omniture

ADGM Perkukuh Kedudukan Sebagai IFC Terkemuka MEASA Dengan Pertumbuhan 57 Peratus Dalam AUM, Lebih 13,000 Lesen Aktif Pada Suku Pertama 2026

ADGM
2026-05-20 02:33 30

ABU DHABI, UAE, 19 Mei 2026 /PRNewswire/ -- ADGM, pusat kewangan antarabangsa Abu Dhabi, melaporkan permulaan kukuh bagi tahun 2026 yang disokong oleh pengembangan berterusan merentasi ekosistem kewangannya serta keyakinan pelabur global yang mampan.

Dengan jumlah lesen aktif melebihi 13,353, termasuk 961 lesen yang direkodkan pada suku pertama 2026 sahaja, ADGM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kewangan terbesar di rantau MEASA berdasarkan metrik tersebut. Mac 2026 turut mencatatkan peningkatan 5.2% dalam lesen aktif baharu berbanding Mac 2025, sekali gus menunjukkan permintaan yang berterusan serta keyakinan perniagaan yang kukuh terhadap ADGM. Pusat kewangan itu juga merekodkan peningkatan 57% dalam Aset Di Bawah Pengurusan (AUM), mencerminkan momentum perniagaan yang mantap dan permintaan yang semakin meningkat daripada firma pengurusan aset global dan serantau.

Prestasi rekod ini mencerminkan visi strategik jangka panjang ADGM untuk meletakkan pusat kewangan itu dalam kalangan lima pusat kewangan terbaik dunia.

Pengerusi ADGM, Tuan Yang Terutama Ahmed Jasim Al Zaabi, berkata: "PrestasiADGM pada suku pertama 2026 mencerminkan skala, kepantasan dan peningkatan kepentingan global ekosistem kewangan Abu Dhabi. Pencapaian melepasi 13,000 lesen aktif dan pertumbuhan 57% dalam aset di bawah pengurusan menandakan satu lagi pencapaian utama dalam trajektori pertumbuhan ADGM serta mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pusat kewangan antarabangsa paling pesat berkembang di dunia. Keyakinan pelabur terhadap Abu Dhabi kekal kukuh. Aliran modal terus masuk, firma global terus berkembang, dan bakat profesional terus berhijrah ke Abu Dhabi. Dalam tempoh ketidaktentuan serantau baru-baru ini, ADGM terus mencatat pertumbuhan, mencerminkan permintaan berterusan dan keyakinan jangka panjang terhadap persekitaran institusi Abu Dhabi."

Beliau menambah: "Momentum berterusan ini mengukuhkan kedudukan Abu Dhabi sebagai destinasi pelaburan yang stabil, dipercayai dan mempunyai hubungan global, disokong oleh infrastruktur bertaraf dunia, rangka kerja kawal selia yang kukuh serta berpandangan jauh, selain akses yang semakin meluas kepada bakat dan kepakaran antarabangsa."

Beliau turut berkata: "Dalam ekonomi global hari ini, daya saing semakin ditentukan oleh kekuatan institusi, kredibiliti kawal selia dan keupayaan menyediakan kepastian jangka panjang untuk modal. ADGM terus membangunkan pusat kewangan yang saling terhubung di peringkat global untuk era baharu ini, dengan menggabungkan keterbukaan, inovasi dan tadbir urus kukuh, sambil terus memperkukuh kedudukan Abu Dhabi sebagai Ibu Kota Modal."

Selain pertumbuhan kukuh 57% dalam Aset Di Bawah Pengurusan (AUM), jumlah pengurus aset dan dana meningkat kepada 179, naik 24% daripada 144 pada suku pertama 2025. Jumlah keseluruhan dana yang diuruskan dari ADGM turut mencecah 263, meningkat 43% berbanding 184 dalam tempoh sama tahun lalu. Pertumbuhan itu menonjolkan kedalaman dan kepelbagaian ekosistem dana ADGM, meliputi ekuiti persendirian, modal teroka, dana lindung nilai dan strategi kewangan mampan.

Secara kolektif, pengurus aset yang mengumumkan penubuhan operasi di ADGM pada 2026 mewakili lebih AS$4.4 trilion aset global di bawah pengurusan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan pusat kewangan itu sebagai hab modal institusi dan menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan AUM pada suku pertama 2026.

Ekosistem perniagaan lebih luas ADGM terus berkembang dengan jumlah lesen aktif mencecah 13,353, termasuk 961 lesen baharu yang dikeluarkan sepanjang suku pertama 2026. Ini mewakili peningkatan bersih sebanyak 2,783 lesen sejak suku pertama 2025, menunjukkan keyakinan perniagaan yang mampan dan permintaan kukuh merentasi pelbagai sektor.

Jumlah entiti operasi turut meningkat ketara kepada 3,741, mencatat kenaikan 34.52% berbanding 2,781 pada suku pertama 2025.

