omniture

DNV dilantik oleh Lembaga Taksonomi ASEAN sebagai penasihat teknikal untuk bangunkan versi terkini Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan

DNV
2025-02-21 10:06 100

Taksonomi ASEAN menyediakan sistem klasifikasi disatukan untuk aktiviti ekonomi mampan dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara

BANGKOK, 21 Februari 2025 /PRNewswire/ -- DNV, penyedia jaminan dan pengurusan risiko bebas, telahpun terlibat dengan Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) untuk menyokong pembangunan Versi 4 bagi Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan. Kolaborasi ini memperkukuh peranan DNV sejak sekian lama sebagai rakan kongsi ekosistem yang dipercayai dalam memajukan amalan kewangan mampan dan memupuk perpaduan serantau dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Sebagai penasihat teknikal yang utama, DNV bekerjasama erat dengan kumpulan kerja ATB bagi meningkatkan skop Taksonomi ASEAN. Ini termasuk memperbaharui klasifikasi untuk sektor-sektor tumpuan seperti pertanian, perhutanan dan perikanan; pembuatan; serta pembekalan air, pembetungan, pengurusan sisa.

Di samping itu, dua sektor pengupaya, maklumat dan komunikasi, serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal akan digabungkan, demi memastikan rangka kerja komprehensif yang menumpukan perhatian kepada industri utama dan juga industri pengupaya.

Taksonomi ASEAN menyediakan sistem klasifikasi disatukan untuk aktiviti ekonomi yang sejajar dengan matlamat kemampanan. Dibangunkan di bawah bimbingan Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat, Taksonomi ASEAN mengupayakan peralihan yang teratur kepada ekonomi berfokuskan kemampanan.

Dengan menyeragamkan definisi dan garis panduan, Taksonomi ASEAN mewujudkan laluan untuk pelaburan mampan, mempercepat penggunaan pembiayaan hijau dan memacu kemajuan bermakna ke arah sasaran sifar bersih. Fokus ASEAN yang semakin meningkat ke atas pembiayaan Hijau, Sosial dan Kemampanan (GSS) menekankan keterdesakan untuk menangani perubahan iklim, kekurangan sumber dan ketidaksamaan.

Taksonomi ASEAN menawarkan rentak yang sama untuk merapatkan ketaksamaan serantau, mengupayakan strategi yang padu untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan dan menarik pelaburan antarabangsa. Taksonomi ASEAN juga bertindak sebagai taksonomi kesetaraan untuk taksonomi kebangsaan Negara-negara Anggota ASEAN.

"Pelancaran versi terkini Taksonomi ASEAN menandakan detik penting dalam perjalanan ASEAN ke arah masa depan yang mampan," kata Eugene Wong, Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Finance Institute Asia (SFIA), Hos bagi ATB. "SFIA gembira dapat bekerjasama dengan DNV untuk menyumbang kepada usaha ATB dalam mewujudkan rentak yang sama untuk ASEAN bagi kewangan mampan yang akan mempermudah peralihan yang adil dan teratur untuk rantau ini, menggabungkan kredibiliti dengan pragmatisme."

"Kami berbesar hati untuk meneruskan hubungan yang telah lama wujud dengan ATB dan menyumbang dengan kepakaran teknikal kami kepada pembangunan terkini Taksonomi ASEAN, satu pencapaian penting untuk kewangan mampan di rantau ini," tambah Percy Lakdawalla, Pengurus Serantau Asia Pasifik, India dan Timur Tengah, Rantaian Bekalan & Jaminan Produk di DNV. "Versi 4 bagi Taksonomi ASEAN akan menyediakan pihak berkepentingan di seluruh ASEAN dengan alat untuk menyelaraskan usaha mereka dengan objektif kemampanan global sekali gus menangani keutamaan dan cabaran tempatan dengan berkesan."

"Kolaborasi ini menggariskan komitmen berterusan kami untuk menyokong ATB dalam memajukan kewangan mampan di seluruh ASEAN, memanfaatkan kepakaran global kami untuk mencipta penyelesaian tersuai demi keperluan serantau," ujar Thomas Leonard, Ketua Perkhidmatan Kemampanan ASEAN – Rantaian Bekalan & Jaminan Produk di DNV.

Bersama-sama dengan Lembaga Taksonomi ASEAN, DNV menyasarkan untuk mengupayakan laluan yang inklusif dan bingkas ke arah masa depan yang mampan untuk ASEAN dan selanjutnya.

Latar Belakang DNV  

DNV ialah penyedia jaminan dan pengurusan risiko bebas, beroperasi di lebih 100 negara. Melalui penilaian dan penyelesaian jaminan digital, DNV membantu syarikat-syarikat membina kepercayaan dan ketelusan sekitar produk, aset, rantaian bekalan dan ekosistem.

Sama ada memperakui produk, menentusahkan tuntutan atau mengoptimumkan dan menyahkarbonkan rantaian bekalan, DNV membantu syarikat-syarikat mengurus risiko dan merealisasikan matlamat strategik jangka panjang mereka, meningkatkan prestasi ESG serta menjana hasil yang berkekalan dan mampan.

Menggabungkan kemampanan, rantaian bekalan dan kepakaran digital, DNV berusaha untuk mencipta model jaminan baharu yang mengupayakan interaksi dan ketelusan transaksi merentas rantaian nilai. Dengan memanfaatkan kepakaran teknikal dan industrinya yang luas, DNV bekerjasama dengan syarikat-syarikat di seluruh dunia untuk merapatkan jurang kepercayaan dalam kalangan pengguna, pengeluar dan pembekal.

Didorong oleh tujuannya, untuk melindungi nyawa, harta benda dan alam sekitar, DNV membantu menangani cabaran dan transformasi global yang dihadapi pelanggannya dan dunia pada hari ini serta merupakan suara yang dipercayai untuk kebanyakan syarikat yang paling berjaya dan berpandangan jauh di dunia.

Ketahui lebih lanjut di www.dnv.com/about/supplychain/

 

Source: DNV
Keywords: Banking/Financial Service