omniture

Universiti Tsinghua Keluarkan Rangka Kerja Seluruh Universiti Pertama Kawal AI dalam Pengajaran dan Penyelidikan

Tsinghua University
2025-12-02 20:58 1

BEIJING, 2 Disember 2025 /PRNewswire/ -- Baru-baru ini, Universiti Tsinghua mengeluarkan "Prinsip-prinsip Panduan Universiti Tsinghua bagi Aplikasi Kecerdasan Buatan dalam Pendidikan" (Prinsip Panduan), iaitu rangka kerja komprehensif seluruh universiti yang pertama di institusi ini yang menetapkan panduan dan norma berbilang peringkat yang sistematik bagi penggunaan AI di seluruh kampusnya.

Dengan kecerdasan buatan generatif yang ketika ini menjadi semakin tersebar luas di bilik darjah dan makmal, para pelajar beralih kepada AI untuk menyokong pembelajaran dan melontarkan idea baharu, walaupun terdapat kebimbangan yang semakin meningkat berhubung kebekuan mental (mental stagnation) dan pergantungan pada teknologi. Ahli-ahli fakulti meneroka cara baharu untuk mengintegrasikan AI ke dalam pengajaran dan dalam masa yang sama menangani persoalan berkaitan etika dan penggunaan yang sesuai. Prinsip Panduan ini dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Peruntukan Am, Pengajaran dan Pembelajaran dan Tesis, Disertasi dan Pencapaian Praktikal. Secara keseluruhannya, Prinsip Panduan ini menyediakan rangka kerja peringkat tertinggi dengan garis panduan berasaskan senario terperinci yang menumpukan pada aspek-aspek utama dalam pengajaran dan penyelidikan akademik.

Wang Shuaiguo, Pengarah Pusat Pendidikan Dalam Talian dan pendraf utama dokumen ini, berkongsi bahawa Prinsip Panduan ini turut menguntukkan ruang yang mencukupi untuk pembangunan pada masa akan datang. Selain senario pengajaran dan penyelidikan semasa, rangka kerja ini direka untuk menyokong peluasan pada masa depan dalam penyelidikan akademik, perkhidmatan pentadbiran dan aplikasi baru muncul yang lain.

"Kami berharap panduan ini tidak akan menjadi dokumen yang menyekat inovasi. Ia seharusnya menjadi sistem yang hidup—sistem yang terus berkembang seiring dengan perkembangan teknologi," kata Wang.

Bahagian Peruntukan Am menggariskan pendekatan proaktif namun berhati-hati oleh Universiti Tsinghua terhadap kecerdasan buatan dan menetapkan lima prinsip teras, iaitu tanggungjawab, pematuhan dan integriti, keselamatan data, penghematan dan pemikiran kritis, serta keadilan dan keterangkuman. Prinsip-prinsip ini menekankan bahawa AI harus kekal sebagai alat bantu, dengan guru dan pelajar berperanan sebagai pemacu utama dalam pengajaran dan pembelajaran. Rangka kerja ini memerlukan pendedahan yang betul mengenai penggunaan AI, melarang salah laku akademik dan mencegah penggunaan data sensitif atau tanpa kebenaran dalam latihan atau pengendalian model AI. Ia juga menggesa kewaspadaan terhadap ralat janaan AI dan menyeru penentusahan berbilang sumber bagi mengelakkan kepuasan berlebihan kognitif akibat sikap terlalu bergantung pada teknologi. Garis panduan ini mengetengahkan selanjutnya keperluan untuk menangani bias algoritma dan jurang digital bagi memastikan pembangunan dan aplikasi AI menyumbang kepada kebaikan orang ramai.

Bahagian Pengajaran dan Pembelajaran menasihati pengajar untuk mentakrifkan bagaimana kecerdasan buatan harus digunakan mengikut objektif-objektif setiap kursus, menerangkan Prinsip Panduan kepada para pelajar pada awal semester dan menggalas tanggungjawab terhadap sebarang bahan pengajaran janaan AI. Garis panduan ini turut menggalakkan fakulti untuk membantu pelajar membangunkan pemahaman yang kritis dan menyeluruh mengenai AI. Pelajar-pelajar dibenarkan menggunakan AI sebagai alat bantu pembelajaran dalam batasan kursus namun dilarang sama sekali daripada menyalin atau memparafrasakan secara mekanikal teks, kod atau kandungan janaan AI lain bagi tujuan penyerahan akademik.

Bagi pelajar siswazah, bahagian Tesis, Disertasi dan Pencapaian Praktikal menekankan bahawa kecerdasan buatan tidak boleh menggantikan latihan akademik atau tugasan intelektual bebas yang dikehendaki daripada pelajar. Penggunaan AI bagi tujuan penulisan siluman, plagiarisme, pemalsuan atau sebarang bentuk salah laku lain dilarang sama sekali. Penyelia diarahkan untuk memberikan panduan yang jelas mengenai penggunaan AI yang sesuai dan mengekalkan pengawasan sepanjang proses penyelidikan bagi mendukung integriti akademik dan memastikan hasil kerja pelajar adalah asli.

Dibangunkan untuk mendayakan inovasi dan bukan untuk menyekatnya, Prinsip Panduan Universiti Tsinghua mencerminkan kajiannya yang teliti terhadap peranan AI yang semakin berkembang dalam bidang pendidikan dan usahanya untuk membina konsensus akademik bersama. Alat baru muncul seperti kursus dikuasakan AI, enjin pengetahuan, pengajar ejen dan teman kampus menimbulkan beberapa persoalan baharu berhubung etika, tanggungjawab dan kepengarangan dalam pengajaran serta penyelidikan. Pada musim panas 2024, universiti ini mula merangka Prinsip Panduan melalui kolaborasi antara jabatan akademik dan pentadbiran yang bertujuan untuk mengimbangi keterbukaan terhadap kemajuan teknologi dengan pengawasan yang teliti dan penggunaan yang bertanggungjawab.

The three-layer decoupled architecture of AI in Education from Tsinghua University
The three-layer decoupled architecture of AI in Education from Tsinghua University

Keluaran Prinsip Panduan ini menyaksikan fasa baharu bagi integrasi kecerdasan buatan dan pendidikan oleh Universiti Tsinghua yang mengalihkan tumpuan daripada kemajuan teknologi kepada sokongan institusi. Usaha ini dibina berdasarkan tugas yang sistematik selama bertahun-tahun dalam pengajaran didayakan AI. Melangkah ke hadapan, Tsinghua merancang untuk mempromosikan prinsip ini melalui platform literasi AI, bengkel fakulti dan dialog antara disiplin. Universiti ini bermatlamat untuk membimbing komuniti ke arah penggunaan AI yang bertanggungjawab dan termaklum, seterusnya memupuk ekosistem yang mampan untuk inovasi pendidikan serta mempersiapkan generasi akan datang untuk memanfaatkan dan berinovasi dengan teknologi pintar.

Untuk Prinsip Panduan bagi aplikasi AI dalam Pendidikan yang terperinci daripada Universiti Tsinghua, sila kunjungi https://www.tsinghua.edu.cn/en/ dan halaman rasminya di Facebook https://www.facebook.com/Tsinghua, LinkedIn https://www.linkedin.com/school/tsinghua-university/, X https://x.com/Tsinghua_Uni, YouTube https://www.youtube.com/c/TsinghuaUniversity_official dan Instagram https://www.instagram.com/tsinghua_uni/.

 

Source: Tsinghua University
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Education Higher Education New products/services Survey, Polls & Research Artificial Intelligence