Pertumbuhan ini disokong oleh pelbagai inisiatif ADGM berkaitan sektor hartanah. Yang terbaharu ialah pengenalan Broker Classification Framework bagi meningkatkan standard hartanah serta set baharu perkhidmatan hartanah untuk mempertingkat aksesibiliti dan fleksibiliti sektor tersebut oleh Pihak Berkuasa Pendaftaran ADGM.

ADGM turut mengumumkan pembukaan Pusat Perkhidmatan baharunya di The Galleria Al Maryah Island pada Februari 2026, sekali gus memperkukuh penglibatan langsung dengan perniagaan dan penduduk di Pulau Al Maryah dan Pulau Al Reem.

ADGM merekodkan pertumbuhan berterusan dalam sektor perkhidmatan kewangannya, dengan jumlah entiti perkhidmatan kewangan meningkat kepada 365, mencerminkan pertumbuhan 30% berbanding 281 pada suku pertama 2025.

Sementara itu, Financial Services Regulatory Authority (FSRA) mengeluarkan sejumlah 22 In-Principle Approvals (IPA) pada suku pertama 2026. Selain itu, sebanyak 29 Financial Services Permissions (FSP) baharu diperoleh entiti dalam tempoh sama, mewakili peningkatan 45% berbanding suku pertama 2025.

Statistik terkini 2026 turut memperlihatkan beberapa pengumuman berprofil tinggi daripada pengurus aset dan institusi kewangan global serta serantau yang menubuhkan operasi di ADGM. Ini termasuk firma dengan AUM bernilai trilion dan bilion dolar seperti Capital Group, Man Group, Barings, Bain Capital, Hillhouse Investment, Muzinich & Co., Madison Realty Capital dan Grow Investment Group. Pada masa sama, firma seperti Rokos Capital Management, Polygreen Holdings dan Hashed turut mengumumkan penubuhan operasi di ADGM, sekali gus mempelbagaikan lagi landskap pengurusan aset pusat kewangan itu merentasi dana lindung nilai, pelaburan alternatif dan aset digital.

Pertumbuhan ini menyerlahkan kekuatan rangka kerja kawal selia progresif ADGM serta keistimewaannya sebagai satu- satunya pusat kewangan di rantau ini yang mengguna pakai secara langsung undang-undang English Common Law, sekali gus mengukuhkan keupayaannya menarik pelbagai institusi kewangan global.

Tenaga kerja ADGM turut berkembang ketara kepada 47,047, mencatat peningkatan 44% pada suku pertama 2026. Pertumbuhan ini menyumbang kepada pembangunan modal insan Abu Dhabi secara lebih meluas dan mengukuhkan peranan ADGM sebagai hab bakat utama yang menyokong pembangunan ekosistem kewangan dinamik dan berdaya saing global.

ADGM terus mengukuhkan kehadiran antarabangsanya pada tahun 2026 melalui siri penglibatan peringkat tinggi, perkongsian strategik, dan penyertaan dalam forum global terkemuka

Di Asia, ADGM memperluaskan jangkauan menerusi penglibatan di hab kewangan utama termasuk China, India dan Singapura bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan aliran pelaburan rentas sempadan. Secara khusus, ADGM menandatangani kerjasama strategik dengan Daerah Futian di Shenzhen, sekali gus memperkukuh kerjasama antara Abu Dhabi dan salah satu pusat kewangan utama China dengan fokus kepada pemupukan inovasi, keterhubungan pasaran modal dan pertukaran perniagaan.

Abu Dhabi turut mengukuhkan lagi keterhubungan kewangan global menerusi penglibatan strategik dengan Itali yang diketuai Pengerusi ADGM, bagi menyokong peningkatan kerjasama dalam pelaburan, perkhidmatan kewangan dan perkongsian institusi.

Baru-baru ini, ADGM juga mengekalkan kehadiran kukuh di Amerika Syarikat menerusi penyertaan dalam Milken Institute Global Conference 2026, salah satu perhimpunan utama dunia yang menghimpunkan pelabur global, penggubal dasar dan pemimpin industri.

Di sela-sela persidangan itu, ADGM mengadakan beberapa mesyuarat dua hala peringkat tinggi dengan institusi kewangan global terkemuka termasuk Bain Capital, Vista Equity Partners dan Man Groupbagi meneroka peluang kerjasama lebih mendalam serta peluasan lanjut dalam ekosistem kewangan Abu Dhabi.

Seiring perubahan keadaan ekonomi global, ADGM terus memperkukuh kedudukannya sebagai gerbang dipercayai bagi aliran modal antara pasaran serantau dan antarabangsa, dengan menawarkan ekosistem yang berdaya tahan, telus dan berpandangan jauh untuk perniagaan serta pelabur.

Logo: https://mma.prnewswire.com/media/2550581/ADGM_Logo.jpg

Source: ADGM
Keywords: Banking/Financial Service Financial Technology