![]() |
FONTAINEBLEAU, Perancis dan SINGAPURA dan SAN FRANCISCO, 26 November 2025 /PRNewswire/ -- Singapura memintas Switzerland untuk menduduki kedudukan teratas dalam Indeks Daya Saing Bakat Global (GTCI) yang terkini, dengan memanfaatkan kekuatannya dalam memupuk tenaga kerja yang boleh menyesuaikan diri, mahir dari segi digital dan bersedia mendepani inovasi dalam era kecerdasan buatan.
Tahun ini merupakan kali pertama negara kota ini mengungguli pemeringkatan tahunan ini yang dilancarkan oleh INSEAD pada tahun 2013 sebagai penanda aras bagi pemikiran dasar berhubung pasaran buruh, pengurusan kerja serta aliran bakat.
Ekonomi Eropah yang berpendapatan tinggi terus memantapkan kedudukan dalam senarai 10 teratas bagi edisi ini, namun laporan GTCI pada tahun ini turut mendapat perhatian lantaran terdapatnya kemerosotan beberapa ekonomi besar, termasuk Amerika Syarikat yang jatuh daripada tempat ke-3 ke tempat ke-9.
Bertemakan "Kebingkasan dalam Era Penggugat", GTCI pada tahun ini – yang ke-11 sejak tahun 2013 – meneliti sejauh mana negara dan ekonomi membina sistem bakat yang berupaya menempuh penggugatan. Pemeringkatan bagi 135 ekonomi dibuat berdasarkan 77 penunjuk, termasuk kemahiran insani dan penumpuan bakat AI dalam enam dimensi: Pengupayaan, Penarikan, Pengembangan, Pengekalan, Kemahiran Vokasional dan Teknikal serta Kemahiran Adaptif Umum.
"Kebingkasan sebenar dalam bakat mengubah kesukaran menjadi pemangkin terhadap inovasi, kebolehsesuaian dan tujuan yang diperbaharui," kata Felipe Monteiro, Pengarah Akademik GTCI dan Profesor Gabungan Kanan Strategi di INSEAD.
"Kebingkasan bererti belajar bagaimana caranya untuk bangkit dan mencapai kemajuan, bukan sekadar bangkit semula daripada kejutan dan krisis yang tidak dapat dielakkan."
Lily Fang, Dekan Penyelidikan dan Inovasi INSEAD, berkata: "Laporan pada tahun ini harus dilihat sebagai lebih daripada sekadar perlumbaan antara negara. Ia menawarkan titik renungan yang bernas kepada para pemimpin berkenaan cara untuk mengintegrasikan teknologi yang berkuasa, seperti AI, ke dalam usaha secara besar-besaran dalam mencapai kemajuan insan."
Pemeringkatan pada tahun ini turut menyaksikan pelancaran perkongsian baharu antara INSEAD dan Portulans Institute, iaitu kumpulan penyelidikan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Washington D.C.
"Kolaborasi ini membawa kedalaman dan kejelasan baharu kepada GTCI bilamana perubahan teknologi yang pesat, ketakpastian geopolitik dan peralihan masyarakat yang mendalam menjadikan metrik bakat yang boleh dipercayai lebih penting berbanding sebelum ini," kata Rafael Escalona Reynoso, Ketua Pegawai Eksekutif Portulans Institute.
Kekuatan Singapura
Singapura menonjol dalam pemeringkatan yang terkini ini atas evolusi sistem pendidikannya yang berterusan dan pendekatan berpandangan jauh untuk memupuk tenaga kerja yang adaptif dan didorong oleh inovasi, menurut laporan GTCI.
Negara kota ini menduduki tempat pertama bagi Kemahiran Adaptif Umum untuk tenaga kerja yang diperlengkapkan dengan kemahiran insani, literasi digital serta pemikiran berorientasikan inovasi yang dituntut oleh landskap yang berubah-ubah dengan pantas pada masa ini. Keupayaan Singapura dalam mengekalkan bakat turut melonjak tujuh anak tangga ke tempat ke-31.
"Ekonomi yang memupuk tenaga kerja yang boleh menyesuaikan diri, rentas fungsi dan celik AI cenderung berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengubah penggugatan kepada peluang dan mengekalkan daya saing dalam tempoh jangka panjang," kata Paul Evans, Profesor Emeritus Tingkah Laku Organisasi di INSEAD dan penyunting bersama laporan ini.
