegunaan tradisionalnya. Kami melihat inovasi yang mengubahnya daripada bahan mentah kepada sumber yang strategik dan berfungsi – bermula daripada kelas molekul antimikrob baharu hinggalah alat ketepatan untuk farmaseutikal dan tenaga bersih. Perkembangan ini bukan sahaja menambah baik proses sedia ada; ia turut mewujudkan pasaran baharu yang sebelum ini kelihatan mustahil. Dengan mengiktiraf hasil kerja yang menggabungkan kedalaman saintifik dengan aplikasi boleh diskala, kami menetapkan standard yang dapat membimbing keutamaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) global dan membentuk bagaimana paladium akan digunakan untuk menangani cabaran pada dekad-dekad akan datang," kata Francis Verpoort, Pengerusi Majlis Pakar Antarabangsa, Palladium Global Science Award.
Pertandingan ini diadakan dengan sokongan daripada rakan kongsi amnya, China Precious Metals Industry Committee (CPMIC), serta Shanghai Metals Market, North-West University (Afrika Selatan) dan MDX Research Center for Element Strategy (Jepun).
Musim Palladium Global Science Award yang seterusnya akan dilancarkan pada musim bunga 2026. Para saintis dan jurutera di seluruh dunia diundang untuk mengemukakan projek baharu yang boleh mentransformasikan teknologi, meningkatkan kelestarian alam sekitar dan memperkukuh peranan paladium dalam industri pada masa akan datang.