"Keputusan pada tahun ini menekankan bahawa daya saing bakat bukan semata-mata menjadi fungsi tahap pendapatan, tetapi orientasi dasar strategik, kualiti institusi serta mobilisasi sumber modal insan yang berkesan."
GTCI 2025: 20 Negara Teratas
1. Singapura |
11. Ireland |
2. Switzerland |
12. United Kingdom |
3. Denmark |
13. Iceland |
4. Finland |
14. Kanada |
5. Sweden |
15. Belgium |
6. Belanda |
16. Austria |
7. Norway |
17. Jerman |
8. Luxembourg |
18. New Zealand |
9. Amerika Syarikat |
19. Perancis |
10. Australia |
20. Republik Czech |
Melakukan lebih banyak dengan sumber lebih sedikit
Salah satu mesej utama daripada GTCI 2025, yang diaudit oleh Pusat Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah ialah keupayaan menterjemahkan pelaburan kepada hasil bermakna akan membezakan ekonomi dalam aspek perlumbaan bakat.
Israel seiring bersama Singapura dan Korea Selatan menonjol kerana keupayaan mereka dalam mendapatkan hasil bakat yang lebih baik dengan sumber yang lebih sedikit. Hal ini turut sama berlaku untuk beberapa negara berpendapatan pertengahan rendah seperti Tajikistan, Kenya, Uzbekistan, Sri Lanka, Myanmar, Pakistan dan Bangladesh. Bahkan, negara-negara berpendapatan rendah, termasuk Rwanda, menunjukkan asas yang kukuh bagi pembangunan bakat.
Evans memerhatikan bahawa, "Ekonomi yang menjajarkan sistem pendidikan, buruh dan inovasi ke arah pembangunan bakat adaptif boleh mencapai prestasi yang tinggi walaupun dengan tahap pendapatan yang sederhana."
Mengikut wilayah
Dalam hal di peringkat serantau, terdapat sedikit kejutan. Eropah terus mendominasi pemeringkatan ini, menyumbang 18 daripada 25 kedudukan teratas termasuk ekonomi besar seperti Jerman (ke-17), Perancis (ke-19) dan United Kingdom (ke-12). Di Asia dan Oceania, Australia (ke-10) dan New Zealand (ke-18) mengatasi Singapura dalam mengekalkan bakat namun ketinggalan dari segi Kemahiran Adaptif Umum. Penurunan China daripada tempat ke-40 kepada tempat ke-53 menggambarkan iklim perniagaan dan pasaran buruh yang kurang menggalakkan, walaupun laporan ini mengakui bahawa data yang tidak mencukupi juga mungkin memainkan peranan.
Keupayaan Amerika Utara untuk memupuk dan menggunakan bakat mahir dalam sektor-sektor digambarkan dalam kedudukan kukuh AS (ke-9) dan Kanada (ke-14) – meskipun prestasi AS lebih buruk berbanding tahun 2023.
Afrika Utara dan Asia Barat didahului oleh Israel (ke-23) manakala Emiriah Arab Bersatu (ke-25) mengungguli kedudukan teratas di rantau ini dalam menarik bakat dan membangunkan kemahiran, walaupun ia ketinggalan dalam kemahiran peringkat tinggi.
Chile (ke-39) menduduki tempat teratas di Amerika Latin dan Caribbean, diikuti oleh Uruguay (ke-42) dan Costa Rica (ke-44). Walau bagaimanapun, Brazil mahupun Mexico, iaitu dua ekonomi terbesar di rantau ini, tidak berjaya disenaraikan dalam kedudukan 50 teratas.
Memandang ke hadapan, Escalona Reynoso memerhatikan bahawa, "Apa yang paling penting hari ini ialah keupayaan adaptif: keupayaan untuk berkolaborasi, berfikir merentas disiplin, berinovasi dalam keadaan tekanan dan mengemudi persekitaran yang bergerak pantas dan dipacu teknologi.
"Inilah kemahiran yang semakin mentakrifkan daya saing sesebuah negara -- dan kini GTCI mendakapi realiti ini dengan lebih jelas berbanding sebelum ini."
Maklumat lanjut dan sumber media
Muat turun laporan penuh dan infografik di sini. Ikuti #GTCI2025 dalam talian.
Baca lebih lanjut mengenai penemuan GTCI 2025 di sini.